TM One melengkapkan JKR dengan penyelesaian dan perkhidmatan digital untuk memperkayakan rakyat Malaysia dengan gaya hidup digital bersepadu

TELEKOM Malaysia Berhad (TM), melalui unit rumusan perniagaannya, TM ONE dan Jabatan Kerja Raya (JKR) baru-baru ini menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) untuk kedua-dua pihak berkolaborasi dalam satu kerjasama strategik bagi menjadikan JKR sebagai perintis teknologi Internet of Things (IoT) untuk Kerajaan Malaysia serta agensi-agensinya.

MoU signing TM with JKR

Kolaborasi ini menandakan usaha komited di antara TM dan JKR melalui kerjasama strategik untuk menyumbang kepada perkembangan industri pembinaan dengan menyediakan lebih banyak kemudahan jalan raya yang efisien, sistem lampu isyarat pintar dan bangunan pintar serta membolehkan perkembangan ekonomi digital negara.

MoU tersebut telah ditandatangani oleh Ir. Ts Azizi A. Hadi, Ketua Pegawai Eksekutif, TM ONE dan Mohd Roslan Mohd Rashidi, Naib Presiden, Jualan, TM ONE sementara JKR telah diwakili oleh Ir. Kamaluddin Haji Abdul Rashid, Timbalan Ketua Pengarah, JKR dan Dato’ Ir. Shuib Tabri, Pengarah Perkhidmatan Rekabentuk, Cawangan Kejuruteraan Elektrik, JKR.

Majlis menandatangani berkenaan turut disaksikan oleh Dato’ Dr. Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan, Ketua Setiausaha, Kementerian Kerja Raya, Dato Sri Ir. Dr. Roslan Md Taha, Ketua Pengarah, JKR dan Imri Mokhtar, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, TM.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah pegawai-pegawai kanan Kementerian Kerja Raya, JKR dan TM.

Ir. Ts Azizi berkata, kami amat teruja untuk bekerjasama erat dengan pihak JKR bagi memacu penyampaian perkhidmatan dan penyelesaian digital kami untuk membantu agensi-agensi kerajaan menangani pelbagai cabaran merentas pelbagai sektor seperti pengangkutan, keselamatan, kemampanan alam sekitar dan sosial serta perkhidmatan awam.

Sebagai nadi penggerak kepada aspirasi Digital Negara, TM melalui TM ONE amat komited untuk memainkan peranan strategiknya dalam merealisasikan aspirasi Kerajaan Digital melalui Penyelesaian Digital dan Sambungan, selari dengan visi TM untuk “Menjadikan Hidup dan Perniagaan Lebih Mudah Demi Kesejahteraan Malaysia”.

MoU ini akan memperlihatkan kedua-dua pihak membentuk asas bagi kerjasama dan kolaborasi yang meliputi rangka kerja inisiatif bersama dan kajian pelaksanaan dalam pembangunan teknologi IoT yang merangkumi:

  • Pembangunan platform IoT bagi industri pembinaan
  • Menghubungkan negara melalui sistem laporan awam dalam talian
  • Melaksanakan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) dengan sistem pengurusan trafik
    pintar dan pengangkutan pintar
  • Mengoptimumkan pengurusan aset, termasuk pengurusan pengangkutan,
    pengurusan tenaga, pengurusan bangunan pintar, pengurusan bencana dan
    pemetaan utiliti
  • Inisiatif penyelidikan berterusan dalam bidang digitalisasi, pengoptimuman,
    keselamatan, analisis data, pembelajaran mesin dan Kepintaran Buatan (AI)

Sebagai satu-satunya penyedia perkhidmatan telekomunikasi, ICT dan digital bersepadu sepenuhnya, TM ONE komited untuk menjadi pemacu strategik ekosistem terhubung (hyperconnected ecosystem) yang selamat dengan menyampaikan IoT, Big Data dan perkhidmatan pintar yang memanfaatkan penyelesaian digitalnya yang lengkap.

Melalui kerjasama ini, kedua-dua pihak akan memanfaatkan kelebihan masing-masing untuk meningkatkan nilai dan menyokong pertumbuhan ekonomi digital Malaysia.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini