Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar mempertahankan gelaran ‘bekas diktator’ yang digunakannya terhadap Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana pernah digunakan sebelum ini.

Tegas anak sulung Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, beliau pernah menyebut gelaran itu sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan dalam ucapan ketika perhimpunan Bersih beberapa tahun lalu.

“Ia fakta daripada rekod saya. Saya cakap sebelum pilihan raya, cakap ketika demonstrasi Bersih 3.0 atau 4.0.

“Saya tidak faham kenapa bercakap dalam forum berlainan (tetapi) mengandungi mesej yang sama adalah sesuatu yang bermasalah,” katanya dalam sidang akhbar di lobi Parlimen.

Jumaat lalu, Nurul Izzah dalam wawancara dengan akhbar Singapura, The Straits Times menyifatkan Dr. Mahathir sebagai bekas diktator dan mengakui sukar bekerja dengan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu.

Nurul Izzah turut meluahkan rasa kecewanya dengan kerajaan PH kerana gagal menunaikan janji dan menggerakkan agenda reformasi sepertimana sepatutnya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut mempersoalkan adakah menjadi kesalahan untuk beliau mengeluarkan kenya­taan yang membina.

“Saya cakap mengenai reformasi negara bergerak perlahan, takkan tak boleh bagi sedikit komen membina. Kita sayang negara, kita kena dengar orang cakap,” katanya.

Mengulas isu Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Nurul Izzah menegaskan jawatankuasa itu perlu diletakkan pada tempat yang sepatutnya untuk memantau dan sebagai perisai kepada segala ketirisan.

Beliau yang telah melepaskan jawatan sebagai anggota PAC Sabtu lalu memberitahu, Pakatan Harapan (PH) harus meneliti kemungkinan ketirisan dalam badan eksekutif dan PAC adalah fungsi utama untuk menangani perkara itu.

“Saya terlalu menghormati (Datuk Seri Dr.) Ronald Kiandee. Saya pernah bekerjasama baik dengan beliau tetapi akhirnya struktur (PAC) perlu diutamakan.

“Ini bukan masalah individu, tetapi siapa yang mendudukinya. Struktur perlu diutamakan untuk menghalang segala ketirisan,” katanya. — UTUSAN ONLINE

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini