Durian D24 mendapat tempat pertama di Kejohanan Durian Dunia
PENANTIAN penuh debaran telah berakhir. Gelaran durian D24 terbaik kini milik Planters’ Haven, pembangunan unik daripada Sime Darby Property Berhad.
Tekstur durian D24 Planters’ Haven yang berkualiti tinggi dari Planters’ Haven West menggondol tempat pertama di Kejohanan Durian Dunia 2018: Edisi Malaysia, yang telah diadakan di Bangi Golf Resort pada hujung minggu baru-baru ini.
Durian D24 dari Planters’ Haven East pula memenangi tempat kedua. Durian D24 yang dibawa dari Planters’ Haven telah berjaya menewaskan pesaing lain yang datang dari seluruh negara.
Acara anugerah itu dianjurkan sempena menyambut festival durian yang telah menarik ribuan pencinta durian dari seluruh pelusuk negara.
Pemilihan pemenang adalah berdasarkan persembahan, rasa, tekstur, warna, aroma dan kesan rasa.
“Kami menyedari keunikan durian D24 yang ada di Planters’ Haven apabila para pengunjung kerap bertanyakan tentangnya. Kami telah menyajikan durian tersebut di sebuah acara baru-baru ini dan perihal keenakan D24 itu masih meniti di bibir pengunjung seminggu selepas itu,” kata Pengurus Besar Mohamad Jalani Mohamad Said.
Planters’ Haven dibangunkan di atas tanah ladang buah-buahan seluas 246 ekar dikelilingi bukit-bukau dan kehijauan, memakan masa hanya satu jam perjalanan dari Kuala Lumpur. Enklaf kediaman yang diilhamkan alam semulajadi menawarkan 158 unit tanah kediaman yang luas bagi mereka yang mencari ketenangan hujung minggu jauh dari kesibukan bandar.
“Planters’ Haven adalah tempat terbaik bagi warga kota. Bukan durian sahaja yang ditanam, kami juga menyediakan pokok buah-buahan lain seperti rambutan dan pulasan. Kami merancang untuk menanam lebih banyak pokok buah-buahan pada masa akan datang, menjadikan pembangunan ini lain daripada yang lain,” ujar Jalani.