MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM), pengeluar gula bertapis terkemuka negara, telah menandatangani Perjanjian Jual & Beli (SPA) bersama F&N Agrivalley Sdn Bhd (dahulu dikenali sebagai Rimba Perkasa Sdn Bhd) bagi melupuskan tanah pertanian seluas 4,453.92 hektar di Chuping, Perlis bernilai RM156 juta.
Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N), yang juga merupakan pemilik sepenuhnya F&N Agrivalley, adalah antara pengeluar makanan dan minuman antarabangsa terkemuka di rantau ini.

Hasil daripada pelupusan akan diguna pakai bagi pembayaran semula pinjaman bank serta untuk tujuan modal kerja MSM dan anak-anak syarikat (Kumpulan).
Pelupusan tanah tersebut yang dimiliki oleh anak syarikat MSM, MSM Perlis Sdn Bhd (MSM Perlis), adalah sejajar dengan pelan Kumpulan ke arah merasionalisasikan aset di samping memberi fokus kepada perniagaan teras. Ini turut memperkukuhkan lagi kunci kira-kira Kumpulan di mana jumlah hutang akan berkurangan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Dato’ Khairil Anuar Aziz berkata, “Kami fokus dalam mencipta dan menghasilkan nilai dalam kepakaran teras kami. Bagi mencapai matlamat tersebut, kami akan terus melupuskan aset-aset bukan teras bagi memberikan nilai dan memastikan sumber kewangan dan pengurusan komited dengan perniagaan teras kami.”
Pada masa ini, tanah tersebut digunakan untuk tanaman getah, kelapa sawit dan mangga. F&N Agrivalley bercadang untuk memanfaatkan tanah tersebut bagi tujuan penternakan lembu tenusu dan lain-lain aktiviti yang berkaitan.
Proses pelupusan tanah dijalankan secara tender terbuka yang bermula pada Januari 2019. “Keseluruhan proses dijalankan secara telus. Kami mempunyai tujuan yang jelas dari awal lagi di mana pelupusan tersebut akan memberikan manfaat dari aspek nilai komersial dan nilai sosial, bukan sahaja kepada MSM tetapi kepada kerajaan negeri Perlis serta komuniti setempat,” kata Khairil Anuar.
Walaupun harga jualan tanah adalah 18% kurang daripada nilai pasaran, Ahli Lembaga Pengarah MSM percaya bahawa pelupusan tersebut akan memberikan kebaikan kepada Kumpulan memandangkan jumlah hasil daripada tanah tersebut adalah kecil, tetapi memerlukan komitmen kewangan yang tidak mampan berikutan kos operasi yang tinggi bagi menguruskan aktiviti perladangan.
Melangkah ke hadapan, MSM akan terus memberikan keutamaan terhadap peningkatan kecekapan bagi mengurangkan kos penapisan, mempelbagaikan produk-produk gula yang mempunyai nilai tambah untuk dieksport, menambah baik kedudukan kewangan serta memacu pertumbuhan strategik melalui peluang kerjasama komersial dengan pemain-pemain industri bereputasi bagi meluaskan jejak pasaran global.
MSM adalah anak syarikat FGV Holdings Berhad yang mempunyai 51% pegangan.




































