Celcom dan Maxis menandatangani MoU untuk menerokai perkongsian Rangkaian Akses Radio 5G aktif yang pertama di Malaysia

CELCOM Axiata Bhd (Celcom) dan Maxis Berhad (Maxis) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk menerokai potensi kerjasama bagi penggunaan infrastruktur 5G Malaysia yang cekap, seterusnya menyokong pembangunan ekosistem digital negara.

Kerjasama tersebut juga akan membolehkan kedua-dua syarikat telekomunikasi tersebut menerokai peluang perniagaan dalam bidang strategik utama 5G, bagi menyampaikan inovasi 5G yang terbaik untuk memberi manfaat kepada rakyat dan perniagaan di Malaysia, sebaik sahaja spektrum yang diperlukan tersedia.

Menandatangani MoU bagi pihak Celcom ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Idham Nawawi, dan Ketua Strategi dan Pegawai Penciptaan Nilai, Muniff Kamaruddin. Sementara itu, Maxis diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Gokhan Ogut, dan Ketua Teknologi dan Pegawai Informasi Morten Bangsgaard.

Idham Nawawi berkata, pihaknya percaya bahawa kolaborasi adalah penting untuk industri melangkah ke hadapan, dan kerjasama dengan Maxis untuk menerokai pengunaan 5G yang lebih teratur di Malaysia adalah sesuatu yang mengujakan.

“5G adalah evolusi seterusnya yang akan mengubah cara kita bekerja, hidup dan bermain. Ia akan membolehkan pengalaman pengguna yang lebih baik serta mewujudkan peluang-peluang baru untuk pengguna, pelajar, Kerajaan dan juga perniagaan,” katanya.

“Potensi kerjasama kami akan membuka jalan bagi penyampaian rangkaian 5G bertaraf dunia di samping rangkaian 4G dan 3G/2G yang sedia ada, kepada setiap rakyat Malaysia, seterusnya menyerlahkan Malaysia sebagai sebuah negara yang benar-benar digital dalam era IR4.0.” Gokhan Ogut, Ketua Pegawai Eksekutif, Maxis:

“Kami mengalu-alukan idea untuk bekerjasama dengan Celcom untuk perkongsian rangkaian 5G. Buat masa ini, kami sudahpun berkongsi menara, fiber dan bekerjasama dalam menyediakan kesalinghubungan untuk kawasan luar bandar dan projek USP.

“Ini membantu kami menjimatkan sumber dan mempercepatkan pelancaran. Manakala dengan perkongsian rangkaian 5G ini pula, ia memberi peluang kepada kami untuk memberikan lebih banyak nilai kepada pelanggan kami. Kerjasama industri seperti ini penting dalam menyokong cita-cita Malaysia dalam memacu ekonomi digital.” katanya.