MYTV Broadcasting Sdn Bhd (MYTV) akan menyumbangkan sejumlah 1.5 juta Set Dekoder Percuma secara berperingkat bermula Januari 2019.

SEBAGAI langkah pertama, penerima terpilih akan menerima Surat Pemberitahuan untuk menghubungi MYTV bagi tujuan pengesahan kelayakan. Penerima dipilih daripada senarai Bantuan Sara Hidup Rakyat (BSHR), dimana keutamaan adalah diperuntukkan kepada golongan berpendapatan terendah.

Pengumuman itu adalah ekoran jumlah pertanyaan tinggi yang diterima oleh MYTV sepanjang minggu lalu menerusi Pusat Khidmat Pelanggan MYTV.

Ketua Pegawai Eksekutif MYTV, Michael Chan berkata; “Kami memohon maaf kepada orang ramai yang berusaha menghubungi kami menerusi Pusat Khidmat Pelanggan MYTV tetapi gagal berbuat demikian, ekoran jumlah panggilan yang terlalu tinggi.

“Kami ingin memberi jaminan bahawa kami sedang terus berusaha melayani seberapa banyak panggilan yang termampu. Kami telah menambahkan usaha untuk menampung peningkatan panggilan yang tinggi.

“Jangkamasa 7 hari yang telah diberikan kepada para penerima yang layak dengan ini dilanjutkan sehingga 31 Januari 2019 untuk membolehkan mereka berhubung dengan pihak kami,” katanya.

Beliau berkata, untuk menangani masalah itu, pihaknya telah menyediakan kaedah alternatif lain kepada orang ramai untuk menghubungi syarikat.

“Set Dekoder Percuma akan dihantar kepada alamat seperti yang berdaftar dengan BSHR melalui POS Malaysia.

“Set Dekoder BSHR akan dihantar ke seluruh negara secara berperingkat dengan kerjasama POS Malaysia sehingga siaran analog ditamatkan, dijadualkan berlaku pada akhir Mac 2019,” katanya.

Setelah menerima Surat Pemberitahuan tersebut, penerima boleh memilih beberapa kaedah untuk membuat pengesahan kelayakan seperti berikut:

Pusat Khidmat Pelanggan MYTV: 1300-80-6988
Facebook melalui PM sahaja: MYTVBroadcasting
Emel: [email protected]
Whatsapp/SMS: 0115 200 6988

Mengenai MYTV

MYTV telah dilantik oleh Kerajaan di bawah Projek Pendigitalan Penyiaran Nasional untuk
membangun dan menguruskan infrastruktur serta kemudahan jaringan Perkhidmatan TV terrestrial digital (DTT) di Malaysia bagi tujuan migrasi penyiaran terestrial negara daripada
analog ke digital.

MYTV bertanggungjawab untuk membina hab multimedia digital dan jaringan peralatan pemancaran diseluruh negara. Inisiatif ini dinaungi Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan dikawalselia oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Untuk maklumat lanjut, layari www.mytvbroadcasting.my.

Siaran Digital myFreeview

myFreeview adalah jenama perkhidmatan DTT Malaysia dan merangkumi gabungan penyiar siaran TV percuma antaranya Media Prima, RTM, TV AlHijrah and Bernama News Channel.

Lebih banyak penyiar dijangka menyertai gabungan tersebut di masa hadapan. Untuk
maklumat tentang myFreeview, layari www.myfreeview.tv

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini