Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) hari ini memperkenalkan penyelesaian kewangan baharu yang dikhususkan bagi usahawan wanita di bawah segmen perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang dikenali sebagai Program Women in Business (WinBiz).
Majlis pelancaran program itu disempurnakan oleh Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Turut hadir, Datuk Zamani Abdul Ghani, Pengerusi Bank Islam dan Mohd Muazzam Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur.
Program WinBiz menawarkan kemudahan perbankan yang komprehensif bagi memenuhi keperluan modal kerja dan perbelanjaan modal perniagaan-perniagaan berstatus Sendirian Berhad yang dimiliki dan diterajui oleh wanita.
Dr Wan Azizah berkata, “Saya menyeru agar institusi-institusi kewangan di Malaysia mencontohi dan mengikuti langkah Bank Islam dalam memperkenalkan produk-produk atau perkhidmatan yang menggalakkan penglibatan wanita dalam bidang keusahawanan, khususnya dalam perusahaan kecil dan sederhana.”
Program WinBiz yang akan ditawarkan di pasaran pada Oktober 2019 bertujuan untuk meneroka segmen pasaran baharu yang mempunyai saiz potensi pasaran yang signifikan, selain meningkatkan akses penyelesaian kewangan kepada segmen PKS yang lebih khusus.
Sementara itu, Mohd Muazzam berkata, “Penawaran produk-produk dan perkhidmatan yang canggih dan relevan dengan kehendak semasa dan bersesuaian dengan keperluan masa hadapan merupakan sebahagian daripada usaha Transformasi Bank Islam.

“Sesungguhnya kami amat berbangga kerana diberi peluang untuk memperkenalkan Program WinBiz di pasaran. Malah, ia merupakan satu komitmen permulaan dengan penambahbaikan akan diambil secara berperingkat dari semasa ke semasa dalam memperluaskan lagi kelayakan dan penawaran produk berkaitan,” katanya.
Sebagai permulaan, program WinBiz menyediakan kemudahan Pembiayaan Perniagaan Berjangka-i dengan had pembiayaan sehingga RM1 juta, Kad Kredit-i Visa Infinite Business, Perbankan Internet Korporat, Terminal Penyelesaian Pembayaran, Akaun Pelaburan Al-Awfar SME dan Akaun Semasa iGain SME.
Beliau berkata, Bank Islam melihat PKS sebagai satu segmen penting yang perlu diberi perhatian dan mempunyai potensi untuk terus berkembang.
“Kami menjangkakan portfolio perbankan PKS akan meningkat sebanyak RM50 juta dalam tempoh 12 bulan akan datang susulan pelancaran WinBiz hari ini.
“Selaras dengan visi kami untuk menjadi sebuah Bank yang Mendahulukan Kemakmuran untuk Semua, kami amat komited dalam membantu PKS berpotensi berdaya maju dengan menawarkan produk inovatif untuk meningkatkan pertumbuhan pelanggan PKS kami,” katanya.

































