Dalam inisiatif Tanggungjawab Korporat terkininya, Perodua kembali ke wad pediatrik Hospital Selayang bagi menyumbang peralatan perubatan dan mengagihkan hadiah kepada para pesakit dan kakitangan.

Ruang bermain kanak-kanak juga telah diperbaharui – para sukarelawan Perodua telah membersihkan ruang tersebut, mengecat kabinet, menggantikan kertas dinding dan siling, memasang TV pintar dan alas lantai baharu serta membeli buku dan mainan baharu.

Perodua menyumbang kepada wad pediatrik sebuah pulse oximeter (peralatan yang menyukat jumlah oksigen di dalam badan) dan tiga buah skrin mudah alih. Syarikat itu juga memberi paket wang dan beg tali yang mengandungi alat tulis kepada kira-kira 100 pesakit kanak-kanak.

“Sebagai syarikat yang mengutamakan insan dan jenama yang prihatin, Perodua sentiasa mencari kaedah jangka panjang yang mampan untuk membantu dan menyumbang kepada rakyat,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

Ruang bermain kanak-kanak kini tampil dengan grafik bertemakan keselamatan dan alam sekitar – topik-topik yang menjadi keutamaan Perodua. Syarikat tersebut merancang untuk mendidik para pesakit kanak-kanak mengenai keselamatan dan alam sekitar menerusi pelbagai aktiviti pada tahun-tahun akan datang.

“Usaha kami tidak berhenti di sini – pelbagai aktiviti telah kami rancang untuk kanak-kanak di sini pada tahun-tahun akan datang, antaranya aktiviti bercerita, tayangan filem, permainan teka-teki dan origami. Kami juga ingin mengadakan program menderma buku untuk mengisi pusat sumber mini di sini,” katanya.

“Inisiatif ini merupakan tanda penghargaan kami kepada para kakitangan wad pediatrik Hospital Selayang atas dedikasi mereka dalam menjaga pesakit kanak-kanak di sini. Kepada semua pesakit kanak-kanak di sini, kami berharap dapat menceriakan hari anda dan melebarkan senyuman anda,” katanya.

Pada Februari lalu, Perodua telah menyumbang tiga buah pulse oximeter dan enam buah skrin mudah alih kepada wad pediatrik Hospital Selayang, serta mengagihkan paket wang dan beg hadiah kepada para pesakit dan kakitangan.