Persatuan Penduduk Jalan Pahlawan, Bandar Mahkota Cheras, Selangor semalam mengadakan Majlis Perpaduan Persatuan Penduduk bertujuan mengeratkan silaturrahim dikalangan penduduk yang berbilang bangsa.
MAJLIS yang bermula dari jam 12 tengahari dan berakhir jam 3 petang itu dihadiri lebih 200 penduduk Jalan Pahlawan 22/3 hingga 46/3, diadakan di hadapan pondok pengawal taman berkenaan.
Pengerusi Persatuan Penduduk Jalan Pahlawan, Bandar Mahkota Cheras, Nik Mohd Shukri Nik Ahmad berkata, majlis itu dirancang sejak dua bulan lalu bertujuan untuk meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama penduduk yang berbilang bangsa terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India.
Beliau berkata, kehadiran penduduk di majlis itu juga membolehkan pelbagai masalah berkaitan dapat dibincangkan dan diajukan kepada pihak yang berkaitan.
“Saya bagi pihak ahli jawatankuasa Persatuan Penduduk Jalan Pahlawan amat berterima kasih dengan kehadiran penduduk pada majlis ini dan diharapkan majlis ini dapat diadakan sebagai acara tahunan.
“Sepertimana yang kita sedia maklum bahawa kawasan kejiranan kita dilengkapi kemudahan berpagar dan pondok pengawal yang lengkap dengan sistem kemasukan menggunakan kad akses.
“Justeru saya menyeru semua penduduk agar dapat memberi komitmen kepada tanggungjawab membayar yuran penyelenggaraan setiap bulan,” katanya dalam ucapan ringkas, semalam.
Katanya, tanpa sokongan semua penduduk, usaha untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku seperti kejadian pecah rumah tidak dapat dilakukan dengan sempurna sekiranya tiada kawalan oleh pengawal keselamatan dilakukan.
“Akhir sekali, kami berharap penduduk sekitar taman ini dapat bekerjasama dalam menjaga keselamatan dan kebersihan kawasan persekitaran rumah serta tinggal dalam suasana yang harmoni, aman dan damai,” katanya.
Hadir sama Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk Jalan Pahlawan, Dr Mohd Khairuddin Kandar; Bendahari Azizuddin Abdullah dan Penolong Setiausaha Mazran Akhyari Kamali Hatmal.
Pada majlis itu, selain tetamu dihidangkan dengan menu utama Nasi Kukus Ayam Dara, tetamu yang hadir juga berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah yang disediakan oleh pihak penganjur dan hasil sumbangan penduduk.
Apa yang menarik ialah penduduk turut membawa hidangan atau juadah dalam konsep ‘pot luck’ masing-masing untuk memeriahkan lagi majlis berkenaan. Tidak ketinggalan hadirin turut dijamukan dengan buah durian dan manggis yang disumbangkan oleh penduduk sendiri.
Persatuan Penduduk Jalan Pahlawan yang ditubuhkan secara rasmi pada 2016, sebelum ini sudah mengadakan pelbagai aktiviti membabitkan penduduk setempat dan bertindak sebagai pihak tengah dalam membantu menyelesaikan pelbagai masalah seperti masalah kerosakan jalan dan rumah akibat projek pemasangan paip Projek Langat 2.
Jom kita lihat gambar-gambar menarik sekitar Majlis Perpaduan Persatuan Penduduk Jalan Pahlawan, Bandar Mahkota Cheras dibawah ini.