Penganjur Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2019 (PBAKL) 2019 yang membuka tirainya di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini yang bemula hari ini hingga 7 April depan menyasarkan jumlah kehadiran pengunjung sebanyak 1.5 juta.
Pengarang Majlis Buku Kebangsaan Malaysia merangkap Pengerusi 1 Jawatankuasa Pengelola, Abd. Wahab Ibrahim berkata, jumlah berkenaan dijangka mampu mencecah 2.8 juta bersandarkan kepada pencapaian tahun sebelumnya seramai 2.6 juta.
Angka berkenaan tidak mustahil untuk dicapai memandangkan musim cuti sekolah dan ibu bapa di sekitar Lembah Klang mungkin mengambil peluang keemasan untuk membawa ahli keluarga mereka ke sini.
Bahkan ini adalah peluang bagi meluaskan capaian dalam mempromosikan objektif utama menjadi Ibu Kota Buku Dunia dengan memupuk budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Acara selama 10 hari ini menempatkan 700 buah gerai melibatkan lebih 200 penerbit tempatan dan antarabangsa termasuk Arab Saudi, Indonesia, Brunei dan Singapura.
Kumpulan Utusan menerusi Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd (UP&D) @ Tintarona Publication Sdn. Bhd. turut membuka ruang pameran buku di Dewan Tun Ismail sempena PBAKL dengan menawarkan tawaran hebat kepada pengunjung . – UTUSAN ONLINE