Musim hujan mula melanda beberapa kampung di pedalaman Kemboja dan beberapa negeri sudah mula dinaiki air.

Pengerusi NGO Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican yang sedang menjalankan misi kemanusiaan berkata, hujan berterusan sejak beberapa hari turut menyebabkan beberapa kampung ditenggelami air sejak semalam.

“Hari ini hujan lebat dan tidak berhenti diikuti sesekali angin yang kencang. Ada kampung yang terputus jalan perhubungan dengan kampung lain kerana air naik dengan cepat disebabkan paras air sungai dibeberapa sungai mula naik.

“Ada penduduk yang terputus bekalan makanan seperti beras, gula, minyak dan tepung. Mereka yang terkandas terpaksa mengharap belas ihsan dari penduduk setempat kerana bantuan ke kawasan terbabit amat sukar kerana air yang deras mengalir serta angin kuat,” katanya.

Beliau berkata, hujan yang berterusan juga menyebabkan jalan darat terputus terus dan Misi Kemanusiaan NGO Antarabangsa cuba sedaya upaya untuk membantu mereka ini.

Bagaimanapun, ianya bergantung kepada keadaan cuaca dan jalan yang dilalui itu sama ada boleh tiba ke kampung-kampung berkenaan.

Mustapha berkata, kebanyakan penduduk kampung yang dilanda banjir itu terdiri daripada penoreh getah, petani yang mengambil upah menanam padi dan golongan nelayan sungai.

Setakat ini beberapa kawasan sudah dilanda banjir, antara kampung terbabit ialah Kampung Cham Province, Tbong Khmum Province dan Kraties Province apabila air mula naik di sungai-sungai utama termasuk di Sungai Mekong.

Katanya, penduduk terpaksa mencari perlindungan di kawasan tanah tanah tinggi dan mereka juga terpaksa makan bubur nasi sekali sehari bagi mengalas perut dalam cuaca tidak menentu kerana tidak boleh menoreh getah pada waktu itu.

Bagi penanam padi pula, mereka tidak boleh ke sawah kerana dipenuhi air dan tidak boleh ke sungai kerana air yang deras serta angin yang kuat.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini