Penerbangan sulung AirAsia dari Kuala Lumpur ke Silangit – Danau Toba tiba di Lapangan Terbang Silangit kelmarin, yang merupakan destinasi terbaru syarikat penerbangan tersebut di Asean.

PENERBANGAN AirAsia AK411, yang dikendalikan oleh Airbus A320, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada jam 10:40 pagi kelmarin dan tiba di Lapangan Terbang Silangit pada jam 11:00 pagi (waktu tempatan).

Lapangan Terbang Silangit merupakan pintu masuk utama ke Danau Toba, sebuah tasik gunung berapi terbesar di Asean dan salah satu tasik terindah di dunia.

Satu majlis untuk meraikan ketibaannya telah diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Silangit yang dihadiri oleh para tetamu kehormat, termasuklah Setiausaha Penyelaras Menteri Hal Ehwal Maritim, Agus Purwoto; Kakitangan Khas kepada Menteri Pelancongan bagi Infrastruktur Pelancongan, Judi Rifajantoro.

Hadir sama Ketua Unit Penerbangan Komersial Berjadual Kementerian Pengangkutan, Tri Danarsih; Ketua Daerah Tapanuli Utara, Nikson Nababan; Ketua Daerah Toba Samosir, Edward D. Siagian; Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Danau Toba; Pengurus Besar Eksekutif Bahagian Perkhidmatan Komersial Angkasa Pura II, Dorma Manalu; Pengurus Besar Eksekutif Lapangan Terbang Antarabangsa Silangit, M. Hendra Irawan; Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Indonesia, Dendy Kurniawan.

Riad Asmat berkata, “Sebagai syarikat penerbangan Asean, kami berbangga kerana dapat menghubungkan dunia lebih dekat ke Danau Toba, yang merupakan salah satu permata tersembunyi di Asean.

Menerusi perkhidmatan Fly-Thru kami, para tetamu dari 20 buah bandar kini boleh melawat Silangit dengan satu hentian di Kuala Lumpur. Kami juga berharap dapat bekerjasama dengan semua pihak, terutamanya kerajaan Indonesia dalam membangunkan Danau Toba sebagai salah satu daripada 10 destinasi pelancongan utama.

Menerusi perkhidmatan AirAsia Fly-Thru, para tetamu dari 20 buah bandar seperti Kota Kinabalu, Johor Bahru, Kuching Guangzhou, Chongqing, Changsha, Chengdu, Hangzhou, Hong Kong, Beijing, Shanghai, Shenzhen, Xi’ An, Taipei, New Delhi, Hyderabad, Chennai, Melbourne, Sydney, dan Singapura kini boleh melawat ke Silangit – Danau Toba dengan lebih lancar melalui Kuala Lumpur.

Para tetamu Fly-Thru boleh menyambung penerbangan dan bagasi mereka terus ke destinasi akhir tanpa perlu melepasi imigresen di hab transit.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini