Perodua telah meraih Emas dalam kategori Automotif di Majlis Anugerah Jenama Putra 2019 yang berprestij, menjadikannya tahun ketiga berturut-turut pengeluar kenderaan tersebut dinamakan sebagai salah satu jenama automotif kegemaran Malaysia.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad berkata, pihaknya berasa rendah diri dengan pengiktirafan rakyat Malaysia terhadap jenama
itu.

“Pengiktirafan ini memotivasikan dan menggalakkan kami untuk bekerja lebih
keras seiring dengan objektif utama kami, iaitu People First, yang mengutamakan
keperluan dan kehendak rakyat Malaysia,” katanya.
Menerima anugerah bagi pihak Perodua pada malam itu adalah Naib-Presiden
Perodua Auto Corporation Sdn Bhd Datuk Ahmad Suhaimi Hashim.
Perodua telah memenangi anugerah dalam sembilan daripada 10 tahun anugerah
tersebut diadakan. Jenama tersebut memenangi Emas pertamanya pada 2017 dan
Emas keduanya pada 2018.
“Perodua jauh lebih daripada sekadar sebuah syarikat kenderaan. Daripada pelbagai program dianjurkan merangkumi keselamatan, kesihatan, alam sekitar, pendidikan, belia, sukan dan aktiviti amal, kepada inisiatif-inisiatif kepuasan pelanggan serta pembangunan modal insan, para pembekal dan pengedar, kami ingin menjadi jenama yang mampu memberi kesan positif dan nyata kepada rakyat Malaysia,” katanya lagi.
Anugerah Jenama Putra mengiktiraf jenama-jenama kegemaran Malaysia berdasarkan wawancara awam, melibatkan lebih 8,000 responden unik tahun ini.
Dianjurkan oleh Persatuan Ejen Pengiklanan Bertauliah Malaysia (4As), ia merupakan satu-satunya anugerah jenama di negara ini yang diperakui oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).
Acara ini disokong oleh Persatuan Digital Malaysia, Persatuan Pengiklan Malaysia dan Persatuan Pakar Media.






































