Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju), sebuah agensi yang ditubuhkan untuk terus memperkasakan keupayaan Bumiputera, bersedia memenuhi keperluan Malaysia bagi melahirkan lebih ramai profesional Bumiputera berkualiti dalam Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama (KEGA) dengan peruntukan sebanyak RM192 juta yang diumumkan menerusi Belanjawan 2020, baru-baru ini.
Sebagai contoh akauntan profesional, Yayasan Peneraju yakin dapat menjadi salah satu faktor penyumbang penting terhadap pertumbuhan profesion ini dan malah berjaya merangsang serta melahirkan lebih 4,000 akauntan profesional sejak penubuhannya pada tujuh tahun lalu.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju, Mohd Ariff Ithnin berkata, daripada jumlah itu, 59 penerima faedah yayasan berkenaan yang sudah memiliki pengiktirafan sebagai akauntan profesional menduduki ranking teratas dunia dalam ACCA, ICAEW, MICPA dan CPA Australia, manakala 29 daripada mereka berada pada kedudukan nombor satu dunia dalam Certified Accounting Technical (CAT) dan Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) World Prize Winner.
“Peranan akauntan profesional adalah kritikal bagi memastikan Malaysia kekal kompetitif dalam era dunia digital. Ketika Malaysia memanfaatkan peluang daripada Revolusi Industri Keempat (IR4.0) menerusi transformasi digital bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negara, mereka yang berbakat akan ketinggalan jika tidak melengkapkan diri dengan kemahiran terkini yang relevan terhadap ekonomi.
“Sehingga hari ini, Yayasan Peneraju sudah membiayai hampir 5,000 profesional bertauliah dalam pelbagai program termasuk akauntan, Penganalisis Kewangan Bertauliah, Pengurus Risiko Kewangan dan data besar.
Bagi 2020, Yayasan Peneraju akan lebih memberi tumpuan terhadap ekonomi digital, kewangan Islam dan teknologi IR4.0 bagi menyokong keperluan negara dalam mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030)
“Bagi memenuhi aspirasi negara untuk menjadikan ekonomi lebih progresif dan berasaskan pengetahuan serta bernilai tinggi dengan penyertaan menyeluruh daripada komuniti di semua peringkat, kita mesti memastikan bahawa kita mempunyai jumlah profesional mencukupi dalam sektor utama yang kritikal.
“Ia juga dapat berperanan dalam ekonomi dan keperluan sosial selepas mengambilkira perubahan terhadap landskap digital dan persekitaran ekonomi yang lebih kompetatif,” kata Ariff.






































