Pada pandangan mata kasar, model sedan Volvo S90 T5 Momentum yang diperkenalkan pada tahun lalu ini kelihatan agak besar dan lebar.

REKAAN serba baharu yang lebih aerodinamik tanpa garisan berkotak yang pernah dihasilkan Volvo pada model terdahulu sekali gus menjadikan model itu lebih ‘remaja’ dan segar untuk bersaing dengan model yang sebaris dengannya.

Sebagai jenama kenderaan yang cukup sinonim dengan ciri keselamatan, rekaan itu sebenarnya mempunyai peranannya dan bukannya semata-mata nampak cantik dipandang kerana elemen keselamatan penumpang masih menjadi keutamaan kepada pereka Volvo.

Mengimbau kembali pengenalan model S90, pada 2017, varian lebih tinggi iaitu S90 T8 ‘Twin Engine Inscription’ dan ‘Inscription Plus’ sudah dipasarkan dengan ciri Kenderaan Elektrik Hibrid Plug-In (PHEV).

Melihat kepada rekaan luaran, tidak banyak yang membezakan ketiga-tiga varian ini yang mana ia dibina di atas platform yang sama melalui ‘Volvo Scalable Product Architecture’ (SPA).

Cuma pada model S90 T5 ini tidak dilengkapi ciri kenderaan elektrik namun dengan enjin 2.0 liter Drive-E pengecas turbo sudah cukup untuk membawa saiz badannya yang besar ini melunjur laju di jalan raya.

Rekaan luaran

Rekabentuk hadapannya kelihatan gagah dan tegap khususnya gril yang lebih lebar serta logo Volvo tertera ditengah-tengah.

Ciri lampu hadapan LED dengan lampu nyalaan siang (DRL) seakan bentuk tukul ‘Thor’ yang menjadi identiti barisan model Volvo masa kini masih dikekalkan pada S90.

Menjengah kepada rekaan belakang pula, lampu belakang LED kelihatan lebih kemas manakala ekzos berkembar adalah ciri standard bagi semua varian ditawarkan.

Lencana pada hujung but belakang pula membezakan kepada varian yang ditawarkan.

Gaya rim sports ‘Triple Spoke Matt Tech’ lima jejari potongan berlian hitam 19 inci pada S90 T5 menaikkan imej kereta ini lebih sporty dan dibaluti tayar bersaiz 244/40 Michelin Sport 4.

Rekaan dalaman

Volvo sentiasa mengetengahkan ciri Scandinavia dalam rekaan keretanya dan gaya itu dapat dilihat pada ruang dalamannya yang menampilkan kemasan papan pemuka dan pintu yang menampilkan ciri ‘Metal Iron One’ berbanding kayu pada T8.

Kerusi mewahnya dibaluti lapisan kulit selesa serta didatangkan fungsi larasan elektrik serta ciri memori untuk pemandu mengikut keselesaan posisi individu.

Bagi keselesaan penumpang belakang, selain boleh memuatkan tiga dewasa dengan selesa, ia juga dilengkapi penyaman udara melalui saluran pada tiang-B dengan kawalan suhu secara elektronik dua zon (ECC) dengan sistem udara bersih pada bahagian hadapan.

Kerusi belakang juga direka dengan ciri kerusi kanak-kanak booster dengan hanya perlu menaikkan tahap tempat duduk untuk membolehkan mereka melihat pemandangan luar dengan lebih selesa selain ciri ISOFIX.

Untuk sistem infotainmen, ia menyediakan paparan skrin sesentuh berwarna ‘Sensus Connect’ bersaiz sembilan inci menegak yang memaparkan pelbagai fungsi termasuk fungsi kawalan suhu penyaman udara.

Sistem audio pula yang boleh dikawal butangnya distereng cukup hebat dengan 10 pembesar suara 330W memberikan ‘halwa’ telinga yang menyeronokkan sepanjang perjalanan dengan ketersambungan kepada Bluetooth dan aplikasi Apple Carplay serta Android Auto.

Jangan risau jika gajet anda kehabisan bateri kerana untuk mengecas telefon, terdapat dua lubang sambungan USB pada lorong konsol tengah yang terlindung di bawah perehat tangan.

Sebagaimana model Volvo XC90 dan XC40 yang pernah penulis pandu uji, kedudukan butang penghidup enjin, brek parkir serta tuil gear balutan kulit masih dikekalkan. Begitu juga dengan ruang meletak kunci dan bekas minuman yang ditutup pintu gelongsor untuk tampil lebih kemas.

Ruang besar

Kapasiti but Volvo S90 T5 ini mampu memuatkan barangan sehingga 500 liter namun masih menyediakan ruang cukup baik bagi kegunaan seharian atau hujung minggu dengan tayar simpanan Tempa bersaiz 18 inci di bawahnya.

But juga dilengkapi pintu kuasa elektrik yang boleh dibuka serta ditutup sama ada melalui butang pada pintu atau pergerakan pada kaki seterusnya memudahkan urusan memasukkan barangan.

Enjin

Dilengkapi enjin 1,969 liter Drive-E pengecas turbo pacuan roda hadapan, ia mampu menjana kuasa 254 hp pada 5,500 rpm dan tork maksimum dengan 350 Nm pada 1,500 hingga 4,800 rpm.

Penulis akui, ketika dipandu dilebuh raya dan pedal minyak ditekan tanpa disedari  transmisi lapan kelajuan automatik dengan Geartronic, mampu mencapai kelajuan maksimum 230 kilometer/sejam (km/j).

Malah ketika meredah laluan berselekoh, kereta ini tetap stabil dengan olengan badan yang minimum dapat dirasakan manakala tahap geseran angin luaran juga minima.

Ini banyak dibantu oleh sistem gantungan hadapan ‘double wishbone’ dan belakang ‘multi-link independent’ sesuai untuk keselesaan selain menyerap hentakan dengan baik serta stabil pada pelbagai kelajuan.

Bagaimanapun, berbanding varian S90 yang lain, S90 T5 Momentum hanya menyediakan dua mod pemanduan iaitu Normal dan Eco (berbanding lima mod untuk varian T8).

Dengan kapasiti bahan api sebanyak 55 liter, kereta ini mencatatkan jarak perbatuan 480km bergantung kepada jenis pemanduan, muatan dan permukaan jalan raya.

Sistem keselamatan

Jika hendak disenaraikan memang terlalu banyak ciri keselamatan yang ditawarkan melalui ‘Intellisafe’ kerana Volvo cukup sinonim dengan ciri keselamatan terkehadapan dalam kelasnya sebagaimana ‘tagline’ satu ketika dahulu – Volvo For Life.

Antaranya tujuh beg udara, Kawalan Amaran Pemandu, Bantuan Kekal Laluan, Amaran Pelepasan Laluan, Sistem Maklumat Titik Buta dengan Bantuan Pengendalian, Cross Traffic Alert, Seat-belt Detection, Side-Impact Protection System, Whiplash Protection System dan sistem ISOFIX siap bina untuk memasang kerusi kanak-kanak.

Ia juga dilengkapi Brek Anti-Kunci (ABS), Bantu Brek Kecemasan (EBA) dan pengesan pemakaian tali pinggang keledar pada setiap tempat duduk, Kawalan Pelayaran Adaptif, Keselamatan Bandar dengan pengesan binatang, pejalan kaki serta pengayuh basikal

Ciri lain ialah sistem pemanduan separa-autonomi (Bantuan pilot) yang mengawal jarak antara kenderaan serta stereng dikawal secara elektronik pada pelbagai kelajuan.

Kesimpulannya

Secara ringkas, S90 T5 Momentum bukan sekadar sebuah kereta sedan yang premium dan menjadi pilihan golongan profesional tetapi ia adalah sebuah sedan dilengkapi sistem keselamatan terbaik dalam kelasnya.

Meskipun secara dasarnya, Volvo kini bernaung di bawah Zhejiang Geely Holding (Geely Holding) dari China, namun ciri sebuah kereta buatan Eropah masih dikekalkan dan masih popular dikalangan pengguna yang sudah ‘tegar’ dengan jenama yang sudah berusia lebih 90 tahun ini.

Walapun berbeza varian, namun ciri keselamatan dan perlindungan penumpang adalah ciri standard dipadankan pada model-model Volvo lain termasuk S90 T5 ini.

Lima pilihan warna ditawarkan iaitu putih, biru, kelabu, hitam dan perak serta S90 untuk pasaran di negara ini adalah model pemasangan tempatan (CKD) melalui kilang di Shah Alam, Selangor.

Untuk pasaran Malaysia, Volvo S90 T5 Momentum dijual pada harga RM338,888 (atas jalan tanpa insurans), ia RM30,000 lebih murah daripada varian di atasnya dengan jaminan pengeluar selama lima tahun atau 120,000km yang mana lebih dahulu.

SPESIFIKASI

Volvo S90 T5

Enjin: 1,969cc Drive-E, 4-silinder petrol, turbo
Kuasa maksimum: 254 hp pada 5,500 rpm
Tork maksimum : 350 Nm pada 1,500-4,800 rpm
Transmisi: Automatik 8-kelajuan dengan Geartronic
Tangki : 55 liter
Saiz tayar : 255/40R19
Sistem keselamatan: 7 beg udara, Driver Alert Control, Lane Keeping Aid, Run-off Road Mitigation, Blind Spot Information System, Cross Traffic Alert, Seat-belt Detection, Side-Impact Protection System, Whiplash Protection System, ISOFIX
Harga: RM338,888 (atas jalan, tanpa insurans)