AirAsia pamer perjalanan udara masa depan kepada Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad sempena lawatan rasmi beliau ke ibu pejabat AirAsia RedQ, hari ini.

Lawatan dan pameran tersebut bermula di Makmal Inovasi di mana AirAsia memperkenalkan laman airasia.com, yang kini merupakan sebuah platform perjalanan semua-dalam-satu yang bukan sahaja menawarkan tiket penerbangan.

Malah pelbagai tawaran gaya hidup supaya para tetamu boleh menempah semua keperluan perjalanan mereka daripada penerbangan dan penginapan hingga pengangkutan, lawatan, hiburan dan banyak lagi di satu laman web.

Pameran pengalaman lapangan terbang digital pula bermula dengan AirAsia FACES (Fast Airport Clearance Experience System), yang membolehkan para tetamu daftar masuk secara digital, daftar masuk bagasi sendiri, mendapatkan pengesahan pelepasan imigresen dan masuk ke pintu perlepasan dengan hanya menggunakan teknologi pengecaman wajah.

AirAsia juga mempamerkan bagaimana penyelesaian kejuruteraan digital seperti teknologi blockchain dan sistem Skywise dapat menyediakan operasi yang lebih baik, cekap dan hijau.

AirAsia juga memperkenalkan komponen-komponen penting yang lain dalam pelan induknya untuk menawarkan pengalaman perjalanan masa depan, termasuklah platform e-dagang OURSHOP, platform kargo dan logistik Teleport, syarikat teknologi kewangan (Fintech) BigPay, dan tawaran gaya hidup seperti Santan dan Yayasan AirAsia.

Selain Perdana Menteri, lawatan tersebut turut dihadiri oleh Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, bersama-sama eksekutif utama daripada AirAsia termasuklah Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia Berhad Datuk Kamarudin Meranun, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes, Pengerusi AirAsia X Tan Sri Rafidah Aziz dan ahli pengurusan kanan AirAsia Malaysia.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini