Konvoi Perodua Aruz TransBorneo, yang melibatkan enam buah Perodua Aruz, mengambil peluang semasa di Sandakan semalam untuk berkunjung ke Rumah Jagaan Anak-Anak Yatim Al-Yakin.

DALAM kunjungan tersebut, Perodua telah menyumbang wang tunai sebanyak RM5,000 kepada rumah jagaan tersebut dan juga menyediakan makanan tengahari
untuk penghuninya yang terdiri daripada 20 orang anak-anak yatim serta lima orang penjaga.

“Kami mendekati mereka supaya mereka tahu bahawa masih ada yang prihatin dan mengambil berat tentang mereka. Mereka juga umpama keluarga buat kami. Mereka
memberi inspirasi kepada kami untuk tidak berputus asa dan sentiasa kuat dalam menempuh apa jua cabaran dan rintangan hidup.

“Sebagai sebuah syarikat tempatan yang mengutamakan insan, kami berharap agar sumbangan kami ini sedikit sebanyak memberikan manfaat kepada mereka,” kata
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

Konvoi Perodua Aruz TransBorneo berlepas dari Kuching pada 16hb Mac lalu dan telah menjelajah melalui Sibu, Bintulu, Miri, Kota Kinabalu, Kundasang dan
Sandakan.

Sepanjang perjalanan, konvoi telah bertemu dengan masyarakat dan pihak berkuasa tempatan bagi memperkenalkan serta memberi pengalaman pemanduan
SUV baharu Perodua kepada mereka.

Konvoi kini berada di Tawau, menandakan tamatnya perjalanan sejauh 1,500 km lebih tersebut.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini