Kehadiran model hibrid oleh Honda dalam pasaran Malaysia bukannya sesuatu yang baru kerana pengeluar kenderaan terkemuka dari Jepun ini adalah perintis kepada kenderaan hibrid di negara ini.

HONDA Civic dan Insight adalah antara model awal yang pernah diperkenalkan Honda kira-kira 10 tahun lalu dan penulis masih ingat lagi pengalaman memandu Honda Civic hibrid yang mampu mencapai jarak perjalanan sejauh kira-kira 500 kilometer dengan isian tangki penuh satu ketika dahulu.

Kini, Honda boleh dianggap juara dalam membariskan kenderaasn Hibrid di negara ini kerana tidak ada pesaing lain yang memiliki barisan model Hibrid terbanyak setakat ini.

Justeru, Prebiu.com tidak melepaskan peluang apabila ditawarkan untuk menguji ‘baby’ terbaharu dalam keluarga hibrid Honda ini menerusi model kompak SUV, HR-V Hybrid 1.5L DOHC i-VTEC.

Model HR-V sebelum ini didatangkan dengan enjin berkuasa 1.8 liter SOHC i-VTEC dengan hamburan kuasa 142 PS dan 172 NM serta kotak gear CVT dengan pedal penukar gear.

Bagaimanapun, bagi model hibrid ini ia dipadankan dengan enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC yang turut digunakan pada model City dan Jazz tetapi hamburan kuasanya berbeza kerana enjinnya mampu menghasilkan kuasa sebanyak 132 PS pada 6,600 rpm serta tork sebanyak 156 Nm pada 4,600 rpm.

Padanan sistem hibrid menjadikan kuasa enjinnya dibantu oleh motor elektrik sekali gus menyediakan kuasa tambahan 29.5 PS dari 1,313 rpm hingga 2,000 rpm serta 160 Nm tork dari sifar hingga 1,313 rpm.

Hebatnya apabila memandu enjin berkuasa 1.5 liter ini seakan menyamai kuasa yang biasanya dihasilkan oleh enjin 2.0 liter apabila kuasa keseluruhan yang dimiliki ialah sebanyak 152 PS dan 190 Nm tork.

Daya kuasa pecutan SUV ini memang cukup dirasai apabila dipandu membelah lebuh raya meskipun pada awalnya penulis berasakan enjin hibrid ini dianggap tidak mampu membawa berat badan sebuah SUV ini.

Padanan transmisi klac berkembar (DCT) 7-kelajuan adalah satu kelebihan berbanding menggunakan kotak gear jenis CVT kerana pertukaran gear lebih responsif dan sangat lancar.

Sebagai sebuah SUV hibrid yang pertama dipasarkan di negara ini, HR-V memiliki pelbagai kelebihan bukan sahaja prestasi, praktikaliti dan penjimatan kepada bahan api yang kita sudah sedia maklum bergantung kepada risiko turun naik harga minyak.

Satu lagi kelebihan SUV ini ialah sistem enjinnya cukup senyap ketika penulis menghidupkan enjinnya malah ketika ia bergerak dalam kelajuan biasa kerana kuasa enjinnya ketika itu dijana oleh motor elektrik sepenuhnya sekali gus memberikan tahap penjimatan minyak yang maksimum.

Bagaimanapun, jika ada mahukan kuasa pecutan, tekan sahaja butang Sport ditengah konsol itu dan karektor kereta ini terus berubah menjadi lebih pantas dan enjinnya juga cukup responsif mengikut kelajuan namun akan menyebabkan penggunaan minyak lebih banyak.

Warna lampu pada gelung LED konsol panel meter turut bertukar merah yang menunjukkan transmisi sport sudah diaktifkan.

Model HR-V hibrid ini dilengkapi bateri lithium-ion berkuasa tinggi yang menggunakan bahagian ruang barangan dibelakang menyebabkan tiada tayar gantian disediakan manakala kapasiti ruang hanya 404 liter iaitu berkurangan 33 liter berbanding HR-V biasa (437 liter) namun jika memerlukan ruang tambahan kerusi belakangnya boleh direbahkan.

Sebagaimana sebuah kenderaan hibrid, panel meter SUV ini juga berbeza berbanding biasa dengan menampilkan meter tiga dimensi (3D) yang memaparkan pelbagai informasi mengenai fungsi hibrid, tahap penggunaan dan kecekapan bahan api.

Pengenalan tombol gear yang sama digunakan pada model City dan Jazz hibrid, terus mengekalkan identiti keluarga hibrid yang dikeluarkan oleh Honda.

Penulis cukup seronok menggunakan tombol gear ini kerana ia mudah dikendalikan dengan hanya menolak ke atas (untuk gear undur) manakala ke bawah (gear D) dan untuk memarkir hanya tekan butang P. Cukup mudah bukan?

Kesimpulannya

Meskipun watak HR-V ini sebagai sebuah SUV kompak, namun ia masih dianggap sebagai sebuah kereta keluarga dengan kelebihan saiz badannya yang tegap dan tinggi amat sesuai dipandu meredah banjir kilat yang sering melanda setiap kali hujan lebat di Kuala Lumpur.

Meskipun enjinnya berkuasa 1.5 liter, cukai jalan hanya RM90 berbanding RM279.60 bagi model 1.8 liter dan memiliki prestasi kuasa mengagumkan serta pada masa menjimatkan bahan api menerusi kecekapan sistem enjin Sport Hybrid i-DCD.

Menurut Honda Malaysia Sdn Bhd, sistem bateri hibridnya mendapat jaminan pengeluaran selama lapan tahun tanpa had perbatuan dan gaya penampilan HR-V facelift kali ini lebih menarik dengan rekaan gril hadapan yang baharu manakala lampu belakang yang lebih sporty.

Ciri menarik lain termasuk kerusi penumpang belakang yang boleh dilipat dan direbahkan untuk mendapatkan lebih ruang dilihat cukup praktikal dan ciri itu jarang ada pada sebuah SUV kompak seperti HR-V ini.

Bagi anda seorang peminat SUV yang mahukan kelainan, HR-V Hybrid ini mungkin boleh menjadi pilihan sama ada untuk kegunaan harian ke tempat kerja atau bersantai dihujung minggu.

Dengan tangki isian penuh sebanyak 50 liter, SUV ini mampu mencapai jarak perjalanan sejauh lebih 600 kilometer bergantung kepada tahap kelajuan sama ada pemanduan secara santai ataupun laju.

SPESIFIKASI

Honda HR-V Hybrid 1.5L

  • Enjin: 4 silinder, 16 injap, Suntikan Terus DOHC i-VTEC
  • Kuasa maksimum: 132 PS/97kWpada 6,600 rpm (enjin)
    : 29.5 PS/22kW pada 1,313 – 2,000 rpm (motor)
  • Gabungan kuasa : 152 PS (112kW)
  • Tork maksimum : 156 Nm pada 4,600 rpm (enjin)
    : 160 Nm pada 0 – 1,313rpm (motor)
  • Gabungan kuasa : 190 Nm
  • Transmisi: 7-kelajuan Dual-Clutch Transmission (7DCT)
  • Tangki : 50 liter
  • Saiz tayar : 215/55R17
  • Harga: RM120,800 (tidak termasuk insurans)