Memiliki sebuah kenderaan pikap sebenarnya satu kelebihan bergantung pada jenis kegunaan sama ada untuk tujuan komersial atau keperluan peribadi. Baca lebih lanjut sesi pandu uji model terbaharu Nissan Navara VL Plus Black Series.

SEJAK kebelakangan ini, ramai pemilik kenderaan memilih kenderaan pikap sebagai salah satu mod pengangkutan sama ada sebagai kenderaan harian ke tempat kerja atau pada hujung minggu.

Sambutan baik terhadap kenderaan jenis itu menyebabkan beberapa syarikat automotif berlumba-lumba memperkenalkan model yang khusus untuk memenuhi keperluan semasa dengan tambahan aksesori menarik.

Maka tidak hairanlah Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) terus mempertaruhkan model Nissan Navara dengan beberapa ciri tambahan aksesori sebagai satu daya tarikan kepada model keluarannya.

Prebiu.com yang sempat ‘melenjan’ model Nissan Navara VL Plus, dengan tambahan pakej Black Series sudah cukup memperlihatkan tahap keyakinan pengeluar kepada pengguna kenderaan masa kini yang gemarkan gaya sporty tanpa meninggalkan ciri sebuah kenderaan lasak.

Pakej Black Series disediakan untuk Navara 2.5L SE A/T, 2.5L V A/T, 2.5L VL A/T dan 2.5L VL Plus A/T.

Menerusi pakej ini, pelanggan akan menerima kemasan hitam matte pada gril, tengah bampar hadapan, keliling lampu kabus, ‘kening’ hitam atas lampu utama, pelindung cermin sisi, fender yang lebih lebar serta sport bar warna hitam.

Bahagian dalaman pula kelihatan lebih kemas dengan gaya eksekutif menggunakan kemasan kulit warna hitam (termasuk untuk varian SE dan V).

Melihat kepada ciri-ciri yang ditampilkan pada varian VL Plus, ia jelas menjadikan Navara yang paling canggih dengan kelebihan kelengkapan seperti Intelligent Around View Monitor (I-AVM), yang turut ditawarkan pada model SUV X-Trail dan Serena S-Hybrid.

Sistem Nissan Intelligent Mobility (NIM) yang menggunakan empat kamera untuk memberikan pandangan 360-darjah bagi memudahkan pemandu meletak kenderaan yang dipaparkan pada skrin audio.

Bagaimanapun, saiz skrin yang agak kecil agak janggal untuk melihat kamera undur dengan jelas dan mungkin boleh diperbaiki pada masa depan.

Selain paparan speedometer digital, sistem kawalan fungsi boleh dilakukan dengan mudah menerusi butang yang dipadankan pada stereng tiga jejari kenderaan itu.

Sebagai sebuah kenderaan yang lasak dan stabil ketika dipandu laju, Nissan Navara VL Plus turut dilengkapi tujuh beg udara termasuk beg udara bidai penuh.

Bagi nadi kuasanya, tiada sebarang perubahan bagi varian VL Plus ini, di mana ia masih lagi menggunakan enjin 2.5 liter turbodiesel dengan kuasa sebanyak 190 PS pada 3,600 rpm dan 450 Nm tork pada 2,500 rpm.

Enjin ini digandingkan dengan transmisi automatik tujuh-kelajuan dengan sistem pacuan semua roda dan pilihan mod pemanduan manual tujuh kelajuan yang dipadankan pada kotak gearnya.

Varian VL Plus juga menggunakan rim 18 inci yang sama dengan varian VL, dan antara kelengkapan lain yang ada termasuk brek ABS, EBD, BA, Vehicle Dynamic Control dengan Traction Control System, Active Brake Limited Slip, Advanced Hill Descent Control, Hill Start Assist dan cagak ISOFIX.

Selain dianggap kenderaan praktikal untuk membawa pelbagai barangan seberat satu tan di bahagian belakangnya seperti basikal, guni simen, guni beras, enjin kenderaan mahupun sebuah motosikal, trak pikap juga sering menjadi pilihan buat penggemar sukan lasak pacuan empat roda untuk meredah hutan belantara.

Selain dibantu sistem suspensi, Navara terbaru ini juga menawarkan keselesaan apabila tempat duduknya diinspirasikan daripada konsep graviti sifar yang pertama dalam kelasnya sekali gus memberikan sokongan pada tulang belakang pemandu dan penumpang hadapan.

Model yang penulis pandu ini turut dipadankan dengan kerusi menggunakan sistem kawalan automatik.

Malah, kesengsaraan penumpang belakang bukan lagi masalah bagi Nissan Navara VL Plus. Ini kerana sudut menyandar ditambah baik bersama corong penyaman udara bagi memastikan keselesaan sepanjang masa.

Sementara stereng sporty bersama butang kawalan memudahkan pemandu mengakses terus sistem audio dan kawalan jelajah di hujung jari sahaja.

Namun bagi mereka yang gemar melayan selekoh pada kelajuan tinggi, sememangnya jentera ini tidak sesuai dengan keadaan itu kerana ia rasa sedikit membuang.

Model ini sebenarnya lebih gah dan garang berbanding model terdahulu yang menerima perubahan imej luaran dengan warisan reka bentuk Nissan.

Ia juga tampak menyerlah dengan padanan sport bar belakang serba hitam yang baharu tampil lebih sporty.

Kesimpulannya, trak pikap ini menawarkan gabungan terbaik dengan pemanduan yang dinamik, ketahanan luar biasa, reka bentuk lebih garang dan teknologi termaju.

Di Semenanjung Malaysia, Nissan Navara 2.5L VL Plus A/T dijual pada harga RM119,869 tidak termasuk insurans dan tanpa SST manakala versi Black Series pula dijual pada harga RM123,643. Ia didatangkan dengan jaminan lima-tahun atau 150,000 km (yang mana dahulu).

SPESIFIKASI

  • Nissan Navara VL Plus 2.5V AT
  • Enjin: 2,488cc DOHC 16 injap dengan VGS
  • Kuasa maksimum: 190PS @ 3,600rpm
  • Tork maksimum: 450Nm @ 2,500rpm
  • Transmisi: Automatik tujuh kelajuan dengan mod manual
  • Harga: RM123,643 tidak termasuk insurans

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini