Kehadian model terbaharu Perodua Aruz yang dikategorikan sebagai sebuah kenderaan sukan utiliti (SUV) mampu milik bakal memberi saingan kepada model segmen B sebaris dengannya. Baca lebih lanjut sesi pandu uji yang dijalankan.

PERODUA sudah agak lama menyepi dalam pasaran kenderaan pacuan empat roda sebaliknya fokus kepada kenderaan penumpang yang menjadi sumbangan utama kepada jualan keseluruhan syarikat automotif kedua negara ini.

Selepas beberapa tahun memperkenalkan Nautica iaitu selepas model pertama Kembara, Perodua kini mempertaruhkan model SUV yang lebih besar iaitu tujuh tempat duduk berbanding lima tempat duduk sebelum ini.

Ini bermakna bagi mereka yang sedang mencari kenderaan tujuh tempat duduk yang mampu milik, maka bilik pameran Perodua boleh menjadi pilihan kerana pembeli kini mempunyai dua pilihan sama ada model Alza atau Aruz, kedua-duanya bermula dengan huruf ‘A’.

Bagaimanapun, pemilihan pula bergantung kepada keperluan seseorang individu atau menepati ciri yang diperlukan seperti selalu ‘outstation’, pulang ke kampung yang sering berdepan dengan banjir mahupun sekadar keperluan mengisi hobi seperti berbasikal lasak pada hujung minggu.

Segala-galanya ‘tepuk dada tanya selera’, teruskan pilihan hati sekiranya faktor harga tidak menjadi persoalan dan sanggup menanggung kos penyelenggaraan jangka pendek atau jangka panjang.

Antara model-model yang dianggap sebaris dengan Perodua Aruz ialah model kembarnya Toyota Rush dan Honda BR-V yang masing-masing memiliki kelebihan sendiri serta tanda harga yang berbeza.

Jika melihat kepada tanda harga, Aruz adalah model paling murah iaitu dibawah RM80,000 berbanding Rush dan BR-V.Bagaimanapun, kita lupakan dahulu soal harga.

Prebiu.com akan menyenaraikan beberapa ciri atau spesifikasi Perodua Aruz varian X menerusi pandu uji yang dilakukan baru-baru ini.

Rekaan luaran

Aruz direka dengan kerangka yang hampir sama dengan Toyota Avanza iaitu enjin hadapan dan pacuan belakang serta gandar belakang jenis axle bersama spring jenis gegelung.

Rekaan seperti ini sesuai untuk kegunaan lasak sepertimana kenderaan jenis pikap lain yang boleh dipandu dilaluan lasak namun bukannya laluan yang benar-benar lasak seperti kenderaan pacuan empat roda yang sudah diubahsuai sepenuhnya.

Tinggi keseluruhannya ialah 1,705 mm dan kelegaan tanah 220mm dan ciri ini sebenarnya memberi kelebihan jika anda gemarkan aktiviti riadah bersama keluarga sama ada berkelah di air terjun atau memandu pulang ke kampung yang sering berlaku banjir khususnya di Pantai Timur.

Bagaimanapun, disebabkan ketinggian ini juga, timbul sedikit masalah kepada mereka yang memiliki anak kecil berusia lima tahun ke bawah yang memerlukan bantuan untuk memasuki kereta ini.

Secara kasar, rekaan Aruz cukup sporty dan dinamik dengan garis-garis halus pada bonet hadapan serta bahu sisi yang kemudiannya diterjemahkan dengan garisan panjang pada lampu belakang yang agak tajam memberikan kelebihan kepada aspek aerodinamik.

Rekaan paling menarik perhatian penulis ialah rekaan lampu hadapan LED yang tirus bersama padanan gril diselangi gril krom yang menyerlahkan lagi ciri sportynya manakala kombinasi lampu belakang LED menjadi pelengkap.

Selain itu padanan warna dua tona pada bamper serta skirt sisi memberi kelebihan untuk dipandu di laluan yang lasak atau becak kerana bahan yang digunakan mudah dibersihkan.

Padanan rim aloi sports 17 inci, spoiler bumbung dan antena jenis Shark Fin cukup menyerlahkan gaya sporty malah Perodua Aruz juga kelihatan ‘tegap’ pada pandangan sisi.

Ruang dalaman

Aruz memiliki ukuran 4,435 mm panjang, 1,695 mm lebar, 1,705 mm tinggi dan jarak roda pula adalah 2,685 mm. Penumpang tempat duduk baris kedua boleh duduk dengan ruang lega bahagian lutut sekitar 5-inci.

Jika mahukan keselesaan, tempat duduk baris kedua ini boleh dicondongkan sedikit kebelakang malah boleh digerakkan ke hadapan atau kebelakang untuk keselesaan penumpang baris ketiga.

Bagi kerusi baris ketiga pula, orang dewasa boleh duduk dengan selesa kerana rekaan kerusi baris ketiga tidak terlalu rendah namun lebih sesuai jika penumpangnya adalah kanak-kanak atau remaja.

Sistem penyaman udara tiga corong yang boleh dilaras kelajuannya pada atas bumbung juga memberikan keselesaan penuh sepanjang perjalanan tanpa mengadu kepanasan.

Apa yang menarik dalam ruang dalaman ini ialah ruang simpanan botol air atau cawan cukup banyak sama ada dipintu hadapan, belakang dan berhampiran kerusi baris ketiga serta ditengah-tengah kokpit antara kerusi penumpang hadapan dan pemandu.

Tidak dilupakan kepada ‘kaki gajet’ soket elektrik 12V ada dibekalkan dihadapan dan bahagian kiri baris kerusi ketiga serta di sisi kerusi pemandu cukup memudahkan anda mengecas telefon atau peranti lain pada bila-bila masa.

Rekaan papan pemuka dan fungsi butang kawalan pada stereng tiga jejarinya direka dengan ciri mesra seperti model Myvi khususnya dua memori larasan pendingin hawa dan juga cangkuk keselamatan pada sisi bahagian dalam tempat duduk hadapan.

Tidak dilupakan cangkuk ‘teh tarik’ pada kedua-dua kerusi hadapan untuk keselesaan penumpang baris kedua manakala peranti siap bina untuk Smart Tag dan butang penghidup cukup memudahkan.

 

Kerusi semi bucket jenis fabrik (varian X) dibahagian hadapan dengan kawalan ketinggian kepada pemandu juga satu ciri kelebihan pada Aruz khususnya kepada pemandu wanita.

Selain itu, panel meter dengan warna iluminasi putih dan paparan info LCD seperti petunjuk minyak, kedudukan gear dan paparan penjimatan minyak serta tempoh berapa lama kenderaan ini berhenti turut dipaparkan.

Jimat minyak

Aruz yang dijana enjin sama dengan Myvi mendapat pengiktirafan enjin EEV iaitu kenderaan cekap tenaga dengan sistem ‘Eco Idle’ yang mengurangkan tahap penggunaan bahan api iaitu 15.6 kilometer bagi setiap liter.

Enjin empat silinder NA 1.5 liter 2NR-VE adalah enjin yang sama digunakan pada Perodua Myvi yang mampu menghamburkan kuasa 105 PS pada 6,000 rpm dan 136 Nm tork pada 4,200 rpm.

Bagaimanapun, dengan enjin berkuasa 1.5 liter ini, anda yang biasa memandu kereta tidak digalakkan memandu laju ketika mengambil selekoh kerana daya olengan badannya cukup ketara.

SUV ini sesuai sebagai kenderaan yang selesa membawa tujuh penumpang pada kelajuan selamat dan bukannya untuk ‘dibelasah’ seperti memandu sebuah Myvi.

Untuk bahagian kargo, Aruz mampu untuk menampung kapasiti muatan 213 liter dan cukup untuk membawa barang bersaiz sederhana seperti beberapa bag sandang tanpa perlu merebahkan kerusi baris ketiga.

Jika mahukan lebih ruang, kerusi baris ketiga boleh direbah atau dilipat manakala kerusi baris kedua juga boleh direbah dengan mudah.

Sistem keselamatan

Aruz dipadankan dengan pakej keselamatan aktif Advanced Safety Assist (ASA) 2.0 terdiri dari sistem Pre-collision Warning, Pre-collision Braking, Front Departure Alert dan Pedal Misoperation Control.

Untuk kesemua model termasuk varian asas 1.5X yang berharga RM72,900, Aruz hadir standard dengan rim aloi 17 inci dua tona dengan tayar 215/60 R17, sistem masuk tanpa kunci dengan butang penghidup enjin, enam-beg udara, ABS, EBD, BA, VSC, Hill Start Assist, Hill Descent Control dan cagak Isofix pada tempat duduk baris kedua.

Kamera undur dan sistem anti-regang tingkap (untuk pemandu sahaja) bertujuan untuk mengelakkan tangan anda tersepit dipadankan bagi tujuan keselamatan.

Perodua Aruz varian asas yang diuji ini dijual pada harga atas jalan tanpa insurans RM72,900.

Kesimpulannya

Memandu Perodua Aruz cukup selesa sama ada untuk perjalanan jauh atau dekat kerana enjinnya bukan sahaja berprestasi malah menjimatkan petrol.

Ciri-ciri yang dipadankan bukan sahaja berteknologi terkini tetapi menepati citarasa pemandu Malaysia yang tidak terlalu bergantung kepada teknologi yang terlalu moden.

Pada harga mampu milik kenderaan ini sesuai dimiliki oleh mereka yang berkeluarga sederhana atau individu yang mempunyai perniagaan kecil yang kadang-kala memerlukan ruang muatan yang besar.

Bagi mereka yang mahukan Aruz kelihatan lebih sporty padankan sahaja pakej Gear Up yang ditawarkan secara pemasangan terus di kilang tanpa perlu bersusah-payah mencari kedai aksesori.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini