MINI Malaysia Memperkenalkan Kenderaan ‘MINI Countryman Plug-In Hybrid Wired’ dan
‘MINI Cooper S Countryman Pure´ yang Terbaharu.

MINI, jenama automotif premium kompak yang tercanggih di Malaysia memperkenalkan MINI Countryman Plug-In Hybrid Wired dan MINI Cooper S Countryman Pure yang terbaharu.

 

“MINI Countryman merupakan jentera serba boleh yang terunggul; simbol ikonik untuk
kehidupan urban. Sejak pengenalannya pada tahun 2010, MINI Countryman dengan
konsisten telah menjalani proses evolusi sepanjang dasawarsa ini untuk melengkapi penular trend daripada setiap generasi.

Pada tahun 2018, Malaysia menjadi tunggak utama di rantau Asia Tenggara dengan tugas pemasangan MINI Countryman di peringkat tempatan.

Lanjutan daripada kejayaan cemerlangnya dan sejajar dengan strategi elektrifikasi kami, kami juga telah memperkenalkan varian Hibrid ‘Plug-In’ untuk mendemonstrasikan komitmen kami terhadap pembentukan masa hadapan bagi industri automotif Malaysia dengan Mobiliti Elektro,” kata Harald Hoelzl, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia.

Beliau berkata, “Kenderaan Aktiviti Sport (SAV) premium yang versatil serta varian
berelektriknya juga telah menjadi penyumbang utama kepada prestasi pemecahan rekod
kami dengan penyerahan 1,200 unit kenderaan pada tahun lalu.

MINI Cooper S Countryman Pure

Ia merupakan pertumbuhan sebanyak 19% berbanding pencapaian yang dicatat pada tahun 2017 (1,011 kenderaan).

Pada suku pertama tahun 2019, prestasi kami telah berkembang sebanyak 38% dengan
lebih daripada 300 unit kenderaan yang berjaya diserahkan; lebih daripada separuh
merangkumi varian jentera MINI Countryman.”

Jenama premium British ini yakin bahawa MINI Countryman Plug-In Hybrid Wired dan MINI
Cooper S Countryman Pure yang terbaharu akan terus mengilustrasikan kisah kejayaannya
dalam segmen premium Malaysia.

MINI Countryman Plug-In Hybrid Wired dan MINI Cooper S Countryman terbaharu
menampilkan pelbagai kecanggihan inovasi termasuk ‘MINI Connected’ generasi terbaharu
dengan teknologi SIM 4G yang turut disertakan.

MINI Countryman Plug-In Hybrid Wired

Dengan penawaran keupayaan keterhubungan dan servis peribadi yang ekstensif, MINI Connected yang baharu ini akan meningkatkan tahap keselamatan dan kemudahan, menawarkan informasi yang terkini serta kualiti hiburan yang tinggi juga, ia membolehkan warga MINIacs kekal terhubung walaupun ketika mereka berada di atas jalan raya.

Ciri-ciri ini meliputi Panggilan kecemasan Pintar (Intelligent Emergency Call), ‘TeleServices’, ‘MINI Online’, Servis Rencam MINI (MINI Concierge Service), ‘Apple CarPlay’ tanpa wayar, Servis Jarak Jauh (Remote Services) dan Servis eDrive (eksklusif untuk MINI Countryman Plug-In Hybrid Wired).

Ciri kemudahan dibawa ke aras yang baharu dengan Akses Keselesaan (Comfort Access),
Bantuan Parkir (Park Assist), Bantuan Jarak Parkir – Hadapan dan Belakang (Front and Rear PDC), Pembuka But Auto (Auto Tailgate), Kamera Pandang Belakang (Rear View Camera), Brek Parkir Elektronik (Electronic Parking Brake), dan Bangku Piknik MINI (MINI Picnic Bench) – bangku bermaterial lembut dengan dua tempat duduk yang direka suai dengan pengadang perlindungan kotoran.

Selain penampilan reka bentuk ‘ALL4’, MINI Countryman Plug-In Hybrid dengan Pakej Berwayar (Wired Package) kini menggayakan rim ruji 19 inci dengan tayar ‘run flat’.

Keterampilan dan kelasakan jentera ini digilapkan dengan jaluran bonet MINI, bumbung
berkontras dalam warna hitam atau putih, serta gril berbentuk heksagon.

Di dalam, varian hibrid ‘plug-in’ terbaharu ini dihiasi dengan upholsteri bersulam material kulit (Leather Cross Punch Carbon Black) pada tempat duduk berelektrik dengan fungsi memori.

Penawaran interior ini dituntaskan dengan trim interior ‘MINI Yours Illuminated’ serta stereng ‘MINI Yours’. Paparan Sesentuh 8.8 inci terbaharu yang beresolusi tinggi pada Instrumen Pusat MINI (MINI Centre Instrument) kini memuatkan teknologi tercanggih serta maklumat navigasi di hujung jari pemandu.

Paparan ‘Head-Up’ (HUD) juga berorientasikan pemandu, ia memastikan jalan yang dituju serta informasi penting yang berkenaan dengan kenderaan ini dapat dilihat dengan jelas. Sementara itu, aspek hiburan dalam kenderaan ini diperkayakan oleh sistem bunyi Harman Kardon dengan 12 unit pembesar suara.

MINI Countryman Plug-In Hybrid Wired didatangkan dengan enjin petrol ‘TwinPower Turbo’
yang digandingkan bersama motor elektrik. Dengan transmisi automatik 6 kelajuan, varian
hibrid ‘plug-in’ ini berupaya untuk menjana 224 kk (kuasa kuda) dan tork berjumlah 385 Nm.

Ia mampu memecut dari kelajuan 0 hingga 100 km/j hanya dalam masa 6.8 saat, mencecah kelajuan maksimum 198 km/j dengan penggunaan bahan bakar yang hanya
berjumlah 2.1 liter bagi setiap 100 km.

Penawaran warna eksterior bagi MINI Countryman Plug-In Hybrid Wired merangkumi warna merah (Chilli Red), putih (Light White), hijau (British Racing Green) dan perak (Melting Silver); semuanya dipadankan dengan bumbung berwarna hitam.

Warna eksterior biru (Island Blue) pula dipadankan dengan bumbung berwarna putih.

MINI Cooper S Countryman Pure Terbaharu

Dengan reka bentuk serba lasak yang menawan, MINI Cooper S Countryman Pure terbaharu menampilkan jaluran bonet yang ikonik serta bumbung hitam yang elegan. Jentera ini juga hadir dengan lampu hadapan LED yang dilengkapi oleh lampu indikator, serta rim ruji 18 inci ‘Black Pin’.

MINI Cooper S Countryman Pure dihiasi dengan upholsteri hitam (Carbon Black) serta
penggayaan material kulit (Leather Cross Punch) dengan kerusi berelektrik untuk keselesaan maksimum yang bertaraf tinggi.

Trim interior eksklusif berwarna kelabu (Hazy Grey) menzahirkan nuansa kemodenan yang melengkapi material bumbung berwarna kuning air (beige). Jentera terbaharu ini juga didatangkan dengan Paparan Sesentuh 6.5 inci bersama Navigasi yang mengutamakan pengalaman kepenggunaan dengan antara muka (interface) yang mudah untuk dioperasikan.

MINI Cooper S Countryman Pure dikuasakan oleh enjin petrol 4 silinder ‘TwinPower Turbo’
yang mampu menjana kelajuan tertinggi mencecah 224 km/j dan mampu membuat pecutan abad dalam masa 7.4 saat.

Di samping transmisi automatik 8 kelajuan, MINI Cooper S Countryman Pure terbaharu dapat menjana output maksimum setinggi 192 kk dan tork berjumlah 280 Nm. Kesemuanya dapat dikecapi dengan purata penggunaan bahan bakar yang berjumlah 6.5 liter bagi setiap 100 km.

Penawaran warna eksterior bagi MINI Cooper S Countryman Pure meliputi warna merah (Chilli Red), putih (Light White), hijau (British Racing Green), kelabu (Thunder Grey), perak (Melting Silver) dan biru (Island Blue); kesemuanya dipadankan dengan bumbung berwarna hitam.

MINI Countryman Plug-In Hybrid Wired dan MINI Cooper S Countryman Pure yang terbaharu didatangkan dengan Waranti Perbatuan Tanpa Had Bertempoh 4 Tahun oleh
MINI serta Program Servis Berjadual Percuma.

Harga jualannya (di atas jalan untuk pendaftaran peribadi, tanpa insurans) ialah:

MINI Cooper S Countryman Pure Terbaharu: RM228,888.00
MINI Countryman Plug-In Hybrid Terbaharu: RM250,888.00
Wired Package: tambah RM18,000.00

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini