Membuka tirai tahun baru 2019, Honda Malaysia memperkenalkan model HR-V facelift secara rasminya yang ditawarkan dalam empat varian.
HONDA HR-V buat pertama kali dipertontonkan pada Julai lalu dan varian yang ditawarkan ialah Grade E, diikuti Grade V dan paling tinggi, RS.
Varian terbaru yang menjadi keluarga terbaharu ialah HR-V Hybrid dan Malaysia adalah satu-satunya negara selain Jepun yang menerima kemasukan varian ini.
Antara ciri terbaharu membabitkan rekaan luaran ialah rekaan gril hadapan yang lebih menarik dengan menampilkan palang lebih besar dengan logo Honda, bersama lampu utama LED sepenuhnya jenis reflektor baharu.
Bahagian bampar direka semula dan lampu kabus LED manakala bahagian belakang pula menerima jaluran krom melintang pada tailgate disambung pada lampu belakang, yang kini ditampilkan dengan unit LED jenis tiub.
Reka bentuk rodanya pula, varian E, V dan Hybrid dipadankan dengan aloi 17-inci, menggunakan tayar jenis profil 215/55, sementara RS pula dilengkapi roda lima-jejari dua-tona 18-inci dan tayar 225/50.
Bagi berat pula, varian E (1,275 kg), sementara V (1,271 kg) manakala RS dan Hybrid, masing-masing seberat 1,290 kg dan 1,300 kg.
Melihat kepada ruangan but pula, bagi semua varian petrol ia berkapasiti 437 liter dengan tempat duduk belakang normal, ditambah sehingga 1,032 liter jika kerusi belakang dibaringkan.
Bagaimanapun, bagi varian hybrid pula memiliki ruang but yang sedikit kecil, dengan 404 liter jika tempat duduk belakang dalam keadaan normal, dan 991 liter pula jika ia dibaringkan.
Tidak seperti versi petrol, hibrid tidak didatangkan dengan tayar simpanan sebaliknya dibekalkan dengan kit membaiki tayar sementara.
Tiada perubahan enjin bagi versi petrol, yang masih mengekalkan enjin berkuasa 1.8 liter SOHC i-VTEC dengan kuasa 142 PS pada 6,500 rpm dan tork 172 Nm pada 4,300 rpm, serta dipadankan dengan transmisi CVT bersama pedal penukar gear.
HR-V Hybrid menampilkan penjana kuasa Sport Hybrid i-DCD (intelligent dual-clutch drive) seperti Jazz Hybrid. Ia menggabungkan enjin 1.5 liter twin-cam i-VTEC Atkinson-cycle dan motor elektrik 22 kW (30 PS)/160 Nm, yang dikuasakan oleh bateri lithium-ion Blue Energy, dipadankan dengan transmisi automatik dwi-klac tujuh-kelajuan.
Kuasa dari penjana kuasa itu meningkat berbanding Jazz, dengan 132 PS pada 6,600 rpm dan tork 156 Nm pada 4,600 rpm.
Secara standard, semua varian dilengkapi dengan butang penghidup enjin/kemasukan pintar, pendingin hawa automatik, lampu utama auto, lampu nyalaan siang, kawalan kelajuan, pedal penukar gear, kawalan audio pada roda stereng dan empat pembesar suara untuk sistem audio.
Semua versi didatangkan dengan roda stereng tiga-jejari, tetapi E dan Hybrid dengan kemasan kulit manakala padanan separa kulit hitam untuk dua model itu.
Ia turut menampilkan lampu utama halogen (dengan larasan manual) dan lampu kabus hadapan jenis mentol dan skrin paparan sistem audio pula dengan unit 6.8-inci.
Harga HR-V facelift atas jalan tanpa insurans:
- HR-V 1.8L E – RM108,800
- HR-V 1.8L V – RM118,800
- HR-V 1.8L RS – RM124,800
- HR-V Sport Hybrid i-DCD – RM120,800
Manakala varian V dan RS ditambah dengan roda stereng kulit sepenuhnya dan kekemasan kulit penuh, dengan kemasan hitam pada V.
Lima pilihan warna ditawarkan bagi HR-V 1.8L E dan V termasuk warna baharu Passion Red Pearl, White Orchid Pearl, Lunar Silver Metallic, Modern Steel Metallic dan Ruse Black Metallic.
RS pula menerima tiga pilihan warna Passion Red Pearl, White Orchid Pearl dan Modern Steel Metallic.
HR-V Hybrid pula ditawarkan dengan tiga warna iaitu Lunar Silver Metallic, White Orchid Pearl dan Modern Steel Metallic.