Model C-Class ialah siri Mercedes-Benz yang tidak perlu diperkenalkan lagi kerana ia adalah model paling laris dan paling lama berada di pasaran. Baca lebih lanjut sesi pandu uji Prebiu.com dengan model C 300 versi facelift yang lebih sporty dan mewah.

SEBUT sahaja model C-Class ramai yang memuji reka bentuk baharunya yang lebih aerodinamik, sporty dan cukup bergaya bukan sahaja pada pandangan mata kasar tetapi pada pandangan mata halus.

Mengapa penulis berkata begitu kerana pada pandangan mata kasar, model sedan empat pintu generasi terkini tampil dengan karektornya yang tersendiri ‘cukup cantik’ tanpa perlu diberikan solekan tambahan.

Pada pandangan mata halus pula, kereta ini dilengkapi beberapa ciri keselamatan aktif terkini, terbaik dan tercanggih yang akan membantu pemandu sentiasa memandu dalam keadaan selamat di jalan raya kerana dibantu teknologi automotif terkini.

Memandu Mercedes-Benz C300 yang dilengkapi kit badan AMG ini didatangkan dengan ciri Bantuan Titik Buta (BSA) yang memberi amaran mengenai kehadiran kenderaan di kiri atau kanan menerusi paparan lampu merah pada cermin sisi beserta dengan sensor bunyi.

Selain BSA, model ini dipasangkan ciri Bantuan Kekal Lorong Aktif (Active-LKA) yang berfungsi memberi amaran kepada pemandu menerusi getaran stereng sekiranya kenderan terpesong dari lorong pada kelajuan antara 60-200kmj.

Bantuan ini cukup berguna sekiranya pemandu tiba-tiba terlelap ketika memandu iaitu berada dalam keadaan ‘microsleep’ yang menyebabkan seseorang terlena dalam beberapa saat yang mungkin mengakibatkan berlaku kemalangan.

Beberapa kes kemalangan maut di jalan raya yang berlaku pada musim Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini boleh dikaitkan dengan keadaan ‘microsleep’ yang mana kenderaan dipandu tiba-tiba memasuki laluan bertentangan dan berlakunya pertembungan dengan kenderaan dihadapan.

Inilah kelebihan yang ada apabila memandu kereta yang memiliki sistem keselamatan pintar kerana kesemuanya dibantu oleh sistem komputer dengan bantuan sensor yang terletak pada cermin hadapan beserta kamera kecil yang dipadankan diatas logo besar gril hadapan.

Penulis sendiri mengalami situasi ini apabila kereta ini akan menekan brek secara automatik secara mengejut sekiranya pemandu terleka dan tidak menekan brek apabila terlalu hampir dengan kenderaan di hadapan. Segalanya dibantu oleh Bantuan Brek Aktif (Active Brake Assist). Sistem ini juga berfungsi ketika kenderaan ini mengundur keluar dari parkir.

Rekaan luaran

Rekabentuk C-Class versi facelift ini secara pandangan mata kasar lebih sporty bermula dari bamper hadapan sehinggalah kepada lampu belakang.

Model facelift ini diberi nafas baru dengan rekaan bamper baharu dihadapan dan gril radiator berlian kemasan menyerlahkan lagi personaliti dan karakter sebuah sedan mewah serta moden.

Padanan lampu LED Multi Beam yang direka semula turut bertindak aktif secara automatik apabila memancarkan lampu besar sekiranya mengesan tiada sebarang kenderaan dihadapan. Ini bermakna pemandu boleh melihat keadaan jalan raya atau halangan dihadapan dengan jelas tanpa perlu sering mengubah kedudukan lampu secara manual.

Padanan bumbung panaromik yang boleh dibuka turut menjadikan C 300 ini kelihatan mewah dan bergaya cukup sesuai dipandu oleh golongan eksekutif.

Rekaan dalaman

Penampilan C 300 diserlahkan dengan kerusi padanan kulit warna merah menjadikannya kelihatan garang dan keseluruhan kabin ini berwarna hitam diberikan perincian yang kemas termasuk pada balutan kulit nappa untuk roda stereng tiga jejari dengan suntikan elemen sporty.

Butang kawalan audio dan fungsi lain turut dipadankan pada stereng berkenaan.

C-Class yang kini memasuki tahun kelima pengeluaran dengan menerima banyak pembaharuan bukan sekadar menawarkan sistem bantuan pemandu dan ciri keselamatan aktif terbaik, tetapi juga didatangkan dengan enjin baharu termasuk 4-silinder generasi terkini.

Kabinnya menampilkan ciri mewah seperti paparan kokpit digital sepenuhnya menerusi skrin 12.3 inci dengan 3 pilihan paparan meter sama ada Classic, Sport, dan Progressive.

Paparan sistem multimedia skrin 10.25 inci resolusi tinggi 1920 x 720 piksel boleh dioperasi menerusi dua punat kawalan sentuh pada stereng manakala sistem infotainment dilengkapkan ciri integrasi telefon pintar bersama sambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

Ciri kemasukan tanpa kunci (Keyless-Go) dibangunkan Mercedes-Benz memberi kelebihan kepada pemandu dan bonet belakang pula boleh dibuka secara automatik tanpa menekan butang kunci dengan menghayunkan kaki dibawah bamper belakang.

Kesemua sistem kawalan elektronik kereta ini ataupun tetapan (settings) boleh dikawal di hujung jari pada tombol ditengah kokpit. Paparan skrin memudahkan anda memilih apa saja tetapan yang dikehendaki sama ada menukar warna lampu dalaman ambien (pilihan 64 warna) atau melaras sistem bunyi audio.

Sistem suspensi

Pemandu boleh mengubah karakter pemanduan daripada pemanduan biasa kepada sports dengan hanya menekan butang dan sistem suspensi Kawalan Dinamik Badan membolehkan anda membuat tetapan sendiri.

Kawalan badan udara (Air Body Control) pula memberikan tindakbalas kepada tayar memberikan tahap keselesaan tinggi sekali gus memberi kelebihan kepada pemanduan jauh kerana berupaya mengurangkan tekanan ketika memandu kerana sistem suspensi secara automatik bertindak balas dengan jenis permukaan jalan raya.

Selain sistem suspensi yang cekap, C 300 turut dipadankan dengan sistem transmisi automatik 9 kelajuan 9G-TRONIC yang menukar gear secara responsif serta lancar dan pada masa sama mampu menjimatkan tahap penggunaan bahan api selain mengurangkan tahap bunyi enjin.

Pakej Sistem Keselamatan

Pakej pengesanan laluan yang menggabungkan Bantuan Titik Buta dan Bantuan Kekal Lorong Aktif (Active-LKA) memberikan amaran sekiranya kereta ini mengesan sebarang potensi risiko sama ada secara visual atau bunyi amaran.

Bantuan Titik Buta mengurangkan risiko kemalangan apabila kereta ini berada dijalan raya dan ia turut berfungsi sehingga 3 minit selepas enjin dimatikan.

Pakej parkir dengan bantuan kamera 360 darjah pula membantu untuk memarkir kereta ini diruang yang sempit dengan mudah. Kamera dihadapan juga membantu apabila kereta ini dipandu keluar dari parkir atau ketika anda mahu keluar dari lorong antara kedai dan bangunan. Hebat bukan!

Pakej bantuan pemandu ini dibantu oleh sensor radar, kamera stereo 3 dimensi dan fungsi komputer dalam kokpit yang memberi petunjuk mengenai masa depan pengeluar kereta ini untuk menghasilkan kenderaan pemanduan sendiri atau autonomous.

Terlalu banyak hendak disenaraikan mengenai ciri keselamatan kereta ini dan secara ringkas kereta ini memiliki ‘mata dan telinga’ sendiri.

Antara ciri-ciri hebat ditawarkan Mercedes-C 300

  • Active Distance Assist DISTRONIC
  • Active Speed Limit Assist
  • Active Steering Assist
  • Active Emergency Stop Assist
  • Active Lane Changing Assist
  • Active Lane Keeping Assist
  • Active Blind Spot Assist
  • Active Brake Assist with cross-traffic function
  • Evasive Steering Assist
  • PRE-SAFE® PLUS
  • THERMOTRONIC Luxurious Automatic Climate Control
  • Electric Roller Blind for Rear Windscreen
  • Auto Dimming Interior and Driver’s Side Exterior Mirror
  • Electrically Adjustable Front Seats with Memory Function
  • 4-Way Lumbar Support
  • Sunblinds in Rear Doors
  • Run-flat Tyres
  • Tyre Pressure Monitoring System
  • Anti-theft Protection Package
  • Remote Bootlid Closing
  • Burmester Sound System
  • Touch Pad
  • SD Card-based Navigation
  • Apple CarPlay
  • Android Auto
  • Stowage Package
  • Cruise Control with SPEEDTRONIC Speed Limiter
  • Kneebag
  • PRE-SAFE Positioning for Front Seats
  • Adaptive Brake Lights

Enjin

Mercedes-Benz C 300 AMG Line dilengkapi enjin 2.0L turbo twin-scroll yang mampu menghamburkan kuasa 258hp pada 370Nm dan dipadankan dengan rim aloi 19 inci 5 Twin Spoke AMG.

Ciri lain yang ada pada sedan AMG ini adalah bumbung suria panaromik, lampu suasana, karpet kaki AMG, sistem pendingin hawa dua-zon Thermotronic, kamera 360-darjah, Parking Pilot, COMAND Online, sistem bunyi Burmester dengan 13-pembesar suara, kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin serta sistem keselamatan pemanduan Pre-Safe.

Harga

Mercedes-Benz C 300 AMG Line – RM304,888

*Harga atas jalan termasuk caj SST tanpa insurans

Kesimpulan

Memandu Mercedes-Benz C 300 selama seminggu ini memberikan tahap kepuasan maksimum kerana pengendaliannya cukup mudah dibantu oleh ‘gajet-gajet’ canggih dalam sistem komputer kereta ini.

Anda seakan sentiasa berada dalam selamat tidak kira apa jenis bentuk pemanduan anda. Bagi mereka yang mahu menguji keupayaan sebenar C 300 ini, sila pilih lima mod pemanduan yang disediakan iaitu Eco, Comfort, Sport, Sport Plus dan Individual – yang akan melaras semula respon enjin, transmisi serta stereng.

Bagaimanapun, sekiranya menukar mod berkenaan kepada Sport, karektor sebenar ‘aksi garang’ kereta ini terserlah menerusi tukaran gear yang pantas dan responsif meskipun dengan hanya menekan sedikit pedal minyak.

Penggunaan gear pada mod Sport dan Sport Plus cukup sesuai ketika kereta ini dipandu laju dilebuh raya meninggalkan kenderaan lain dibelakang dengan mudah.

Daripada aspek pengendalian, stereng kereta ini juga memberikan respon yang cukup baik dan tidak terlalu ringan atau tidak terlalu berat membolehkan anda membaca permukaan jalan dengan baik.

Pedal shif tukaran gear sembilan kelajuan pada stereng kereta ini juga boleh menjadi pilihan kepada anda yang sukakan cabaran atau ‘berangan-angan’ sedang memandu kereta F1.

Kesimpulannya, terlalu banyak hendak diperkatakan mengenai kereta ini. Bagi anda yang mahukan kelainan dalam pemanduan sebuah kereta sedan mewah yang sporty, Mercedes-Benz C 300 adalah satu pilihan terbaik daripada jenama kereta Jerman kerana ia memiliki pakej lengkap yang anda mahukan.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini