Hyundai-Sime Darby Motors memperkenalkan model Tucson yang dipertingkatkan (facelift) yang ditawarkan dalam dua varian iaitu 2.0L Elegance dan 1.6L Turbo.

HYUNDAI Tucson ditawarkan pada harga bermula RM123,888 bagi model 2.0L, dan varian pengecas turbo pula berharga RM143,888. Kedua-duanya harga atas jalan tidak termasuk insurans.

Pembaharuan yang dibawa untuk SUV segmen-C ini ialah rekaan bahagian hadapannya dan bampar baharu, 2.0L Elegance kini menampilkan gril perak metalik manakala lampu utama projektor halogen.

Bagi varian 1.6L Turbo pula, dipadankan dengan gril krom bersama lampu utama LED dwi-projektor (dengan lampu selekoh dan posisi), pemegang pintu krom dengan pencahayaan poket LED dan lampu belakang LED.

Kedua-dua varian turut dipadankan dengan roda 17-inci. Papan pemuka kini lengkap dengan rekaan semula dengan paparan infotaimen ‘freestanding’ tujuh-inci (dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay) yang diposisikan di atas corong udara rekaan baharu.

Bagaimanapun, bahagian rak tengahnya tiada perubahan, masih kekal dengan kawalan suhu dwi-zon, USB dan auxiliary inputs, serta soket 12-voltan.

Melangkah ke ruang dalaman, ia menampilkan rekaan baharu bagi balutan kulit pada tempat duduk, dan untuk 1.6L Turbo didatangkan elemen tambahan termasuk brek parkir elektronik, cermin pandang belakang elektronik, tempat duduk pemandu berkuasa larasan lapan-hala dengan sokongan belakang dua-hala, paparan pelbagai-info 4.2-inci dan papan pemuka balutan kulit.

Enjin Hyundai Tucson 1.6 liter T-GDI mampu menghamburkan kuasa sehingga 177 PS dan tork 265 Nm, sama dengan model yang sedia ada sekarang.

Enjin ini dipadankan dengan transmisi dwi-klac tujuh-kelajuan manakala varian tanpa-turbo pula masih menggunakan unit 2.0 liter dengan kuasa 155 PS dan 192 Nm, serta transmisi automatik enam-kelajuan.

Bagi aspek keselamatan, kedua-dua model Tucson didatangkan dengan ABS dengan EBD, Kawalan Kestabilan Elektronik, Kawalan Mula Mendaki, Kawalan Brek Turun Bukit, Bantuan Brek dan Pengurusan Kestabilan Kenderaan.

Varian 2.0L Elegance didatangkan dengan dua beg udara dan pengesan parkir belakang, sementara 1.6L Turbo pula dipertingkatkan dengan enam beg udara dan didatangkan dengan ciri tambahan pengesan parkir hadapan.

Untuk setiap pembelian Tucson didatangkan bersama 50,000 km penyelenggaraan percuma dengan tempoh sah tiga tahun, dan juga program waranti lima-tahun atau 300,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu).

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini