Pengeluaran model paling laris Perodua, Myvi baharu, telah diberhentikan buat sementara waktu berikutan gangguan bekalan di salah satu vendornya, yang mengakibatkan kira-kira 3,000 pelanggan tidak dapat mendaftarkan Perodua Myvi baharu mereka sebelum akhir bulan ini.

Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Dato Dr Zahari Husin berkata, “Kami ingin memohon maaf kepada para pelanggan kami yang telah sabar menunggu kenderaan baru mereka,” katanya dalam kenyataan ringkas kepada media, semalam.

Perodua Myvi 1.3 X Green

“Kami bertanggungjawab sepenuhnya terhadap isu ini dan sedang mengambil semua langkah
yang diperlukan untuk memastikan pengeluaran bermula semula secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata, keutamaan kini adalah untuk menyerahkan Perodua Myvi baharu kepada kira-kira 3,000 pelanggan yang pada asalnya dijadualkan menerima kenderaan mereka sebelum 1hb September.

“Kami amat memahami dan prihatin terhadap kekecewaan pelanggan kami yang terlibat. Oleh itu, kami sedang berusaha untuk memberikan pampasan yang sesuai dan akan menghubungi para pelanggan kami menerusi cawangan-cawangan kami di seluruh Malaysia tidak lama lagi,” katanya lagi.

Dr Zahari berkata, terdapat peningkatan dari segi permintaan terhadap kenderaan sejak kadar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dikurangkan dari 6% hingga 0% berkuatkuasa 1hb Jun 2018, lebih awal daripada pengenalan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada 1hb September.

Setakat ini, lebih daripada 68,000 Perodua Myvi telah diserahkan kepada pemiliknya daripada
lebih 120,000 tempahan yang diterima sejak pelancarannya pada November 2017, menjadikan ia produk terlaris Perodua dari segi jualan untuk sepanjang tahun setakat ini.

Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Dato ‘Dr Zahari Husin

“Kami sedang berusaha keras untuk mengatasi gangguan bekalan ini dan memulakan semula
pengeluaran Myvi secepat mungkin. Walaupun begitu, pengeluaran model kami yang lain tetap beroperasi seperti biasa dan penghantaran bagi Axia, Bezza dan Alza masih terus berjalan seperti yang dijadualkan.

“Kami menjemput para pelanggan kami yang dihargai untuk bercakap dengan penasihat jualan kami yang sah bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai model kami serta anggaran masa penghantaran Myvi mereka,” katanya.

Perodua telah menjual kira-kira 140,000 kenderaan antara Januari dan Julai tahun ini, dengan
peningkatan hampir 19% berbanding 118,600 yang dijual pada tempoh yang sama sebelumnya.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini