Kedua-dua pihak meneroka mekanisme sesuai merangkumi spektrum, kes perniagaan, ekosistem dan teknologi utama ke arah memperkasa Malaysia Digital
Telekom Malaysia Berhad (TM) dan Huawei Technologies (M) Sdn Bhd (Huawei) baru-baru ini telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) bagi berkolaborasi untuk memacu pengkomersialan 5G di Malaysia apabila negara ini beralih menjadi sebuah Negara Digital.
MoU tersebut telah ditandatangani oleh kedua-dua pihak sempena TM-Huawei Tech Summit yang diadakan baru-baru ini. Ir. Ts Azizi A. Hadi, Ketua Pegawai Rangkaian, TM telan menandatangani MoU berkenaan bagi pihak TM sementara Zac Chow, Naib Presiden Huawei Malaysia, mewakili Huawei pada majlis itu.
Mengulas mengenai usahasama tersebut, Dato’ Noor Kamarul Anuar, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, TM berkata, ini merupakan perkembangan menarik yang menyaksikan kami bekerjasama dengan sebuah syarikat global seperti Huawei bagi memacu penawaran perkhidmatan 5G kepada rakyat Malaysia.
Sebagai pembekal infrastruktur telekomunikasi nasional bagi aspirasi Negara Digital Malaysia, teknologi 5G akan melengkapkan penawaran-penawaran berwayar, sambungan bertaraf dunia serta infrastruktur digital sedia ada kami.
Ini akan membolehkan kami membawakan lebih banyak rumusan digital inovatif kepada semua pelanggan merentasi pelbagai segmen. TM menerusi produk dan rumusan inovatif dan komprehensif akan terus menyediakan asas bagi Revolusi Perindustrian 4.0 dan pelaksanaan 5G seluruh negara – memberi khidmat kepada masyarakat dan gaya hidup yang lebih digital, perniagaan digital dan vertikal industri serta Kerajaan digital.
Usahasama ini bakal membuka ruang kepada pelaksanaan rangkaian, aplikasi dan rumusan 5G masa depan yang lebih pantas buat kediaman dan perniagaan di Malaysia, serta lebih lagi, selari dengan aspirasi kami untuk memacu Malaysia Digital.”
Sementara itu, Michael Yuan, Ketua Pegawai Eksekutif Huawei berkata: “TM dan Huawei telah berganding bahu untuk selama 15 tahun. Kami telah bersama-sama menghubungkan lebih ramai insan sejak sekian lama dan kini kita berada di persimpangan transformasi digital.
Huawei akan menyokong sepenuhnya aspirasi TM untuk memacu Malaysia Digital, dan akan bekerjasama dengan TM untuk membina Malaysia yang lebih terhubung dan pintar menerusi 5G.”
Di bawah MoU ini, kedua-dua pihak berhasrat meneroka untuk berkolaborasi dengan memanfaatkan kepakaran dan keupayaan teras masing-masing bagi meneroka mekanisme bersesuaian merangkumi spektrum, kes perniagaan, ekosistem dan teknologi utama.
Ini akan termasuk berkolaborasi untuk kajian bersama bagi spektrum 5G dan evolusinya; pembangunan bersama bersesuaian untuk konsep perniagaan baharu dan kes perniagaan bagi kes penggunaan 5G terpilih termasuk tetapi tidak terhad kepada Akses Wayarles Tetap (FWA), Bandar Pintar dan Vehicle-to-Vehicle atau Vehicle-to-Infrastructure (V2X); kajian bersama dalam bidang Inovasi Ekosistem 5G; dan meneroka kerjasama masa depan berkenaan sistem 5G menyeluruh.
Menerusi kolaborasi ini, kumpulan petugas bersama (joint working group) akan ditubuhkan untuk mengenalpasti aspek-aspek perkhidmatan talian tembaga dengan tujuan meningkatkan pengalaman pelanggan menerusi teknologi dan/atau perkhidmatan FWA.
“Dengan kolaborasi ini, kami mengukuhkan lagi peranan sebagai pembekal infrastruktur telekomunikasi nasional bagi aspirasi Negara Digital Malaysia, di mana TM telah mewujudkan tunjang komunikasi di Malaysia dengan sambungan terluas dan rangkaian konvergens,” katanya.