Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengagihkan sebanyak RM111,000 peruntukan zakat korporat dan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) SSM kepada lebih 400 orang golongan yang kurang berkemampuan sempena penganjuran program Kayuhan Amal I Love Penang, di sini, baru-baru ini.

PROGRAM itu turut disertai oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, yang berbasikal bersama Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Dato’ Zahrah Abd Wahab Fenner serta warga kerja SSM di sekitar Pantai Jerejak, Pulau Pinang.

Program ini bertujuan untuk membantu golongan yang memerlukan melalui peruntukan zakat korporat dan CSR SSM. SSM menyempurnakan kewajipan berzakat kepada golongan asnaf fakir miskin dan fisabilillah, manakala bagi golongan bukan beragama Islam, SSM menggunakan peruntukan CSR untuk tujuan menghulurkan bantuan kepada mereka.

SSM mengagihkan peruntukan zakat korporatnya sebanyak RM70,000 di mana sebanyak RM30,000 disalurkan kepada 300 orang asnaf fakir dan miskin dan RM40,000 disalurkan untuk fisabillillah melibatkan surau dan masjid di sekitar kawasan ini.

Selain itu, SSM turut menyediakan peruntukan CSR berjumlah RM41,000 di mana, dari jumlah ini sebanyak RM30,000 diagihkan kepada 100 orang penerima selebihnya, iaitu sebanyak RM1,000 wang tunai beserta bantuan keperluan asas bernilai RM100 akan diberikan kepada 10 buah keluarga kurang bekemampuan.

Dalam program ini juga, Datuk Seri Saifuddin memuji inisiatif yang telah dilaksanakan oleh SSM untuk membantu golongan yang memerlukan melalui agihan zakat korporat dan CSR. Beliau turut menyeru dan berharap lebih banyak agensi dan sektor korporat di negara ini tampil melaksanakan program-program seumpama ini.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini