Perodua telah mendaftarkan calon-calon pertama dalam kursus Sistem Pengurusan Pemeriksaan Kenderaan (VIMS) rasmi pertama di Malaysia yang ditawarkan di pusat latihan Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) di sini.

IA diadakan oleh AucNation Sdn Bhd, sebuah syarikat usahasama dengan Automobile Inspection System Inc., Japan (AIS), kursus ini merangkumi analisis yang lebih jitu mengenai keadaan kenderaan terpakai atau tukar-beli (trade-in) untuk menentukan komponen dalaman mahupun luaran yang perlu diganti atau dibaik pulih.

Menurut laman web AIS, syarikat pemeriksaan kenderaan itu ditubuhkan pada 1996 dan memeriksa kereta serta motosikal di seluruh Jepun.

“Kami menyokong penuh inisiatif MARii ini, di mana keseluruhan industri automotif Malaysia akan mendapat manfaat daripada kaedah penilaian kenderaan yang seragam.

“Bagi Perodua, dengan adanya penilai (valuators) sah yang diiktiraf kerajaan, perniagaan Kenderaan Pra-Milik (POV) kami dapat diperkukuhkan kerana piawaian antarabangsa mampu memberi keyakinan kepada pelanggan kami,” kata Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd Dato’ Dr Zahari Husin.

Beliau berkata, Perodua telah mendaftarkan 40 daripada penilainya dalam program itu. Setelah mendapat pensijilan, mereka akan dipindahkan ke pusat-pusat jualan Perodua untuk membantu pelanggan dalam urusan tukar-beli kenderaan.

“Bilik pameran Perodua KL di Jalan Pahang menawarkan kenderaan Perodua pra-milik dengan waranti terhad, bagi mereka yang inginkan ketenangan minda dalam pembelian kenderaan Perodua terpakai,” kata Dato’ Dr Zahari.

VIMS melibatkan dua analisis, analisis visual (VA) dan analisis diagnostik (DA). VA meliputi luaran kenderaan, manakala DA dijalankan menggunakan peranti On-Board Diagnostic 2 (OBD2) untuk memeriksa kenderaan secara elektronik.

“Kursus yang ditawarkan oleh AucNation ini terbuka kepada semua OEM dan individu menuju ke arah pasaran kenderaan terpakai yang lebih cekap dan seragam,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MARii Dato’ Madani Sahari.

“MARii percaya bahawa penubuhan sebuah badan bebas yang menilai ‘kesihatan’ kenderaan pra-milik secara saintifik dan objektif, mampu menentukan dengan lebih jitu kelayakan jalan kenderaan tersebut.

“Ini seterusnya akan membentuk dengan lebih lanjut inisiatif kenderaan jangka hayat untuk kebaikan semua rakyat Malaysia,” katanya.