Kebanjiran pelbagai jenis SUV di pasaran tempatan sama ada buatan Jepun, Korea mahupun Eropah memberi pilihan kepada penggemar SUV di negara ini. Baca lebih lanjut pandu uji Prebiu.com dengan model buatan Jerman, Volkswagen Tiguan ini. Jangan lupa likes FB kami!

VOLKSWAGEN Tiguan ini adalah generasi kedua yang diperkenalkan selepas generasi pertama muncul buat pertama kali pada 2008. Ini boleh dianggap sebuah kenderaan untuk mereka yang aktif atau memiliki keluarga kecil dan sesuai dipandu sebagai kenderaan harian.

Ini diakui sendiri rakan penulis yang pertama kali dipelawa menaiki kereta ini cukup teruja melihat rekabentuk dalaman model ini yang memiliki ciri yang diidamkan dan perkara pertama yang menjadi tumpuan ialah meja lipat dibelakang kerusi penumpang hadapan.

Selain ciri itu, sambungan kepada USB untuk tujuan mengecas telefon atau gajet lain yang memang menjadi satu keperluan masa kini turut menarik perhatiannya. Ada dua sambungan terus USB dibahagian hadapan dan satu untuk penumpang belakang.

Justeru, perjalanan anda sekeluarga balik kampung tidak membosankan kerana gajet anda akan sentiasa memiliki tahap bateri yang penuh tanpa perlu berebut menggunakan power bank.

Maka tidak hairanlah rekabentuk Tiguan ini menerima Anugerah Reka Bentuk Jerman 2017 dan ciri-ciri yang ditawarkan pula seolah-olah satu pelengkap kepada sebuah SUV buatan Jerman ini.

Jika anda mampu daripada segi kewangan apa salahnya memilih SUV ini yang turut mendapat pengiktirafan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) dan dipasang sepenuhnya di Pekan, Pahang.

Prebiu.com yang memandu uji model Tiguan 1.4TSI Highline ini amat tertarik dengan rekabentuk luarannya lebih maskulin berbanding model terdahulu dan rekaan dalaman lebih elegan.

Tiguan serba baharu tampil dengan gril hadapan lebih besar dan menonjol manakala ruang kabinnya luas dan fleksibel. Rekaan meter konsol digital sepenuhnya bagi varian Highline ini cukup menarik kerana ia boleh diubah mengikut tetapan yang disediakan berbanding penggunaan meter jenis analog.

Untuk pasaran Malaysia, dua varian ditawarkan iaitu Comfortline dan Highline dengan perbezaan beberapa ciri luaran serta dalaman seperti lampu nyalaan siang (DRL), rim 17 dan 18 inci, lampu isyarat serta kemasan dalaman seperti kerusi kulit Vienna dan fabrik daripada Rhombus.

Pengiktirafan sebagai Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) turut menyumbang kepada penjimatan bahan api dengan catatan pengeluar mengikut spesifikasi diberikan ialah 6.7 liter setiap 100km, sekali gus mampu mencapai jarak perjalanan dari Kuala Lumpur ke Ipoh atau Pulau Pinang dan berpatah balik dengan petrol hanya satu isian penuh.

SUV ini pula dipadankan dengan enjin 1.4 liter TSI pengecaj turbo suntikan terus dengan kotak gear klac basah Direct Shift Gearbox (DSG) enam kelajuan. Ia mampu menjana kuasa 150PS dan daya kilas 250Nm di antara 1,500 sehingga 3,500rpm. Dengan enjin 1.4 liter cukai jalan setahun Tiguan hanya RM70 je!

Jika dibandingkan dengan generasi pertama, model terbaru ini lebih panjang 4,486mm, lebar (1,839mm) dan rendah (1,664mm) menjadikan ia kurang olengan serta ruang lebih selesa ditawarkan.

Menjengah ke bahagian dalaman pula, varian Highline menerima ciri Paparan Info Aktif bagi kemudahan pelbagai maklumat perjalanan termasuk Ciri Bantuan Parkir yang dipaparkan sangat jelas dan mudah.

Selain itu, papan pemuka audio dengan skrin sesentuh berwarna 8 inci menawarkan kemudahan hiburan dan informasi maklumat mengenai kenderaan mudah dikendalikan.

Rekaan sporty roda stereng tiga jejari dengan pedal penukar gear enam kelajuan bukan saja mudah dicapai malah butang kawalan radio dan pelbagai fungsi lain pada stereng membolehkan tumpuan penuh dijalan raya tidak terganggu.

Selain itu, penyaman udara tiga zon pula memberikan kenyamanan sepanjang perjalanan yang boleh dilaras mengikut keselesaan pemandu dan penumpang belakang serta dilengkapi sistem bunyi terbaik lapan pembesar suara bagi alunan muzik.

Untuk membawa muatan, Tiguan adalah model yang praktikal dan fleksibel dengan ruang 40/20/40 memberikan kapasiti penyimpanan yang luas sehingga 615 liter tanpa perlu melipatkan kerusi.

Tidak ketinggalan aspek keselamatan yang dilengkapi dengan enam beg udara termasuk beg udara tirai dan sisi, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Sistem Respons Kemalangan Pintar (ICRS), Brek Parkir Elektronik (EPB), ISOFIX dan Kawalan Hill-Hold.

Ciri lain ialah cagak ISOFIX untuk kerusi bayi sedia terpasang, kemasukan tanpa kunci, kamera undur, sensor hadapan, sisi dan belakang serta kerusi kawalan elektronik untuk pemandu.

Menerusi pelbagai ciri terkini dan keselamatan terbaik ditawarkan, Tiguan adalah sebuah SUV yang lengkap! Bukan bermaksud untuk memuji berlebih-lebihan tetapi ini adalah harga yang anda bayar apabila memiliki SUV ini yang memiliki pelbagai ciri yang mampu memenuhi citarasa penggemar SUV di negara ini.

Maka tidak hairanlah model Tiguan adalah SUV paling laris jualannya untuk jenama Volkswagen yang terjual sebanyak 2.8 juta unit di pasaran lebih 170 negara.

Lima warna ditawarkan iaitu putih, hitam, biru, perak dan kelabu pada harga atas jalan tidak termasuk insurans selepas SST ialah RM147,260 (varian Comfortline) dan RM166,560 (Highline) dengan waranti dan bantuan kerosakan di jalanan selama lima tahun.

Spesifikasi Tiguan 1.4TSI Highline

Kuasa Maksimum: 110 kW (150 PS) pada 5,000-6,000 rpm
Tork Maksimum:  250Nm pada 1,500-3,500 rpm
Transmisi: 6-speed DSG
Pecutan: 0-100 km/j: 9.2 saat
Kelajuan maksimum: 198 km/j
Kecekapan bahan api: 6.7 liter/100km
Harga: RM165,990 (atas jalan tidak termasuk insurans)

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini