Petani di Sipitang mampu jana pendapatan RM5,650 sebulan melalui projek penternakan ayam penelur ginseng

PROJEK Penternakan Ayam Penelur Ginseng yang dilaksanakan oleh Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corp) di bawah Program Pembangunan Komuniti Bioekonomi (BCDP) dapat membangunkan petani serta usahawan kecil di Sipitang serta memajukan industri ayam penelur di Malaysia.

(Belakang, empat dari kiri) Timbalan Presiden Persatuan Kadayan Sabah (PKS), Osman Ahmed; Timbalan Naib Canselor UMS, Prof Dr Shahril Yusof; Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) Isnaraissah Munirah Majilis; Ketua Pegawai Pelaburan Bioeconomy Corp, Syed Agil Syed Hashim; (belakang, paling kiri) Pensyarah Kanan UMS, Awang Ahmad Mohd Yunus dan (belakang, paling kanan) Profesor Madya UMS, Prof Dr Berhaman Ahmad bersama-sama peserta-peserta Projek Penternakan Ayam Penelur Ginseng dari PKS

Melalui projek ini, ahli-ahli Persatuan Kadayan Sabah (PKS) mampu menghasilkan lebih kurang 4,167 biji telur sehari dan berpotensi untuk menjana pendapatan sebanyak RM5,650 sebulan seorang.

Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Isnaraissah Munirah Majilis berkata, projek itu menerima dana Inovasi Sosial MOSTI (MSI) bernilai RM300,000 yang telah digunakan untuk menampung kos latihan kepada 10 orang ahli PKS.

Dana itu juga telah membiayai pembinaan reban ayam, pembelian peralatan, pembelian 5,000 anak ayam penelur dan 30,000 anak pokok Ginseng Jawa.

“Majoriti peserta dalam Projek Penternakan Ayam Penelur Ginseng ini merupakan petani konvensional atau usahawan kecil dan ini merupakan kali pertama mereka melibatkan diri dalam aktiviti keusahawanan berasaskan bioteknologi.

“Para peserta kini mempunyai kemahiran untuk menghasilkan telur ayam ginseng dan membiak pokok Ginseng Jawa sendiri. Saya berharap agar pencapaian ahli-ahli PKS dalam projek ini dapat menjadi dorongan kepada penduduk di sekitar Sipitang untuk mengembangkan bakat keusahawanan dan budaya perniagaan mereka,” katanya pada acara perasmian Majlis Penyerahan Projek MSI 17018.

(Dari kiri) Naib Presiden Kanan (Perkhidmatan Pengurusan Projek) Bioeconomy Corp, Zurina Che Dir; Ketua Pegawai Pelaburan Bioeconomy Corp, Syed Agil Syed Hashim; Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC); Pensyarah Kanan UMS, Awang Ahmad Mohd Yunus; Profesor Madya UMS, Prof Dr Berhaman Ahmad; Timbalan Presiden Persatuan Kadayan Sabah (PKS), Osman Ahmed; dan Timbalan Naib Canselor UMS, Prof Dr Shahril Yusof di depan reban ayam Projek Penternakan Ayam Penelur Ginseng yang dibiayai oleh dana Inovasi Sosial MOSTI (MSI)

Sementara itu, Ketua Pegawai Pelaburan Bioeconomy Corp, Syed Agil Syed Hashim berkata, projek itu juga melibatkan Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang telah membimbing dan melatih peserta-peserta PKS untuk menternak ayam penelur serta menanam dan membiak pokok Ginseng Jawa.

Di samping itu, Syarikat Signal Hill Eco Farm (Signal Hill) yang bertindak sebagai syarikat peneraju bagi projek BCDP itu telah memberi jaminan belian balik bagi telur ginseng yang dihasilkan oleh ahli-ahli PKS melalui perladangan kontrak.

“Kolaborasi bersama UMS dan Signal Hill dalam projek ini dapat menyumbang kepada perkembangan industri ayam penelur di Malaysia serta membantu komuniti setempat untuk berkembang dari segi sosio-ekonomi dan taraf hidup,” katanya.

Setakat ini, sebanyak 40 projek BCDP sedang dilaksanakan dalam pelbagai peringkat yang melibatkan hampir 3,000 orang peserta. Projek-projek tersebut dijangka memberi impak kepada lebih daripada 13,000 orang.

Kami berharap program BCDP dapat dijalankan di seluruh Malaysia dalam skala lebih besar bagi memanfaatkan lebih ramai anggota masyarakat.”

Projek Penternakan Ayam Penelur Ginseng merupakan projek BCDP kelima yang telah menerima dana MSI daripada MESTECC. Dana MSI telah membiayai 82 projek pada tahun 2015, 77 projek MSI pada tahun 2016 dan sebanyak 32 lagi pada tahun 2017.

Bioeconomy Corp

Malaysian Bioeconomy Development Corporation Sdn Bhd (Bioeconomy Corp) merupakan agensi pembangunan ekonomi utama bagi industri berasaskan bio dan adalah syarikat milik Menteri Kewangan (Diperbadankan) dan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan.

Bioeconomy Corp berada di bawah bidang kuasa Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani (MOA) sejak November 2018.

Bioeconomy Corp menyediakan perkhidmatan sokongan, fasilitasi dan khidmat nasihat untuk syarikat sains bio dan sains hayat di Malaysia. Untuk maklumat lanjut, sila layari
www.bioeconomycorporation.my.