Kecil-kecil cili padi. Ini gambaran pertama yang boleh diberikan kepada model kompak terbaharu Kia Picanto generasi ketiga dari Korea Selatan yang diperkenalkan pada awal tahun ini.
MESKIPUN reka bentuk luarannya nampak ‘comel’, namun kereta dalam segmen A ini menawarkan pelbagai fungsi moden dan terkini khususnya rekaan dalaman yang berbeza berbanding model sekelas dengannya.
Ciri paling menarik perhatian penulis ialah rekaan papan pemuka yang menonjol dengan identiti ‘K-Pop’ memang sesuai bagi pemandu yang baru sahaja mendapat lesen kereta atau berjinak-jinak mahu memilih kereta pertama keluaran bukan nasional.
Padanan sistem multimedia dengan skrin sentuh LCD tujuh inci yang terletak di tengah-tengah papan pemuka menjadi tarikan utama sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam kereta ini.
Skrin sentuh ini seakan menjadi satu trend kepada pengeluar kenderaan masa kini.
Apa yang menarik ialah ketika kereta ini pandu melalui lebuh raya dan kemudian menyelusuri jalan kampung ke Negeri Sembilan dan Melaka, siaran radionya seolah-olah bertukar secara automatik mengikut frekuensi siaran mengikut negeri yang dilalui tanpa perlu menukar secara manual.
Ini kerana ada sesetengah radio kita perlu sentiasa mencari siaran frekuensi yang berubah-ubah mengikut negeri dan kadang kala tindakan itu mengganggu fokus ketika memandu di jalan raya.
Selain sistem multimedianya boleh dipadankan dengan telefon pintar untuk Apple CarPlay dan Android Auto, pemandu juga boleh menjawab panggilan telefon menerusi butang yang disediakan di kiri stereng tiga jejari Kia Picanto ini.
Butang kawalan bunyi dan pilihan siaran radio yang boleh disetkan sehingga 40 siaran juga memberi kelebihan kepada pengguna kereta ini.
Skrin sentuh LCD itu juga berfungsi sebagai kamera undur yang sudah cukup jelas memaparkan imej berwarna lengkap dengan garisan pelbagai warna sebagai bantuan kepada pemandu.
Ruang dalaman kereta ini juga cukup praktikal kerana dilengkapi ruang meletak botol air, dek berkembar dengan sambungan USB untuk mengecas telefon cukup mudah.
Naza Kia Malaysia Sdn Bhd (Naza Kia), selaku pengedar rasmi kenderaan Kia di Malaysia hanya menawarkan enjin 1.2L MPI DOHC bagi model ini yang dipadankan dengan kotak gear transmisi automatik empat kelajuan.
Padanan enjin berkuasa rendah membantu memberikan tahap penggunaan bahan api yang efisien, sesuai dengan saiznya yang kompak dan menyalurkan pecutan responsif.
Dibekalkan dengan kuasa 81PS manakala tork maksimum 122Nm, pecutan di lebuh raya tidak mengecewakan apabila jentera ini mampu memecut hingga mencapai kelajuan 160 kilometer sejam (km/j) manakala pengendalian tetap stabil walaupun ketika mengambil selekoh.
Rekaan luar model ini mendapat nafas baru apabila didatangkan bersama lampu hadapan projektor dan lampu nyalaan siang (DRL) manakala lampu isyarat LED serta rim 14 inci melengkapkan bentuknya.
Jarak roda 2,400 milimeter (mm), lebih 15mm berbanding model sebelumnya menjadikannya kelihatan tegap dan sporty.
Bahagian bampar hadapan juga diperkemaskan dengan rekaan jeriji moden yang menyerlahkan gaya terbaru Picanto selain lampu belakang elegan dan jelas.
Ciri lain seperti paparan meter analog yang jelas dan butang penghidup enjin pula adalah ciri premium standard ditawarkan varian baru ini.
Rekaan kontur kerusi selesa dengan bahagian kerusi penumpang belakang pada nisbah 60:40 boleh direbahkan setiap satu sehingga mampu mencipta ruang seluas 1,010 liter untuk kargo.
Ketinggian kerusi dikurangkan 10mm dan ini memberi ruang kelegaan kepala 3mm lebih luas termasuk bahagian kaki dipanjangkan sebanyak 15mm untuk keselesaan.
Untuk perlindungan, kerangka dibina dengan ciri keselamatan tertinggi melalui Advanced High Strength Steel (AHSS) yang kukuh berbanding sebelumnya selain berat keseluruhan dikurangkan sebanyak 23 kilogram (kg).
Ketika meluncur di laluan berbukit dan berselekoh di sekitar Linggi, penulis tidak merasa olengan ketara, hasil sistem gantungan daripada MacPherson dan gandar Coupled Torsion Beam Axle (CTBA) pada roda belakang.
Selain keselesaan pemanduan, aspek keselamatan tetap diutamakan apabila Picanto serba baru ini dilengkapi enam beg udara, tali pinggang keledar untuk semua penumpang, sistem pengesan parkir belakang, ISOFIX, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Bantuan Brek (BA), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) dan Kawalan Cengkaman (TRC).
Secara keseluruhannya, penulis mengakui jentera kompak Kia ini seronok untuk dipandu sama ada di laluan bandar atau lebuh raya. Ketika dipandu pada waktu malam, sinaran lampu kereta ini sudah cukup terang dibantu pula dengan lampu kabus.
Bagi pasaran tempatan, lima warna ditawarkan iaitu Pop Orange, Lime Light, Honey Bee, Clear White dan Titanium Silver. Kia Picanto serba baru ini berharga RM49,888 (tanpa insurans) dengan waranti lima tahun tanpa had perbatuan.
SPESIFIKASI KIA PICANTO
Enjin: 1.2L MPI DOHC
Kuasa maksimum: 84 PS @ 6,000 rpm
Tork maksimum: 122 Nm @ 4,000 rpm
Transmisi: Automatik empat kelajuan
Kapasiti bahan api: 35 liter
Ciri keselamatan: ABS, BA ESC, TRC, ISOFIX dan kerangka AHSS
Harga: RM49,888 (tanpa insurans)