QSR Brands (M) Holdings Bhd (QSR Brands) melalui syarikat pemasaran dan pengedarannya, QSR Trading Sdn Bhd (QSR Trading), menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan syarikat pengeluaran produk pembersih berasaskan teknologi Jepun, Takexco Malaysia Sdn Bhd (TAKEXCO).
QSR Brands akan menjadi pengedar tunggal produk sanitizer bersijil halal dan bergred makanan iaitu (Takex Clean QSR) & (Takex Clean Extra QSR) di Malaysia.
Memorandum itu ditandatangani oleh Dato’ Seri Mohamed Azahari Mohamed Kamil, Pengarah Urusan, QSR Brands, dan Takeshi Okada, Pengarah Eksekutif Kanan, Takex Co., Ltd. dalam satu majlis di Hotel Hilton, Petaling Jaya.
Turut hadir ialah Presiden & Ketua Eksekutif Johor Corporation dan Pengerusi QSR Brands, Dato’ Kamaruzzaman Abu Kassim dan Kumi Okada, Pengarah, Takexco Malaysia Sdn Bhd & Presiden Takex Co. Ltd.
Dalam perjanjian antara kedua belah pihak, QSR Trading diberi hak eksklusif untuk menjadi pengedar tunggal kepada produk pembersih ethanol sanitizer pertama di dunia yang bergred makanan dan bersijil Halal di Malaysia dengan perjanjian usahasama penjenamaan.
Kedua-dua produk, (Takex Clean QSR) & (Takex Clean Extra QSR) akan digunakan di 48 Kedai Ayamas di seluruh Malaysia.
“Kerjasama ini selaras dengan aspirasi kerajaan baru untuk mengukuhkan momentum hubungan perdagangan Malaysia-Jepun. Dengan kecekapan dan daya saing teknologi dari Jepun dan tenaga kerja berkemahiran tinggi di Malaysia serta persekitaran pelaburan yang hebat, terdapat pelbagai potensi yang dapat diterokai oleh kedua-dua negara ini, terutama dari segi industri halal,” kata Dato’ Kamaruzzaman Abu Kassim, Pengerusi QSR Brands.
“QSR Brands adalah nama yang telah dipercayai dalam memberikan jaminan halal yang sempurna kepada semua pelanggan kami. Hari ini, akan menjadi bukti usaha QSR Brands dan Takexco untuk mempererat hubungan dua hala serta berkongsi kepakaran kami dalam industri global halal ini.
Kerjasama dengan Takexco adalah satu langkah progresif ke arah memperluaskan jaminan Halal kami dalam operasi pengeluaran makanan dan restoran Halal.
“Kedua-dua produk, dijamin Halal oleh JAKIM dan dengan pengeluaran produk ini, kami berharap dapat memenuhi keperluan dan kehendak pengguna-pengguna dari segi produk kebersihan yang semakin bijak memilih,” katanya.
“Kami gembira dengan jenama usahasama ini dan saya berharap agar inisiatif ini akan menggalakkan persekitaran kebersihan yang lebih baik dan keselamatan makanan mengikut piawaian Halal yang ditetapkan oleh JAKIM,” kata Kumi Okada, Pengarah, Takexco Malaysia Sdn Bhd dan Presiden Takex Co. Ltd.
Takex Clean QSR dan Takex Clean Extra QSR adalah agen pembersih berasaskan etanol yang mengandungi ekstrak diperolehi dari epidermis buluh – Phyllostachys Pubescens, sebagai bahan aktifnya.
Produk itu dihasilkan dengan menggunakan bahan-bahan bergred makanan dan juga disahkan HALAL oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), yang terkenal sebagai salah satu badan akreditasi yang paling ketat untuk Halal.