QSR Brands (M) Holdings Bhd (QSR Brands), pengendali restoran KFC dan Pizza Hut, menjalin kerjasama strategik bersama FatHopes Energy Sdn Bhd (FatHopes Energy) bagi melancar inisiatif mampan dan mesra alam di dalam operasinya menerusi pemprosesan sisa minyak kepada bahan api industri.

INISIATIF ini merupakan sebuah usaha bagi memacu perubahan ke arah kesejahteraan sosial dan persekitaran di samping menjana bekalan bahan api bio dari Malaysia secara berterusan.

Memorandum perjanjian (MoA) telah dimeterai menerusi pertukaran dokumen di antara
Merrill Christopher Pereyra, Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian Restoran, QSR Brands dan Vinesh Sinha, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif FatHopes Energy.

Ianya disaksikan oleh Dato’ Kamaruzzaman Abu Kassim, Pengerusi QSR Brands bersama Dato’ Seri Mohamed Azahari Mohamed Kamil, Pengarah Urusan QSR Brands di dalam majlis yang berlangsung di KFC Wangsa Maju, Kuala Lumpur. Turut hadir Dato’ Eddy Leong, Ketua Pegawai Operasi FatHopes Energy.

Dato’ Kamaruzzaman menyatakan bahawa kerjasama ini merupakan sebuah langkah progresif di dalam usaha kelestarian QSR Brands serta sejajar dengan matlamat perangkaan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) syarikat yang telah diperbaharui, di samping mengulas manfaat inisiatif berkenaan.

“Inisiatif ini secara sosialnya disasarkan bagi menyalur hasil minyak terpakai kepada aplikasi perindustrian yang boleh dikesan, sekaligus menentang risiko penggunaan minyak kitar semula di dalam penyediaan makanan harian rakyat Malaysia.

Manakala, impak positif terhadap alam sekitar dihasilkan menerusi pertukaran minyak terpakai kepada bahan api bio yang bermaksud sejumlah besar karbon* tidak lagi dibebaskan ke atmosfera.

Akhir sekali, inisiatif ini turut menyumbang manfaat dalam aspek ekonomi menerusi peningkatan pendapatan daripada pertambahan kutipan isipadu pemulihan minyak masak terpakai daripada restoran KFC,” katanya.

Dato’ Seri Mohamed Azahari menyatakan bahawa sistem FHE iTank milikan FatHopes
Energy, sebuah sistem pengumpulan minyak terpakai berinovasi yang akan dipasang di semua restoran KFC adalah direka bagi memperbaiki kecekapan operasi dapur restoran dengan menghapuskan pengendalian minyak terpakai secara langsung di samping meningkatkan hasil kutipannya secara ketara.

“Kami amat menyokong teknologi pemulihan sisa inovatif oleh FatHopes Energy, kecekapan sasaran aplikasi mereka untuk peringkat komersial serta minat yang mendalam terhadap inisiatif kitar semula sisa kepada tenaga (waste to energy).

Bersama FatHopes sebagai rakan kerjasama lestari, membolehkan kami memberi tumpuan lebih terhadap perniagaan teras kami, bagi menghidangkan perkhidmatan terbaik kepada jutaan pelanggan setiap bulan,” katanya.

Vinesh Sinha berkata, kolaborasi bersama QSR Brands menandakan sebuah lagi detik penting di dalam perjalanan FatHopes Energy serta ianya merupakan usaha yang wajar dijadikan contoh dan diterapkan di dalam industri.

“Kami amat berbesar hati dengan sokongan yang ditunjukkan olah QSR Brands dan sedia untuk menawarkan kepakaran serta kebolehan kami dalam menyediakan penyelesaian inovatif bagi menguruskan sisa minyak dari restoran KFC menerusi kaedah yang beretika dan bertanggungjawab.” katanya.

Inisiatif bersama FatHopes Energy ini akan dijalankan secara berperingkat bermula daripada pemasangan FHE iTank di restoran KFC seluruh Malaysia, serta turut berpotensi dikembangkan kepada operasi Singapura.

Kedua-dua pihak sedang di dalam perbincangan bagi peringkat kedua kerjasama berkenaan, di mana FatHopes Energy akan mengendalikan kilang biodiesel QSR Brands di
Port Klang bagi tujuan pemprosesan sisa ke bahan api bio.

Menerusi kendalian FatHopes Energy, keupayaan operasi tapak sedia ada berkenaan dapat dipertingkatkan bagi memacu agenda global ke arah penyahkarbonan – sekaligus meletakkan Malaysia sebagai perintis di dalam penghasilan bahan api bio berasaskan sisa.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini