Persatuan Penduduk Jalan Pahlawan, Bandar Mahkota Cheras (BMC), Selangor semalam mengadakan Majlis Jamuan Muhibbah 2019 bertujuan mengeratkan silaturrahim dikalangan penduduk yang berbilang bangsa.

MAJLIS yang bermula dari jam 10 pagi dan berakhir jam 2 petang itu dihadiri lebih 100 penduduk Jalan Pahlawan 22/3 hingga 46/3, diadakan di hadapan pondok pengawal taman berkenaan.

ADUN Kajang YB Hee Loy Sian sedang berucap pada Majlis Jamuan Muhibbah, semalam

Kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang YB Hee Loy Sian yang sudi meluangkan masa menenuhi jemputan sebagai tetamu terhormat memeriahkan lagi majlis.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof bersama Timbalannya, Superintenden Mohd Sabri Abdulllah dan beberapa pegawai kanan polis lain. Hadir sama Ahli Majlis Perbandaran Kajang, Lim Kim Eng.

Tidak ketinggalan Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk Jalan Pahlawan, Dr Mohd Khairuddin Kandar; Bendahari Azizuddin Abdullah dan Penolong Setiausaha Mazran Akhyari Kamali Hatmal serta ahli jawatankuasa persatuan.

Pengerusi, Nik Mohd Shukri menyampaikan cendermata kepada YB Hee Loy Sian

Pengerusi Persatuan Penduduk Jalan Pahlawan, Bandar Mahkota Cheras, Nik Mohd Shukri Nik Ahmad berkata, majlis itu dirancang sejak dua bulan lalu sebenarnya bertujuan untuk meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang lalu tetapi terpaksa ditunda kerana kesibukan kerja masing-masing.

Beliau dalam ucapannya berkata, persatuan yang ditubuhkan secara rasmi pada 2016 dan kebanyakan ahlinya dikalangan penduduk yang berkhidmat secara sukarela mengambil keputusan mengadakan majlis ini bersama penduduk menerusi Majlis Jamuan Muhibbah.

Katanya, kehadiran penduduk di majlis ini diharap dapat mengeratkan lagi silaturrahim dan hubungan erat yang sedia terjalin selain bekerjasama menyelesaikan masalah berbangkit yang timbul.

“Kami berasa bangga dan bertuah dengan kehadiran ADUN Kajang, YB Hee Loy Sian yang sudi datang ke majlis ini meskipun kita sedia maklum mengenai jadual kerja YB yang padat untuk memenuhi pelbagai jemputan. Terima kasih kepada YB yang hadir pada hari ini.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof yang hadir bersama-sama kita sekali gus membuktikan polis dan penduduk sentiasa bekerjasama,” katanya.

Beliau berkata, kebanyakan masalah yang timbul seperti isu keselamatan sudah diselesaikan apabila pondok pengawal dan kad akses diperkenalkan manakala isu berkaitan kerja-kerja menanam paip bagi Projek Langat 2 sedikit sebanyak berjaya diselesaikan dengan cara baik.

Katanya, kehadiran YB pada majlis ini membolehkan pelbagai masalah berkaitan penduduk dapat dibincangkan dan diajukan kepada pihak yang berkaitan dengan dibantu oleh keprihatinan ADUN Kajang.

“Saya bagi pihak ahli jawatankuasa Persatuan Penduduk Jalan Pahlawan amat berterima kasih dengan kehadiran penduduk pada majlis ini dan kami juga merancang mengadakan program-program lain pada masa depan seperti ceramah pencegahan jenayah, gotong-royong membersihkan kawasan sekitar dan sebagainya.

“Kami sebagai penduduk juga memohon jasa baik YB jika dapat memenuhi hasrat penduduk yang mahukan jalan raya dikawasan kediaman kami diturapkan semula dengan sempurna, memperbaiki kemudahan taman permainan kanak-kanak dan juga menyediakan kabin untuk kemudahan ahli persatuan bermesyuarat atau membuat kutipan bayaran pengawal keselamatan,” katanya.

Sementara itu, YB Hee Loy Sian dalam ucapan balasnya berkata, permasalahan penduduk itu akan diberi perhatian kerana kawasan pentadbiran dibawah DUN Kajang kini menyaksikan pertambahan jumlah penduduk yang semakin meningkat setiap tahun.

“Selepas persempadanan semula, Bandar Mahkota Cheras dan Sungai Long diletakkan dibawah pentadbiran DUN Kajang.

“Mengenai jalan raya yang rosak akibat projek Langat 2, perkara ini akan diberi perhatian kerana pihak kontraktor Langat 2 memaklumkan projek berkenaan belum siap sepenuhnya namun saya tidak bersetuju dengan tindakan mereka tidak menyempurnakan kerja-kerja menurap jalan raya dan saya akan membawa isu ini kepada pihak yang terbabit.

“Mengenai permohonan untuk menyediakan kemudahan lain, ini akan bergantung kepada peruntukan yang diterima oleh pihaknya dan persatuan boleh menulis surat untuk membuat permohonan berkenaan,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi (STI) Dan Hal Ehwal Pengguna berkata, penduduk Kajang boleh mengajukan sebarang masalah kepada pegawai bertugas di Pusat Khidmat Dun Kajang, Jalan Metro Avenue 1, Metro Avenue, Kajang yang dibuka dari Isnin hingga Jumaat, jam 10 pagi hingga 5 petang.

“Bagaimanapun, saya juga menyediakan masa khas iaitu setiap Rabu dari jam 5 petang hingga 8 malam jika ada mana-mana pihak ingin terus berjumpa dengan saya. Jika saya tidak dapat hadir, anda boleh menghubungi saya atau menghantar pesanan WhatsApp dan kita perlu berganding bahu menyelesaikan masalah,” katanya.

Pengerusi menyampaikan cendermata kepada Ketua Polis Daerah Kajang

Katanya, jika dahulu Bandar Kajang sering menghadapi masalah banjir namun masalah itu berjaya diselesaikan namun masalah banjir masih berlaku dibeberapa kawasan kampung di daerah Kajang.

Pada majlis itu juga, tetamu yang hadir berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah yang disediakan oleh pihak penganjur dan hasil sumbangan penduduk.

Apa yang menarik ialah penduduk turut membawa hidangan atau juadah dalam konsep ‘pot luck’ masing-masing untuk memeriahkan lagi majlis berkenaan.

Jom kita lihat gambar-gambar menarik sekitar Majlis Jamuan Muhibbah Persatuan Penduduk Jalan Pahlawan, Bandar Mahkota Cheras dibawah ini.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini