Kehadiran SUV kompak terbaru Volvo XC40 ini memecah tradisi Volvo yang selama ini hanya memberi fokus kepada model pertengahan dan ke atas seperti XC60 serta XC90.
VOLVO yang memang sedia maklum cukup sinonim dengan aspek teknologi keselamatannya yang sentiasa mendahului zaman semakin mendapat perhatian peminat automotif di negara ini.
Ini kerana rekabentuknya semakin berubah daripada imej ‘berkotak’ atau imej kereta ‘kebal’ misalnya menerusi model sedan empat pintunya seperti Volvo 240GL (sekadar contoh).
Kini seiring dengan peredaran zaman, Volvo terus menghasilkan rekaan model-model baru yang menepati pasaran daripada golongan muda, pertengahan hingga kepada korporat.
Maka tidak hairanlah, model XC40 T5 R-Design yang dipandu uji Prebiu.com mengubah 360 darjah persepsi sebenar pengeluar kenderaan buatan Sweden ini menampilkan kehebatannya termasuk merangkul Anugerah Kereta Terbaik Eropah (COTYE) 2018 dan Kereta Terbaik Jepun (JCOTY) 2018.
Ketika ini pasaran tempatan hanya menerima satu varian, XC40 R Design yang dijual pada harga RM255,888 seunit. Model ini dipasang sepenuhnya (CKD) di kilang Volvo di Shah Alam, Selangor.
Rekaan luaran
Meskipun rekabentuk XC40 agak unik berbanding SUV kompak lain namun sekilas pandang rekaannya agak ringkas namun menampilkan ciri-ciri inovasi dan dilengkapi teknologi terkini.
Sememangnya XC40 disasarkan kepada pemandu urban di bandar dan sesekali memandu ke luar bandar seperti ke pantai atau ke kampung halaman.
Tumpuan utama titik mata apabila melihat model itu ialah rekaan hud hadapan lebih tegap diserlahkan menerusi penggunaan gril depan tegak bersama lampu signatur ‘tukul Thor’ Volvo.
Garisan sisi badan yang tinggi dan tegap menampakkan XC40 kelihatan besar manakala bahagian belakangnya masih menonjolkan rekaan tradisional Volvo menerusi lampu ‘L’ yang direka semula untuk kelihatan lebih menarik.
Bampar bawah hitam yang dipadankan dari sebahagian depan, sisi hingga belakang menggunakan bahan material lasak menjadikan model itu cukup sporty dan agresif.
Jika ditanya dimanakah sentuhan ‘R-Design’, ia boleh dilihat pada bahagian pedal kaki, pelapik kepala hitam, kemasan aluminium pada pintu, roda stereng dan tuil gear, manakala rim bersaiz 19 inci, dibaluti tayar bersaiz 235/50/R19.
Rekaan dalaman
Menjengah masuk ke ruang kabin XC40, ia menampilkan kemasan hitam gabungan lembut dan keras berkualiti tinggi bersama kesan holografik selain menawarkan ciri praktikal kepada pengguna sama ada penumpang hadapan mahupun belakang.
Bahagian sisi pintunya menawarkan ruang simpanan besar apabila memindahkan pembesar suara dan meletakkan subwufer pada papan pemuka. Ada 13 pembesar suara dalam kereta ini termasuk menggunakan teknologi subwufer udara.
Paling menarik, ruang di tepi pintunya mampu menyimpan komputer riba bersaiz sehingga 15-inci, tablet dan dua botol air.
Bahagian bawahnya pula dibalut dengan fabrik lembut agar barangan disimpan tidak mengeluarkan bunyi bergesel ketika pemanduan.
Jika tidak cukup lagi, ada ruang simpanan tambahan pada bahagian hadapan untuk peranti kecil pengecas tanpa wayar, dua slot USB dan di konsol tengah tersedia dua tempat meletak botol air.
Satu lagi ciri cukup praktikal ialah pada bahagian perehat tangan antara pemandu dan penumpang depan. Ini kerana tersedia kotak kecil yang berfungsi seakan tong sampah dan boleh ditanggalkan jika diperlukan.
Jika ada seorang pengguna tegar tablet, XC40 menampilkannya menerusi paparan skrin besar di tengah papan pemuka yang menjadi pusat kawalan kepada pelbagai fungsi kereta. Anda hanya perlu meleret skrin dari kiri atau ke kanan untuk mencari tetapan yang dikehendaki dengan mudah.
Kawalan pendingin hawa juga dilakukan pada skrin sentuh ini dan ciri ini mungkin agak kurang praktikal ketika sedang memandu kerana ia mungkin menjejaskan fokus pemanduan anda.
Sebagaimana ciri kenderaan moden masa kini dan sesuai dengan cuaca panas di negara Asia, corong pendingin hawa di belakang konsol tengah disediakan buat penumpang.
Ruang but
Meskipun XC40 ini bersaiz agak kecil berbanding abang-abangnya iaitu XC60 dan XC90, ia mampu menawarkan ruang yang luas dibahagian dalaman termasuk but belakang.
Ruang but seluas 580 liter sesuai untuk membawa pelbagai saiz barangan dan jika mahukan lebih ruang bagasi, kerusi belakangnya boleh dilipat mengikut posisi 40:60 memberikan ruangan tambahan untuk membawa barangan panjang.
Ruang lantai but juga boleh dilipat untuk membahagikan ruangan but kepada dua bahagian.
Suis kawalan but untuk dibuka boleh ditekan dibawah stereng pemandu manakala suis untuk menutup but hanya perlu menekan punat dibahagian atas but. Anda juga boleh menggoyangkan kaki dibawah but belakang sebagai salah satu kaedah membuka but belakang.
Enjin
Volvo XC40 menggunakan enjin 2.0L Drive E berkuasa 252hp dan tork 350Nm dengan transmisi gear 8 kelajuan (All Wheel Drive).
Terdapat 5 pilihan mod pemanduan iaitu Eco, Comfort, Off Road, Dynamic dan Individual. Jika mahukan pemanduan lebih agresif, guna sahaja pedal gear dibelakang stereng.
Apa yang menarik perhatian Prebiu.com ialah sistem pintar transmisi gear kereta ini akan berada dalam kedudukan statik tanpa perlu menekan sebarang brek kaki ketika kenderaan ini berhenti dilampu isyarat.
Selagi pedal minyak tidak ditekan kereta ini tidak akan bergerak meskipun ketika itu kedudukan kereta ini sedang mendaki ataupun menurun. Ia seolah-olah membrek sendiri ataupun berhenti pada kedudukan statik secara automatik.
Pada tanda harga lebih RM255,000, anda sebenarnya memiliki sebuah model SUV yang penuh dengan teknologi semi autonomi, terdiri daripada Pilot Assist, City Safety, Run-Off Road Protection, Amaran Trafik Lintas Belakang (RCTA) dengan Brek Automantik (BA).
Kesimpulan
Kehadiran Volvo XC40 boleh dianggap menjadi pesaing kepada model kompak SUV buatan Jepun dan Eropah lain. Menerusi rekaan luaran yang kelihatan agak ‘Rare’ berbanding model setandingnya, XC40 adalah SUV yang seronok dipandu sama ada di laluan bandar mahupun di luar bandar.
Justeru, memiliki atau memandu kenderaan SUV memiliki kelebihan dan kekurangan tersendiri bergantung kepada citarasa anda.
Jika anda seorang yang baru berjinak-jinak mahu memiliki sebuah SUV buatan Eropah yang dipadankan dengan ciri keselamatan terkini, XC40 mungkin boleh menjadi pilihan.
Dalam keadaan cuaca yang sering hujan dan terpaksa mengharungi banjir, kenderaan SUV adalah pilihan tepat.
Volvo XC40 dilihat sesuai untuk kegunaan urban di bandar tanpa mengira usia sebagai kenderaan harian ke tempat kerja dan pada hujung minggu bersantai bersama keluarga mahupun bersama rakan.
SPESIFIKASI
Volvo XC40
- Enjin: 2.0L turbo 4-silinder Drive-E
- Kuasa: 252hp @ 5500rpm
- Tork: 350Nm @ 1800-4800rpm
- Transmisi: Automatik 8-kelajuan
- Kelajuan dari 0-100km/j: 6.4saat
- Tahap guna petrol: 7.7l/100km
- Saiz tangki: 54 liter
- Harga: RM255,888