Kerajaan Persekutuan melalui Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah menyiapkan pelbagai kemudahan di Tanjung Penyabong Waterfront, yang akan memberi impak positif kepada masyarakat setempat dengan mewujudkan peluang pekerjaan dan keusahawanan baharu.

Pembangunan bersepadu ini adalah sebahagian daripada strategi keseluruhan untuk terus membangunkan Mersing sebagai destinasi pelancongan yang menarik dan mampan.

Selain daripada pelancongan, kemudahan di Tanjung Penyabong Waterfront dijangka merangsang aktiviti perniagaan dan perikanan tempatan kerana ia terdiri daripada medan selera, pusat kraftangan yang menjual kraftangan tempatan yang unik, serta kemudahan awam seperti tandas awam, taman permainan, kawasan berkelah dan surau.

Jeti yang sedia ada juga telah dinaik taraf untuk keselesaan pelancong menaiki bot ke pulau-pulau berdekatan serta memudahkan aktiviti nelayan.

“Mersing telah mengalami transformasi sosioekonomi yang mantap setelah menerima manfaat daripada projek infrastruktur berimpak tinggi yang dilaksanakan oleh ECERDC dengan kerjasama Kerajaan Negeri Johor.

Penyiapan kemudahan di Tanjong Penyabong Waterfront akan melengkapi pembangunan pelancongan lain seperti Mersing Harbour Centre, Medan Ikan Bakar Endau, penaiktarafan jalan menuju ke Taman Negara Endau-Rompin serta pembinaan dan penaiktarafan kemudahan awam di kepulauan Mersing.”

“Projek-projek ini telah membawa kesan limpahan yang besar dari segi pekerjaan dan perniagaan untuk masyarakat setempat, memperkukuh pelancongan sebagai enjin pertumbuhan penting daerah ini serta mewujudkan nilai ekonomi bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat di Mersing,” kata Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan kemudahan Tanjung Penyabong kepada Majlis Daerah Mersing yang akan menguruskan kompleks komersial, dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia yang akan menguruskan jeti dan kemudahan nelayan. Majlis tersebut disaksikan oleh Dato’ Dr. Sahruddin Jamal, Menteri Besar Johor.

Pembangunan tersebut juga merangkumi sebuah kompleks yang membolehkan nelayan menjual tangkapan mereka secara langsung kepada para pelanggan. Ini juga akan membantu meningkatkan pendapatan masyarakat tempatan dan mewujudkan peluang keusahawanan baharu bukan sahaja untuk para nelayan malah untuk pengusaha bot yang
membawa pelancong ke pulau-pulau berdekatan serta peniaga makanan laut tempatan di Tanjung Penyabong.

Sebuah jeti yang baharu dan selesa turut dibangunkan untuk kegunaan para nelayan dan pelancong. Jeti ini yang terletak berdekatan dengan 2 buah kelong yang sememangnya telah menjadi destinasi pemancing-pemancing yang berkunjung ke kawasan ini.

Justeru itu, para pelancong yang berkunjung ke kawasan ini kini mempunyai kemudahan yang selamat dan selesa untuk menjalankan aktiviti riadah laut dan memancing.

Di bawah Pelan Induk ECER 2.0, Lonjakan Seterusnya untuk sektor pelancongan Mersing ialah meneruskan usaha-usaha pemeliharaan dan pemuliharaan khazanah semula jadinya dengan memanfaatkan konsep ekopelancongan “Dari Hutan Hujan ke Terumbu Karang” (Rainforest to Reef – R2R) ECER.

Antara projek pelancongan baharu di Mersing termasuk Pusat Informasi dan Perkhidmatan Taman Laut Sultan Iskandar (PIPTLSI) di Pulau Besar dan Pembangunan Pelancongan Kampungstay Air Papan.