Ketua Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Antarabangsa Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican menerima Anugerah Khas Tokoh Kemanusiaan dan Kebajikan serta Tokoh NGO Antarabangsa atas sumbangan berterusan 20 tahun membantu fakir miskin di Kemboja.

PENGIKTIRAFAN itu diberikan penduduk Kampung Pak Phou Steam, Daerah Kampung Cham dan NGO muslim Kemboja dalam majlis yang dihadiri kira-kira 300 penduduk kampung itu bagi menghargai usaha Mustapha yang telah berusaha mambangunkan kemudahan serta pendidikan penduduk kampung itu.

Mustapha berkata, beliau menghargai penghormatan yang diberikan penduduk kampung itu dan tidak menjangkakan diberi pengiktirafan tersebut.

“Saya bermula di sini sejak 1999 apabila saya datang ke Kemboja dan projek utama saya adalah membina perigi untuk penduduk mendapatkan air bersih. Waktu itu kehidupan amat sukar, mereka (penduduk) di sini miskin dan yang menjadi keutamaan untuk kesihatan ialah air.

“Kemudian, saya membina masjid, sekolah, surau dan melakukan pelbagai aktiviti lagi. Saya amat terharu atas penghormatan ini dan (penghargaan) ini bukan buat saya, tetapi buat rakyat Malaysia yang prihatin,” katanya.

Mustapha turut merakamkan terima kasih kepada rakyat Malaysia khususnya penderma atas sumbangan yang diberikan bagi membolehkan beliau melaksanakan kerja kebajikan tersebut.

Sementara itu, Ketua Kampung, Yusof Saleh ketika berucap pada majlis itu berkata, Mustapha banyak membantu dan mencurahkan idea bagi pembangunan kampung itu daripada segi pendidikan, ekonomi dan pentadbiran tanpa mengira agama serta bangsa.

“Mustapha merupakan NGO dari negara luar yang bergerak secara solo dari Malaysia yang bekerjasama dengan NGO tempatan dan penduduk sehingga berjaya membina lima buah masjid, tiga sekolah tahfiz, berpuluh-puluh surau dan ratusan telaga.

“Bantuan kebajikan juga diberikan kepada anak anak yatim, fakir miskin, mualaf dan orang tua yang daif,” katanya.

Mustapha sebelum ini menerima medal Mohasereivoith yang merupakan anugerah tertinggi yang disampaikan kerajaan Kemboja menerusi Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen kepada orang luar Januari tahun lalu.

 

 

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini