PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) telah melakukan transformasi di Kompleks PKNS Shah Alam yang telah dibina sejak 1977.

USIANYA yang kian mencecah 40 tahun tidak menjadi penghalang untuk bangunan yang mengimbau memori terutamanya buat penduduk di Shah Alam iaitu Kompleks PKNS Shah Alam untuk kekal relevan dengan arus semasa.

Sebelum transformasi

Kompleks PKNS Shah Alam kian rancak dengan melakukan transformasi dari sudut reka bentuk hasil usaha penuh anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor, PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC).

Antara transformasi dilakukan oleh PREC adalah penambahbaikan surau dengan nama baru iaitu Musolla Al-Kauthar, medan selera dengan nama Makan@Bumbung, kemudahan tandas dan penghawa dingin serta fasad luar bangunan.

Musolla Al-Kauthar

Ruang solat yang selesa dan cantik ini boleh memuatkan 100 jemaah dalam satu-satu masa dengan konsep industrial memberikan nafas baru buat Kompleks PKNS Shah Alam.

Surau selepas transformasi

Kemudahan seperti ruang menunggu, ruang wuduk yang mesra OKU dan warga emas, tandas dan kemudahan menyiapkan bayi yang berdekatan menjadi salah satu faktor utama yang diambil kira dalam proses transformasi yang dilaksanakan.

PREC turut bekerjasama dengan pihak jawatankuasa surau Kompleks PKNS Shah Alam bagi mengimarahkan surau dengan aktiviti-aktiviti bermanfaat seperti tazkirah, solat tarawih, kenduri doa selamat, tahlil dan aktiviti fardhu ain yang lain.

Makan@Bumbung

Medan selera di tingkat 4 bangunan Kompleks PKNS Shah Alam juga tidak ketinggalan dalam transformasi yang dilakukan dengan nama Makan@Bumbung yang mengikut trend masa kini iaitu penggunaan nama-nama unik bagi menarik para pengunjung untuk mencuba sesuatu yang tular di alam maya terutamanya melalui media sosial.

Apa yang lebih menarik, PREC akan membawakan aktiviti-aktiviti rekreasi untuk kanak-kanak dan dewasa seperti futsal, playground dan rock climbing di tingkat 4 ini selain menikmati makanan dan pemandangan yang disajikan. Bagi yang ternanti-nanti untuk menikmati makanan di Makan@Bumbung, ia akan mula beroperasi pada bulan hadapan.

Fasad luar bangunan

Renovasi yang dilakukan oleh PREC juga turut melibatkan fasad luar bangunan Kompleks PKNS Shah Alam dengan mengenengahkan salah satu elemen unik di sudut bangunan dengan menampakkan logo PKNS.

Segala penambahbaikan yang dilakukan di kompleks ini dititikberatkan. Ini adalah kerana Kompleks PKNS Shah Alam menjadi tumpuan utama menjelang Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri untuk kaum muslimin dan muslimat mendapatkan juadah berbuka puasa dan menyediakan kelengkapan Hari Raya bersempena dengan program tahunan PREC iaitu Festival Ramadan Selangor (FESTIRA).

Pilihan reka bentuk dan warna ini menjadikan suasana persekitaran kelihatan lebih hangat dan mesra. Grid struktur bangunan ditonjolkan bagi memberikan impak yang lebih menarik bagi menarik minat orang ramai berkunjung ke kompleks ini.

Tandas dan Pendingin Hawa

Fasiliti yang paling utama perlu dittikberatkan sesebuah bangunan adalah tandas dan juga penghawa dingin.

PREC telah mengambil langkah proaktif dalam memastikan semua kemudahan bangunan dalam keadaan yang baik melalui transformasi kemudahan seperti tandas dan juga pendingin hawa agar pengguna dapat berbelanja dalam suasana yang nyaman, selesa dan kondusif serta penggunaan tandas yang bersih dengan nilai tambahnya melalui reka bentuk dengan ciri-ciri kitar semula tong-tong terpakai untuk dijadikan sinki.

Transformasi yang dilakukan oleh PREC ini mampu memberikan kesan positif dari sudut ekonomi dan sektor pelancongan dengan penambahan pengunjung ke Shah Alam khususnya.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini