MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM), pengeluar gula bertapis terkemuka negara dan juga anak syarikat FGV Holdings Berhad (dahulu dikenali sebagai Felda Global Ventures Holdings Berhad), telah melancarkan penghantaran pukal cerai gula bertapis yang pertama melalui MSM Johor, dengan mengeksport sejumlah 7,000 tan gula bertapis ke China.

MSM Johor yang mula beroperasi sepenuhnya sejak November 2018, membuka ruang kepada Kumpulan MSM untuk memenuhi permintaan domestik dan mempertingkatkan jualan eksport pada harga yang kompetitif berdasarkan lokasi strategik yang terletak di Pelabuhan Tanjung Langsat.

Ia dijangka mengurangkan kos bagi keseluruhan rantaian nilai berikutan kemudahan pelabuhan strategik yang menyumbang kepada penjimatan kos di samping mengurangkan tenaga kerja yang intensif melalui penggunaan teknologi yang canggih dan berfungsi secara automatik sepenuhnya.

Penghantaran pukal cerai dapat mengurangkan kos logistik berikutan ia memerlukan kargo untuk diangkut secara terkumpul seperti di dalam kotak, bungkusan atau palet di mana gula bertapis MSM di angkut di dalam beg jumbo seberat 1.5 tan bagi memudahkan proses pemuatan.

Selain itu, penghantaran pukal cerai juga memudahkan kargo untuk memasuki pelabuhan kurang membangun memandangkan kapal kontena yang besar tidak dapat memasuki sesetengah pelabuhan.

Breakbulk Shipping

Operasi pukal cerai melalui jeti Pelabuhan Tanjung Langsat melibatkan kerjasama di antara MSM Johor dan FGV Transport Services Sdn Bhd, yang juga merupakan anak syarikat FGV, bagi menggunakan sumber kumpulan secara efektif.

MSM mensasarkan untuk mengeksport lebih daripada 300,000 tan gula bertapis dan lain-lain produk berkaitan gula ke rantau Asia Pasifik. Ini sejajar dengan Pelan Perniagaan 2019-2021 yang turut merangkumi pengeksportan ke pasaran Asia sebagai salah satu keutamaan dalam mengekalkan kepimpinan dalam pasaran ke arah menjadi antara 10 syarikat gula terbaik di peringkat dunia menjelang 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM yang baru dilantik, Dato’ Khairil Anuar Aziz berkata, penghantaran secara pukal cerai adalah sebahagian daripada model perniagaan baru yang memberikan fokus kepada mengekalkan disiplin kos dan kecekapan operasi dalam aktiviti perniagaan.

Ini merangkumi perolehan gula mentah, gudang luar serta kos bagi pengangkutan, penapisan dan kewangan. Kelebihan kilang penapisan yang strategik di Johor serta inisiatif penghantaran pukal cerai tersebut memberikan peluang buat MSM untuk mengeksport gula bertapis pada harga yang sangat kompetitif.”

“Dengan kilang penapisan kami di Johor, MSM mempunyai keupayaan untuk memenuhi permintaan dalam negeri dan memperluaskan bahagian pasaran kami di peringkat eksport sambil meneroka aliran pendapatan tambahan,” katanya.

Dato’ Khairil, yang mula bekhidmat di MSM sebagai sebagai Pengarah Eksekutif sejak November 2017 telah menggantikan Mohd Shaffie Said yang mengambil tugas sebagai Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif sejak Januari 2018.

Mohd Shaffie kini memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, berkuatkuasa serta-merta. Dato’ Khairil dikenali dengan pegangan nilai yang kukuh telah berkhidmat bersama Kumpulan FGV sejak 2012.

Beliau lahir dan dibesarkan di FELDA Sungai Klah, Sungkai, Perak juga merupakan generasi kedua peneroka FELDA. Beliau juga turut memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Operasi FGV bagi sektor gula.

Dato’ Khairil membawa bersama pengalaman lebih daripada 25 tahun, memiliki rekod kepimpinan dan perniagaan yang mantap serta kefahaman yang mendalam mengenai lanskap perniagaan pengguna di rantau Asia melalui lantikan kanan dalam pelbagai kesatuan industri.

Dato’ Khairil turut memegang jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah untuk beberapa syarikat lain seperti Pelaburan Mara Berhad, Cadbury Confectionery Malaysia Sdn Bhd dan Sinergi Perdana Sdn Bhd.

“Adalah menjadi tanggungjawab yang besar dan perjalanan yang lebih mencabar perlu ditempuhi berikutan industri gula yang dijangka tidak menentu pada tahun 2019, khususnya situasi lambakan gula di peringkat tempatan dan juga antarabangsa.

Walaubagaimanapun, MSM kekal optimis dalam prestasinya memandangkan kami sedang merangka semula strategi perniagaan untuk kekal bersaing, memberikan pulangan kewangan dalam perniagaan teras dan merangka pertumbuhan jangka panjang yang menguntungkan.” katanya lagi.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini