Ingress Auto Puchong, selaku wakil pengedar Bumiputera BMW Malaysia pada Ahad lalu mengadakan program khas untuk pelanggan potensi mereka merasai pengalaman memandu uji barisan model BMW yang disediakan.
DESTINASI pilihan mereka ialah Colmar Tropicale French Village, Bukit Tinggi, Bentong Pahang yang terletak kira-kira sejam perjalanan dari Puchong. Program ini diadakan bertujuan memberi pendedahan kepada pelanggan mereka mengenai selok belok mengendalikan kereta BMW menerusi tunjuk ajar oleh jurulatih yang berpengalaman.

Sebanyak 11 unit model BMW menyertai sesi pandu uji berkenaan, terdiri daripada BMW X5 xDrive40e, BMW X3 terbaharu, 530e, 330e dan model premium BMW 740Le xDrive
Setiap pelanggan diberikan seunit BMW untuk dipandu sendiri. Ada yang datang bersama rakan dan ada pula membawa ahli keluarga.
PANDU UJI KE BUKIT TINGGI
Selepas mendaftarkan diri dan bersarapan, pelanggan diberikan taklimat ringkas melihat lebih dekat pusat servis dan jualan Ingress Auto Puchong diikuti penerangan mengenai pemanduan selamat dan etika berkonvoi oleh pegawai teknikal BMW.

Peserta kemudian mula bergerak sekitar jam 10.30 pagi dalam keadaan trafik sederhana sesak. Siri pertama pandu uji adalah dalam bandar sebelum bertukar pemandu di stesen petrol BHP, tidak jauh dari tol Gombak.
Melepasi tol Gombak, trafik mula lancar dan masing-masing dibenarkan memandu laju untuk menguji kuasa pecutan dan tahap kesenyapan dalam kabin ketika memecut dalam kelajuan tinggi.
Sebaik saja memasuki laluan menuju Bukit Tinggi, pemandu berpeluang pula menguji tahap pengendalian jentera BMW idaman mereka ketika mengambil selekoh, termasuk merasai daya tork apabila cuba mendaki jalan berbukit.

Peserta konvoi tiba sekitar jam 12:30 tengahari di kawasan parkir Bukit Tinggi yang berlatarkan bangunan perkampungan zaman pertengahan di Eropah.
Pelanggan turut menjamu selera makan tengahari di sebuah restoran sambil menikmati pemandangan indah bangunan yang diilhamkan daripada sebuah kota Perancis.
Selepas lebih sejam, konvoi mula bergerak pulang ke ibu kota dan tiba di Ingress Auto Puchong kira-kira jam 3.30 petang.
RASAI PENGALAMAN SEBENAR
Salah seorang pelanggan, Akmar Awang Bakar berkata, ini adalah pengalaman pertama memandu uji pelbagai model kereta BMW membabitkan perjalanan lebih 40 kilometer.
“Saya yang datang dari Terengganu cukup teruja apabila berpeluang menyertai program khas ini kerana kami bukan sahaja diberi penerangan mengenai selok belok mengendalikan kenderaan BMW malah mendapat layanan kelas pertama daripada pihak penganjur Ingress Auto Puchong.

“Selepas ini saya pasti akan memperkenalkan Ingress Auto Puchong kepada rakan-rakan saya kerana mereka cukup memahami kehendak pelanggan,” katanya ketika ditemui Prebiu.com yang turut menyertai sesi pandu uji khas ke Bukit Tinggi.
Bagi Mohd Yusof Ahmad Sabri, pengalaman memandu barisan kereta BMW di Ingress Auto Puchong berbeza berbanding syarikat pengedar lain.
“Kebiasaannya sesi pandu uji hanya sekitar 2 hingga 3 kilometer sahaja tetapi menerusi sesi pandu uji oleh Ingress Auto Puchong, kami berpeluang memandu uji lebih 40 kilometer membabitkan pelbagai jenis model dan laluan berbukit serta lebuh raya,” katanya.

Beliau yang memandu uji BMW 740Le xDrive turut merasai keseronokan memandu sebuah kereta mewah yang dilengkapi pelbagai ciri dan teknologi terkini.
“Saya berpendapat secara peribadi, apa dilakukan Ingress Auto Puchong adalah pendekatan bukan konvensional yang pastinya bertepatan dengan reputasi BMW sebagai jenama automotif yang bukan saja mementingkan kemewahan, tetapi juga prestij pemanduan,” katanya.
Bagi Sabariah Long pula, pelanggan moden masa kini bukan saja mahukan layanan eksklusif malah mereka sebenarnya memiliki pengetahuan meluas mengenai sesebuah kereta sebaik saja melangkah kaki memasuki bilik pameran.

“Laluan sepanjang konvoi cukup menyeronokkan dan saya yang memandu uji BMW X5 amat mudah dikendalikan meskipun saiznya agak besar. Saya pasti tidak akan melupakan pengalaman memandu ini,” katanya.
Inilah kelebihan yang anda dapat apabila singgah ke bilik pameran Ingress Auto Puchong atau Damansara.!


























































