Pengguna di Melaka yang telah menerima notis pemasangan meter pintar digalakkan membuat temu janji awal bagi memudahkan petugas TNB memasuki premis dan menyempurnakan tugas menukar meter kepada meter pintar.

NOTIS memaklumkan pemasangan meter dihantar melalui pos atau serahan tangan selewat-lewatnya dalam tempoh 30 hari sebelum meter pintar dipasang.

Pengguna dinasihatkan menghubungi TNB di talian 1-300-88-5454 semasa waktu pejabat (8.00 pagi – 5.15 petang) atau mengunjungi Kedai Tenaga pada waktu operasi.

Individu dewasa perlu berada di premis semasa meter dipasang. Jika tiada, temu janji akan dijadualkan semula.

TNB telah pun menukar kira-kira 100,000 daripada 340,000 meter dengan meter pintar di Melaka. Pemasangan meter pintar akan diperluaskan secara berperingkat-peringkat ke negeri lain mulai tahun depan sehingga selesai di seluruh negara pada 2022.

Pemasangan meter pintar merupakan sebahagian usaha TNB memperkasa pengguna dan meningkat kepuasan pelanggan menerusi penggunaan teknologi terkini.

Kelebihan utama meter pintar adalah daripada segi ketepatan maklumat pengebilan serta membolehkan pengguna mendapat maklumat bagi tujuan pengurusan perbelanjaan tenaga isi rumah.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini