Para peserta berpeluang untuk memenangi lawatan insentif dan hadiah wang tunai RM50,000 dan sebagai landasan bagi kakitangan mempamerkan kemahiran serta pengetahuan
PROTON buat julung kalinya akan menganjurkan Pertandingan Servis Lepas Jualan 2018 yang bermula dari 20 Julai hingga 19 Ogos 2018.
Pertandingan akan melibatkan ratusan kakitangan lepas jualan dari pelbagai cawangan pengedarnya di mana mereka akan diuji untuk membuktikan kemahiran, kepantasan dan ketepatan mereka dalam bidang kepakaran masing-masing. Ini juga adalah sebahagian daripada inisiatif pengurusan bakat PROTON.
Dilihat sebagai salah satu landasan untuk semua kakitangan lepas jualan di seluruh negara mempamerkan kebolehan dan kualiti kerja mereka dalam mengendalikan kereta-kereta pelanggan, pertandingan ini menawarkan lawatan insentif dan hadiah wang tunai bernilai RM50,000 kepada para pemenang.
“Pertandingan Servis Lepas Jualan PROTON ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan PROTON untuk meningkatkan kemahiran juruteknik kami bagi memberi perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan dan juga memberikan ganjaran kepada mereka yang mempamerkan kebolehan yang hebat.
Pemenang akan diberi ganjaran iaitu lawatan insentif ke Shanghai, China, di mana mereka berpeluang untuk melangkah kaki ke ibu pejabat dan Pusat Penyelidikan Geely.
Lawatan ini secara tidak langsung akan membuka mata juruteknik tempatan kami untuk meneroka dengan lebih mendalam tentang keupayaan Geely dalam mereka bentuk dan membangunkan kenderaan yang lengkap,” kata Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Edar, Abdul Rashid Musa.
“Sepanjang Pertandingan diadakan, juruteknik kami akan bersaing antara satu sama lain, membantu meningkatkan tahap kemahiran mereka. Secara tidak langsung, ini membantu membina kualiti servis lepas jualan kami dan membawanya ke tahap yang lebih tinggi agar setaraf dengan standard antarabangsa,” katanya.
Pada peringkat daerah, para peserta akan diberi tugas Membaik Pulih Enjin di mana mereka dikehendaki membuka dan memasang semula enjin Proton VVT dalam masa tiga jam. Mereka akan dinilai berdasarkan kelajuan, ketepatan dan kecekapan penyelesaian masalah sepanjang proses tersebut.
“Kami mengakui bahawa produk dengan kualiti yang baik membenarkan kami menjual lebih banyak kereta. Namun, servis yang baik adalah perlu untuk PROTON mengekalkan serta meningkatkan bilangan pelanggan. Ini merupakan matlamat yang kami berusaha untuk mencapai,” katanya.