Hasil Kumpulan meningkat 3.8 peratus kepada RM2,035.7 juta pada separuh pertama berakhir 31 Mac 2019 manakala untung sebelum cukai Kumpulan melonjak 33.3 peratus kepada RM288.0 juta pada separuh pertama berbanding tempoh sama tahun lalu.

JUALAN minuman lebih tinggi bagi Food & Beverages Malaysia (F&B Malaysia) dipacu oleh kejayaan promosi perayaan dan penambahbaikan laluan ke pasaran, diimbangi oleh jualan susu dalam tin yang lebih lemah.

F&NHB Chief Executive Officer, Mr Lim Yew Hoe (right) and F&NHB Chief Financial Officer, Mr Lai Kah Shen (left) showcasing the latest products from F&N

Hasil menyusut sedikit sebanyak 0.7 peratus kepada RM1,095.0 juta. Prestasi separuh pertama kukuh dicatatkan oleh Food & Beverages Thailand (F&B Thailand). Hasil meningkat 9.5 peratus kepada RM940.1 juta berasaskan kejayaan inisiatif pemasaran dan inisiatif penjenamaan di pasaran domestik dan Indochina.

Untung selepas cukai F&B Thailand meningkat 14.8 peratus walaupun memulakan pembayaran cukai korporat tahun ini selepas menggunakan sepenuhnya keistimewaan promosi yang diberikan oleh Lembaga Pelaburan.

Prestasi kukuh ini disokong oleh jualan lebih tinggi dan kos input lebih rendah. Dividen satu peringkat tunggal 27.0 sen sesaham (2018: 27.0 sen sesaham) berjumlah RM99.0 juta.

Fraser & Neave Holdings Bhd (F&NHB) mencatatkan hasil lebih tinggi bagi separuh pertama berakhir 31 Mac 2019, yang naik 3.8 peratus kepada RM2,035.7 juta berbanding RM1,961.4 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu manakala untung sebelum cukai melonjak 33.3 peratus kepada RM288.0 juta berbanding RM216.0 juta yang dicatatkan pada 2018.

Untung selepas cukai bagi tempoh yang sama meningkat 14.0 peratus kepada RM227.3 juta daripada RM199.4 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Prestasi separuh tahun yang lebih baik ini dicapai berlandaskan kekuatan jualan minuman daripada langkah pengaktifan pasaran tambahan dan kempen perayaan berkesan dan juga usaha mengukuhkan laluan ke pasaran, terutamanya di Malaysia Timur.

Pencapaian tersebut disokong lagi oleh jualan lebih kukuh dalam pasaran Thailand dan Indochina daripada kejayaan aktiviti pemasaran dan penjenamaan.

Hasil F&B Thailand meningkat 9.5 peratus kepada RM940.1 juta untuk tempoh yang dilaporkan daripada RM858.4 juta pada tahun sebelumnya dipacu oleh peningkatan kapasiti dan juga jualan lebih tinggi semasa pesta Songkran.

F&B Malaysia meningkatkan jumlah jualan sebanyak 2.9 peratus pada separuh pertama berakhir 31 Mac 2019, yang sebahagian besarnya berbekalkan sumbangan daripada jualan minuman. Ini diimbangi oleh jualan susu dalam tin lebih rendah disebabkan persaingan harga sengit di pasaran tempatan, lantas memberikan kesan kepada prestasi keseluruhan F&B Malaysia dalam tempoh yang dilaporkan.

Hasil F&B Malaysia menyusut sedikit kepada RM1,095.0 juta daripada RM1,102.4 juta pada tempoh sama tahun lepas manakala untung operasi merosot 0.5 peratus kepada RM80.6 juta disebabkan promosi perdagangan lebih tinggi, perbelanjaan pemasaran dan kos pengedaran, yang diimbangi oleh kos input bersih dan pembungkusan yang lebih rendah.

Ketua Pegawai Eksekutif F&NHB, Lim Yew Hoe berkata, prestasi mantap berterusan perniagaan F&B Thailand dan Malaysia Kumpulan, walaupun dalam suasana makroekonomi lemah yang berpanjangan mencerminkan tumpuan tidak berbelah dan usaha gigih Kumpulan untuk mencapai prestasi lebih kukuh dan pertumbuhan mampan menerusi strategi jualan mantap dan kecemerlangan operasi.

“Kami gembira dengan kejayaan pelaksanaan jualan dan pemasaran Tahun Baru Cina, dengan pencapaian 100PLUS mencatatkan bahagian pasaran tertinggi dalam tempoh lima tahun pada Tahun Baru Cina 2019 yang sekali gus memberikan kami permulaan hebat pada tahun baru.

“Kami akan terus mengukuhkan pelaksanaan laluan ke pasaran dan menjayakan promosi berkesan, terutamanya dalam bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri untuk mengekalkan momentum pertumbuhan pada separuh kedua,” tambahnya.

Eksport lebih tinggi daripada pengembangan pasaran Tiub Picit Krimer Minuman Manis TEAPOT ke Indochina dan juga program jualan dan pemasaran berkesan di pasaran tempatan menyumbang kepada pertumbuhan hasil bagi F&B Thailand.

Tinjauan Masa Depan

Mengulas mengenai pengumuman Kerajaan menangguhkan pelaksanaan duti eksais ke atas minuman bergula (SSB) dari 1 April ke 1 Julai 2019, Lim merakamkan penghargaan F&NHB kepada pihak berwajib kerana mempertimbangkan maklum balas daripada peserta industri.

“Kami berterima kasih atas keputusan Kerajaan ini yang akan memberi kami sedikit lagi masa untuk melaksanakan rancangan penampungan dan membolehkan rakyat Malaysia menikmati sambutan Hari Raya Aidilfitri. Kami akan terus memanfaatkan inovasi dan usaha penciptaan semula untuk menawarkan produk yang lebih sihat, termampu dan lazat yang mudah didapati oleh semua,” katanya.

Dalam usaha untuk mengurangkan kesan duti eksais SSB, Kumpulan akan mengeluarkan pek lebih kecil, merumuskan semula dan mengurangkan kandungan gula dalam tawaran produk sedia ada dan juga menggiatkan inovasi dalam kategori produk lebih sihat.

Selain daripada memberi tumpuan terhadap duti eksais yang bakal dilaksanakan ke atas SSB, F&NHB akan terus menjalankan promosi istimewa dan aktiviti perdagangan untuk bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya yang akan datang.

Ini termasuk memperkenalkan edisi terhad minimum F&N Laici Pir, dengan resipi ditambah baik yang disahkan dengan Logo Pilihan Lebih Sihat dan juga varian perisa buah 100PLUS yang terdiri daripada 100PLUS OREN, 100PLUS BERI, 100PLUS LIMAU LEMON dan 100PLUS ANGGUR HITAM.

Produk yang baru dilancarkan di Malaysia juga termasuk F&N SEASONS Epal Buah Delima dan F&N SEASONS Laici Tembikai dan juga Krimer Pekat Manis CARNATION.

Mengulas mengenai tinjauan Kumpulan bagi tahun kewangan semasa, Pengerusi F&NHB, Tengku Syed Badarudin Jamalullail berkata pasaran domestik keseluruhan bagi Malaysia dijangka terus mencabar terutamanya dalam segmen susu dalam tin dan juga akibat pelaksanaan duti eksais SSB.

Langkah menangguhkan pelaksanaan duti eksais ke atas SSB ke 1 Julai dan bukannya tarikh lebih awal yang dicadangkan, iaitu pada 1 April, akan membantu F&NHB mengurangkan kesan bagi tahun kewangan semasa dengan lebih baik.

Mengenai Fraser & Neave Holdings Bhd

Fraser & Neave Holdings Berhad (F&NHB) ialah sebuah syarikat Malaysia yang disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia Securities Berhad dengan kepakaran dan kedudukan kukuh dalam perniagaan makanan dan minuman.

Sejarah gilang-gemilang yang menjangkau 136 tahun meletakkan F&NHB dan jenamanya sebagai salah satu daripada yang dipercayai sejak turun-temurun.

Syarikat ini mempunyai portfolio 20 jenama yang diminati ramai, yang merupakan pendahulu dalam pelbagai segmen iaitu 100PLUS, F&N Fun Flavours, F&N SEASONS, Susu Pekat dan Sejat F&N, F&N Magnolia, OYOSHI, Farmhouse, CARNATION dan F&N Fruit Tree.

F&NHB mempunyai tenaga kerja seramai 2,800 kakitangan dan merupakan salah satu daripada 100 Majikan Utama Graduan Malaysia. F&NHB beroperasi di Malaysia, Brunei, Thailand dan Indochina, dan merupakan anak syarikat Fraser and Neave, Limited, sebuah syarikat yang disenaraikan di Bursa Saham Singapura. www.fn.com.my

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini