Sebaik melangkah masuk ke dalam kereta ini, perkara pertama yang menarik perhatian ialah tali pinggang keselamatan berwarna merah di hadapan dan belakang bukannya hitam. Baca lebih lanjut pandu uji Prebiu.com dengan model Mercedes-AMG C 43 4Matic terbaru ini.

PERKARA kedua yang menjadi tarikan ialah bunyi deruman ekzos sports yang cukup mengagumkan sebaik sahaja butang penghidup enjin ditekan seperti sebuah kereta perlumbaan yang sedia beraksi di litar Formula Satu.

Kehadiran model empat pintu ini dalam keluarga AMG pada mulanya dibawa masuk menerusi model diimport sepenuhnya (CBU) dan pada tahun lalu, model ini dipasang secara tempatan (CKD) di kilang Mercedes-Benz Malaysia (MBM) di Pekan, Pahang.

Meskipun dipasang sepenuhnya (CKD) di negara ini, spesifikasi yang ditawarkan hampir 100% sama, cuma tanda harganya lebih rendah sebanyak RM91,000 berbanding model CBU. Model ini kini dijual pada harga RM408,888 dan sekiranya anda membelinya pada masa sekarang dengan GST pada kadar sifar peratus, dan sebelum SST diperkenalkan kembali pada 1 September ini, kereta ini dijual pada harga atas jalan RM385,883.21 atau potongan harga sehingga RM23,0000.

Melihat kepada rekabentuk luaran, model ini memiliki karektar yang garang atau sekadar gurauan makna AMG (Aku Memang Garang) menerusi padanan kit AMG yang terdiri daripada gril, apron dan lips spoiler hadapan, bampar belakang dengan liang udara sisi, serta set rim asli AMG dua-tona lima jejari berkembar berdiameter 19-inci dibaluti tayar 255/35R19.

Melangkah ke ruang kabin pula, kereta sedan mewah talaan AMG ini adalah sama dengan model C-Class W205 lain tetapi diberikan sentuhan elemen yang lebih sporty dengan kerusi ciri sporty yang boleh dilaras dengan sistem elektronik sepenuhnya.

Dua meter analog utama iaitu takometer dan meter kelajuan diberikan latar belakang dengan elemen bendera perlumbaan, manakala fungsi skrin informasi tengahnya pula diberikan satu lagi fungsi tambahan istimewa dengan logo ‘AMG’.

Apabila memilih ikon AMG, pemandu akan melihat dengan jelas pelbagai maklumat prestasi antaranya meter G-Force, bacaan boost turbo bersama suhu minyak pelincir dan bendalir transmisi, status talaan mod pemanduan serta jam randik untuk merekod masa lap di dalam litar.

Tiada sebarang panel kemasan gentian karbon diberikan, dimana pada konsol tengah ia dipenuhi dengan kemasan plastik dengan warna piano black. Keseluruhan kabin berwarna hitam kereta ini diberikan perincian jahitan berwarna merah, termasuk pada balutan kulit untuk roda stereng tiga jejari dengan suntikan elemen sporty. Butang kawalan audio dan fungsi lain turut dipadankan pada stereng berkenaan.

Bagaimanapun, kesemua sistem kawalan elektronik kereta ini ataupun tetapan (settings) boleh dikawal di hujung jari pada tombol ditengah kokpit. Paparan skrin memudahkan anda memilih apa saja tetapan yang dikehendaki sama ada menukar warna lampu dalaman atau melaras sistem bunyi audio.

Ciri-ciri ini cukup lengkap dan padan dengan pakej dan talaan AMG sepenuhnya yang ditawarkan selari imej serba mewah serta sporty bagi sedan empat pintu ini.

Model C43 turut hadir dengan set tali pinggang keselamatan dengan warna Designo Red dan tempat duduk sport dengan balutan kulit Black Artico/gentian mikro Dinamica ini dilihat cukup sesuai untuk digunakan setiap hari kerana lebih selesa.

Ciri lain yang ada pada sedan AMG ini adalah bumbung suria panaromik, lampu suasana, karpet kaki AMG, sistem pendingin hawa dua-zon Thermotronic, kamera 360-darjah, Parking Pilot, COMAND Online, skrin infotainmen 8.4-inci, sistem bunyi Burmester dengan 13-pembesar suara, kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin serta sistem keselamatan pemanduan Pre-Safe.

Mercedes-AMG C43 dijana oleh enjin M276 DELA 30 3.0 liter V6 turbo berkembar berkuasa 362 hp dan tork maksima 520 Nm, digabungkan bersama kotak gear sembilan-kelajuan automatik 9G-Tronic. Kuasa kemudiannya dialirkan kesemua roda menerusi sistem AWD 4Matic manakala kadar tork diagihkan lebih ke gandar belakang dengan nisbah 31:69.

Bagi pengendalian pula, sedan C43 ini dibekalkan dengan sistem meliputi penyerap hentak adaptif AMG Ride Control, menawarkan mod Comfort, Sport dan Sport Plus.

Sistem berkenaan turut bersepadu dengan sistem talaan pemanduan AMG Dynamic Select, yang mempunyai lima mod berbeza – Eco, Comfort, Sport, Sport Plus dan Individual – yang akan melaras semula respon enjin, transmisi serta stereng.

Berdasarkan spesifikasi dikatalog, kereta ini didakwa mampu untuk memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa hanya 4.7 saat, sebelum kelajuan maksima dihadkan secara elektronik pada 250 km/j.

Bagi mereka yang mahu menguji keupayaan sebenar C43 AMG ini, sila pilih lima mod pemanduan yang disediakan untuk kereta ini.

Untuk pemanduan dalam bandar dan trafik sesak, mod Eco dan Comfort adalah yang paling sesuai kerana bukan saja menjimatkan minyak malah sistem suspensinya ditala kepada yang paling selesa.

Bagaimanapun, sekiranya menukar mod berkenaan kepada Sport, karektor sebenar ‘aksi garang’ AMG ini terserlah menerusi tukaran gear yang pantas dan responsif meskipun dengan hanya menekan sedikit pedal minyak.

Penggunaan gear pada mod Sport dan Sport Plus cukup sesuai ketika kereta ini dipandu laju dilebuh raya meninggalkan kenderaan lain dibelakang dengan mudah. Ini kerana dengan kuasa enjin V6 dua pengecas turbo bersama kotak gear automatik konvensional, anda dapat mendengar deruman ekzosnya yang cukup ganas seakan sebuah kereta lumba di litar Formula Satu, Sepang.

Daripada aspek pengendalian, stereng kereta ini juga memberikan respon yang cukup baik dan tidak terlalu ringan atau tidak terlalu berat membolehkan anda membaca permukaan jalan dengan baik.

Pedal tukaran manual gear sembilan kelajuan pada stereng kereta ini juga boleh menjadi pilihan kepada anda yang sukakan cabaran atau ‘berangan-angan’ sedang memandu kereta F1.

Kesimpulannya, terlalu banyak hendak diperkatakan mengenai kereta ini. Bagi anda yang mahukan kelainan dalam pemanduan sebuah kereta sedan mewah yang sporty, Mercedes-AMG C43 adalah satu pilihan terbaik daripada jenama kereta Jerman kerana ia memiliki pakej lengkap yang anda mahukan.

Antara ciri-ciri ditawarkan Mercedes-AMG

  • Distance Pilot DISTRONIC
  • LED Intelligent Light System
  • PRE-SAFE® Plus
  • Active Lane Keeping Assist
  • Active Blind Spot Assist
  • Parking Pilot with 360-degree camera
  • Intelligent technologies
  • 9G-Tronic (Talaan AMG)
  • Tyre Pressure Monitoring System
  • Enjin 3.0-liter V6 biturbo
  • Sistem bunyi keliling Burmester
  • Harga jualan diatas jalan raya tanpa insurans RM385,883.21

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini