Fresh At Heart mencapai sasaran pendanaan RM1.15 juta melalui platform ECF Ata Plus dalam melaksanakan misi untuk membawa makanan segar kepada semua.

FRESH At Heart, peruncit barangan segar atas talian yang berpangkalan di Pontian, telah berjaya mendapat pendanaan sebanyak RM1,149,580 daripada 22 orang pelabur menerusi kempen equity crowdfunding (ECF) melalui Ata Plus.

Jumlah yang dicapai oleh Fresh At Heart ini melangkaui 143% dari sasaran mereka.

Tujuan Fresh At Heart mencari dana adalah untuk melebarkan sayap luar talian di kawasan bandar dan bagi meningkatkan usaha pemasaran mereka ke seluruh negara.

Fresh At Heart melihat ECF sebagai satu cara yang efektif untuk mengumpul dana dari orang ramai dan pada masa yang sama, memberi peluang kepada mereka untuk melabur ke dalam Fresh At Heart.

“Pelaburan ini akan menyemarakkan lagi cita-cita kami untuk menjangkaui para pelanggan khususnya di bandar- bandar utama di Malaysia, di mana mereka-mereka ini tidak semestinya mendapat akses kepada hasil makanan segar,” ujar Joel Chong, ketua pegawai operasi dan pengasas bersama Fresh At Heart.

“Kita sudah terbiasa dengan menggunakan perkhidmatan digital untuk memudahkan urusan seharian; dan para pengguna kini berpaling kepada Fresh At Heart sebagai penyelesaian untuk makanan yang dijamin selamat dan bersih,”

Diasaskan pada 2016 oleh Eddie Goh dan Joel Chong, Fresh At Heart berazam untuk menjadi pusat sehenti untuk mendapatkan makanan dari sumber semulajadi.

Fresh At Heart menyediakan saluran kepada pengguna dalam bandar untuk mendapatkan makanan segar terus dari ladang, dengan menggantikan rantaian bekalan (supply chain) di antara pengeluar dan pengguna.

Kedai atas talian Fresh At Heart menawarkan pelbagai jenis barangan segar termasuk tangkapan laut segar yang baru didaratkan dari pantai negeri Johor – dibersihkan dan dihantar kepada pengguna atau dibeli oleh pengguna sendiri di 16 lokasi seluruh Malaysia.

Sejak dilancarkankan pada tahun 2016, Fresh At Heart telah berjaya mencapai lebih daripada 30,000 pengikut online dan telah menyaksikan peningkatan jualan bulanan yang kukuh sebanyak RM200,000 pada suku ke-3 tahun ini.

“Kami mengalu-alukan kedatangan 22 pelabur kempen ECF kami yang akan membantu untuk memperluaskan pasaran kami ke seluruh negara dengan menyebarkan maklumat berkenaan perniagaan kami dan mengadakan hubungan strategik.

Melalui pelabur-pelabur baru ini, bukan sahaja kami telah berjaya melepasi sasaran dana, malah kami juga telah mendapat duta-duta Fresh At Heart yang setia merentasi Malaysia dan Singapura.” kata Eddie Goh, Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas bersama Fresh At Heart.

Dengan kejayaan ini, pencapaian kempen ECF ini turut menjadi kempen ketiga yang berjaya mengumpul dana di platform Ata Plus dalam masa seminggu.

“Susulan dari pencapaian kempen ECF Vendpays dan MedPlanner, kami amat gembira kerana dapat berkerjasama dengan Fresh At Heart untuk menjayakan kempen ECF Fresh At Heart.

Industri makanan segar akan menyaksikan peningkatan yang eksponen (exponential) di mana dana yang dijana oleh Fresh At Heart melalui kempen ECF akan membawa mereka ke tahap pembangunan mereka yang seterusnya,” ujar Elain Lockman, pengasas bersama dan pengarah Ata Plus.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini