Anak kepada penyanyi terkenal tanah air Saleem, Syafiq Farhain kesal dengan penularan berita palsu kononnya bapanya meninggal dunia sejak pagi semalam.
SYAFIQ yang terkejut dengan penularan berita palsu itu meminta mereka yang tidak bertanggungjawab tampil memohon maaf sambil menghentikan penyebaran berita yang bukan hanya menyusahkan ahli keluarganya malah juga kepada peminat setia bapanya.

“Bengang tu mesti ada sebab ada orang suka-suka buat cerita tanpa soal siasat…ikut suka dia je…jika cerita lain mungkin boleh diterima tapi ini soal kematian dipermainkan.
“Saya merayu dan harap hentikanlah menyebar cerita palsu ini, jika tidak tahu lebih baik duduk diam dan jangan susah-susah nak fikir untuk reka cerita karut itu dan sebaiknya tampil memohon maaf,” kata Syafiq yang bakal beraksi pada pentas final Big Stage malam esok.
Saleem, 56 atau nama sebenarnya A.M Salim Abdul Majeed yang popular dengan lagu Suci Dalam Debu sebelum ini dilaporkan kritikal selepas terbabit dalam kemalangan yang berlaku berdekatan rumahnya di Bandar Mahkota Cheras, Khamis lalu.
Saleem berasal dari Setiu, Terengganu yang menunggang motosikal Yamaha LC dikatakan dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kereta yang menyebabkan dirinya tercampak mengakibatkan tulang rusuknya patah dan salah satunya tertusuk pada organ paru-paru.
Beliau sebelum itu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Kajang.
Sementara itu, Julia Bachok isteri penyanyi, Saleem menafikan berita tentang suaminya yang dilaporkan sudah meninggal dunia akibat kemalangan motosikal, baru-baru ini.
Menurut Julia yang juga bertindak sebagai Pengurus Saleem berkata, suaminya sudah dipindahkan ke Pakar Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) hari ini dari Hospital Kajang.
“Saya berharap peminat Saleem dapat mendoakan agar beliau cepat sembuh,” katanya