Acara tahunan yang masuk edisi keenam itu dijangka menyaksikan penyertaan 550 kenderaan menarik yang diubah suai dengan gaya tersendiri.

ACARA perhimpunan kenderaan lama, Retro Havoc 2019 bagi edisi keenam kembali pada tahun ini dengan pengisian yang lebih menarik.

Pada tahun ini, penganjur bakal menyediakan hadiah utama cabutan bertuah kepada pengunjung membabitkan Toyota Starlet KP61 yang sudah menjalani proses restorasi dengan bernilai RM15,000.

Bagi hadiah kedua pula, tiket penerbangan ke Tokyo Auto Salon 2020 diikuti satu rim Atara Racing dan lima hadiah istimewa lain.

Pengasas Retro Havoc, Rosli Said berkata, acara tahunan yang masuk edisi keenam itu dijangka lebih meriah dengan kehadiran 550 kenderaan.

“Kenderaan yang akan hadir membabitkan jentera buatan sebelum 1990 dengan jumlah 70 peratus, manakala 30 peratus adalah kereta selepas keluaran 1991, tetapi yang terpilih sahaja.

“Kami menjangka hampir 90 kenderaan datang dari Thailand dan Singapura yang turut menyertai acara Retro Havoc 2019 ini,” katanya pada sidang media di Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Dewan Pemuda Pekema dan Retro Havoc di Cyberjaya, semalam.

Hadir sama, Ketua Dewan Muda Pekema, Raja Petra Maruddin.

Rosli berkata, sebanyak 18 kategori kereta yang bakal dipertandingkan dan kenderaan itu dinilai oleh lapan juri antarabangsa.

Retro Havoc 2019 bakal diadakan di Kompleks BRT Sunway, Selangor pada 30 Mac ini bermula jam 9 pagi sehingga 9 malam.

Bagaimanapun, pengunjung dikenakan bayaran RM10 untuk memasuki ke ruang pameran kenderaan berkenaan.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini