TM One menjadi syarikat telekomunikasi pertama yang menerima pengiktirafan Sijil Antarabangsa ISO 18295-1:2017 daripada Sirim bagi perkhidmatan pusat panggilannya
TM ONE, unit rumusan perniagaan Telekom Malaysia Berhad (TM), baru-baru ini telah dianugerahkan dengan sijil piawaian antarabangsa ISO 18295-1:2017, menjadikannya syarikat telekomunikasi pertama di Malaysia yang menerima pensijilan seumpamanya.

Anugerah pensijilan itu telah diperkenalkan oleh Organisasi Standard Antarabangsa (ISO) pada tahun 2017, khusus untuk keperluan perkhidmatan bagi pusat panggilan pelanggan (CCC).
Di Malaysia, pensijilan tersebut dikendalikan oleh Institut Penyelidikan Standard dan Industri Malaysia (SIRIM) QAS International Sdn Bhd.
Naib Presiden, Teknologi Perniagaan, Nizam Arshad berkata, TM ONE menerima sijil tersebut daripada Dr Ong Kian Ming, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dengan kehadiran Tan Sri Dr Ir Ahmad Tajuddin Ali, Pengerusi, SIRIM.
Mengulas mengenai pensijilan tersebut, Ir Ts Azizi A. Hadi, Naib Presiden Eksekutif, TM ONE berkata: “Pensijilan ISO 18295-1:2017 menandakan satu lagi kejayaan untuk TM ONE.
Ini merupakan bukti kepakaran dan dedikasi kami untuk terus berevolusi serta memperbaiki proses dan perkhidmatan kami untuk memenuhi piawaian antarabangsa yang tertinggi.
Ini secara langsung dapat menyumbang kepada peningkatan kecekapan operasi pusat panggilan dan sekali gus meningkatkan keyakinan pelanggan-pelanggan kami. Kami akan terus berusaha untuk mencapai kecemerlangan dalam operasi pusat panggilan dan mengukuhkan kedudukan kami sebagai peneraju dalam industri Penyumberan Luar Proses Perniagaan (BPO) di Malaysia.
Kelayakan ISO 18295-1:2017 boleh digunapakai bagi kedua-dua CCC dalaman dan sumber luar (pengendali pihak ketiga) merentasi semua saiz, kesemua sektor dan semua saluran interaksi, termasuklah panggilan keluar dan masuk.
Ia menggariskan matriks prestasi (dalam bentuk Petunjuk Prestasi Utama – KPI) apabila diperlukan. Bagi memastikan pengekalan dan pematuhan terhadap pensijilan tersebut, TM ONE, akan terus melakukan audit peringkat dalaman bagi setiap suku tahun serta audit luaran secara tahunan.
“Bagi pelanggan kami, pensijilan ini memberi makna bahawa mereka mendapat jaminan terhadap tahap kepuasan perkhidmatan dan pengalaman pelanggan yang dipertingkatkan,” katanya.