Volvo Car Malaysia melancarkan Pusat 3S terbaharu di Mutiara Damansara menerusi wakil pengedar, Ingress Swede Automobile.

VOLVO Car Malaysia, pengeluar kenderaan premium di negara ini, hari ini melancarkan Pusat 3S (Jualan, Servis dan Alat Ganti) di Mutiara Damansara yang dikendalikan oleh rakan pengedarnya, Ingress Swede Automobile Sdn Bhd (Ingress Swede).

Majlis perasmian cawangan itu disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Hadir sama Naib Pengerusi Ingress Corporation Bhd Datuk Dr Rameli Musa, Presiden Bahagian Pengedaran Auto, Ingress Corporation Bhd, Rabian Ab Rahman dan Pengedar Prinsipal Ingress Swede, Mohd Azeman Mohamed Akram.

Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia (VCM), Nalin Jain berkata, VCM sudah memberi fokus kepada pengembangan operasi menerusi pembukaan cawangan baharu selari dengan transformasi baru dan strategi syarikat.

“Ketika ini, kami ada 12 bilik pameran di seluruh Malaysia dengan tiga lagi lokasi sedang dikenalpasti akan dibuka tahun ini. Pengembangan ini turut didorong oleh pertumbuhan jumlah jualan Volvo yang menggalakkan.

“Bagi segmen premium, sesuatu produk itu bukannya faktor utama bagi pengguna membuat keputusan tetapi apa yang penting ialah nilai, kualiti dan akses kepada servis sepanjang tempoh pemilikan kenderaan Volvo ini,” katanya.

Pembukaan cawangan Ingress Swede di tengah-tengah lokasi strategik di Damansara ini adalah satu kelebihan kepada Volvo.

Jain berkata, fasa kedua strategi transformasi baharu Volvo Car Malaysia bukan hanya pemulihan kepada jenama runcit tetapi merangkumi semua aspek iaitu teknologi, proses dan orang ramai.

“Kami melihat kepada penggabungan teknologi dan proses yang akan memberi tambah nilai kepada pelanggan seperti kenderaan kami iaitu apa-apa sahaja yang kita lakukan perlu memberi makna tambahan kepada pengalaman pelanggan kami,” katanya.

Ingress Swede, syarikat milik Bumiputera sepenuhnya yang terletak di Mutiara Damansara, merangkumi bilik pameran dan pusat servis yang dibina dan menggunakan standard runcit terkini kenderaan Volvo iaitu Volvo Retail Experience (VRE) – yang memberi inspirasi jenama Scandinavian daripada segi nilai dan sejarah.

Sementara itu, Pengedar Prinsipal Ingress Swede, Mohd Azeman Mohamed Akram berkata, melihat kepada pengalaman luas syarikat dalam sektor pengedaran automotif premium, pihaknya yakin syarikat mampu menyampaikan pengalaman jenama menerusi pelanggan Volvo.

Tahun ini sudah membuktikan tahun bertuah kepada Volvo Car Malaysia apabila merekodkan pertumbuhan lebih 60 peratus tahun ke tahun bagi tempoh enam bulan pertama 2019.

Jenama Volvo ini dijangka terus mencatatkan perkembangan positif bagi suku terakhir tahun ini menerusi pengenalan produk baru yang sudah dirancang.

Bilik pameran Ingress Swede dibuka dari jam 8 pagi hingga 6 petang, dari Isnin hingga Sabtu manakala dari jam 10 pagi hingga 4 petang pada hari Ahad dan Cuti Umum.

Untuk maklumat lanjut mengenai Ingress Swede Automobile Sdn Bhd, boleh menghubungi  Mohd Azeman Mohamed Akram menerusi emel [email protected] atau menghubungi talian +603 7732 7555.

INGRESS SWEDE AUTOMOBILE SDN BHD

10, Jalan PJU 7/3, Mutiara Damansara

47800 Petaling Jaya, Selangor

TEL: 03 7732 7555