Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) menyampaikan sumbangan berjumlah RM50,000 bagi membantu mangsa gempa bumi dan tsunami yang melanda Palu, Sulawesi Tengah, Indonesia pada 28 September 2018 lalu.

SUMBANGAN yang disalurkan adalah dari kutipan khas Jumaat dari Jemaah di Surau Wakaf Ahmad Dawjee Dadabhoy (SWADD) yang terletak di Menara Bank Islam berjumlah RM34,304 dan selebihnya adalah sumbangan dana zakat dari Bank Islam.

Dari kiri ke kanan Pengerusi Ahli Jawatankuasa SWADD, Ustaz Mohd Nazri Chik, Ketua Pegawai Eksekutif (Pemangku) Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Mohd Ajib Ismail dan Timbalan Pengarah JAWI, Yusof Mamat

Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (Pemangku) Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Mohd Ajib Ismail dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Menara Bank Islam.

Menurut Mohd Muazzam, “Kami di Bank Islam amat terkesan dengan tragedi yang menimpa umat Islam dan penduduk-penduduk di Palu, Sulawesi Tengah dan sebagai sebuah institusi kewangan Islam, kami berasa terpanggil untuk menghulurkan bantuan kepada mereka.

“Melalui kutipan dari Jemaah yang menunaikan solat Jumaat di SWADD serta sedikit sumbangan dana zakat dari Bank Islam, kami mengharapkan ianya dapat memberi sedikit kelegaan kepada umat Islam dan penduduk Palu serta dapat meringankan beban yang mereka tanggung berikutan tragedi yang dahsyat ini”.

Beliau berkata, “Bagi pihak Bank Islam dan juga SWADD, kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua Jemaah yang telah menghulurkan sumbangan ini.

“Tidak lupa juga kepada Jawatankuasa Zakat dan Kebajikan Bank Islam atas keprihatinan terhadap mangsa tragedi ini. Bank Islam berharap agar sumbangan ini akan dapat digunakan untuk keperluan harian mangsa serta usaha-usaha untuk membaik pulih prasarana yang terjejas bagi kelangsungan hidup mangsa’.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Mohd Ajib Ismail, JAWI masih meneruskan kutipan sumbangan daripada orang awam melalui semua saluran 84 masjid, 110 Surau Jumaat dan 524 surau di bawah seliaan JAWI termasuk Surau al-Muhajirin yang terletak di ibu pejabat JAWI, Kuala Lumpur.

Tempoh kutipan ini akan berlangsung sehingga 26 Oktober 2018. Turut hadir Pengerusi Ahli Jawatankuasa SWADD, Ustaz Mohd Nazri Chik dan Timbalan Pengarah JAWI, Yusof Mamat dan beberapa ahli pengurusan Bank Islam dan JAWI.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini